Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 24 July 2019

Khas Sempena Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16: Singgahsana Istana Negara.


Singgahsana merupakan lambang kebesaran takhta kerajaan sesebuah negara. Raja yang memerintah akan bersemayam di atas takhta atau singgahsana dengan penuh berdaulat. Singgahsana yang terdapat di Istana Negara, Jalan Duta Kuala Lumpur yang tersergam indah di dalam Balairong Seri dibina dengan pengertian dan makna yang tersendiri untuk merperlihatkan sebuah struktur yang mempunyai nilai kesenian Melayu yang tinggi mutunya, sesuai dengan ketinggian dan kemuliaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tugas rasmi sebagai Ketua Negara Malaysia. Singgahsana ini telah dihiasi dengan motif ukiran yang menggabungkan ciri-ciri awan larat dan ditaburi dengan motif bungan raya. Signifikan penggunaan motif bungan raya adalah kerana bunga raya merupakan bunga kebangsaan. Motif-motif ukiran ini diserikan dengan salutan warna keemasan bagi menampakkan elemen diraja. 

7 tiang yang menyokong keutuhan Singgahsana.

Reka bentuk keseluruhan singgahsana ini melurus ke atas untuk memberi pengertian bahawa segala makhluk dan umat manusia yang dijadikan Allah S.W.T. hendaklah sentiasa mengingati dan menghormati pencipta alam iaitu Allah S.W.T. Tiang-tiang lurus yang berukir melambangkan inspirasi, daya utama dan cita-cita rakyat yang berbilang kaum untuk mencapai perpaduan, keamananan dan kemakmuran. Tiang-tiang ini juga menggabungkan elemen dari seluruh Malaysia iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dalam bentuk ukiran tradisional padi siku kelawar an corak berjalur.  Selain itu terdapat juga tulisan nama Allah, Muhammad dan sepotong ayat suci Al-Quran yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Persekutuan. Ukiran ayat Al-Quran yang digunakan merupakan Surah Ali Imran, Ayat 26 yang bermaksud : 

Katakanlah (wahai Muhammad), Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki (Ali Imran : 26). 

2 Alang di atas Singgahsana. Terdapat juga 99 nama Allah di bawah alang yang pertama.

Singgahsana ini berukuran 4.9 meter tinggi dan 11 meter lebar yang merupakan titik utama dalam Balairong Seri Istana Negara. Warna tirai dan langit-langit singgahsana ialah warna kuning diraja. Rekabentuk singgahsana ini mempunyai pelbagai bentuk dan simbol yang dikaitkan dengan kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Bilangan anak tangga pula untuk menaiki singgahsana melambangkan kedaulatan Raja Pemerintah. Tujuh tiang dan tujuh anak tangga merupakan simbol tujuh lapisan Syurga dan tujuh lapisan Langit menurut agama rasmi Persekutuan iaitu Islam. Barisan 5 tiang lurus di bahagian belakang Singgahsana mewakili 5 prinsip Rukun Negara. Singgahsana ini terdapat 2 alang yang terletak di atasnya. Pada alang yang pertama terdapat lambang 14 buah negeri di Malaysia dan kerajaan Persekutuan. Manakala ayat AL-Quran pula terukir pada alang yang kedua. Mahkota di atas takhta disokong oleh struktur berbentuk bulat yang melambangkan rakyat yang berbilang bangsa. Bahagian hujung atas mahkota dihiasi dengan bulan sabit dan bintang yang menandakan bahawa agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.  

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...