Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 30 July 2013

Kemunculan Semula YAM Permaisuri Hajah Siti Aishah..


Sekian lama menyepikan diri dari orang ramai, kini Mantan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 11, Yang Amat Mulia Permaisuri Datuk Amar Hajah Siti Aishah Binti Datuk Seri Abdul Rahman muncul kembali di khalayak ramai. Baginda menjadi penghias muka depan bagi majalah Wanita Edisi Julai 2013 dan Majalah Nona Edisi  Khas Aidilfitri Ogos 2013.

Wajah baginda amat dirindui oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Menjadi balu di usia cukup muda iaitu 30 tahun bukanlah satu perkara yang mudah. Kini, setelah 12 tahun berlalu, baginda muncul dengan semangat yang baru. 


Menjadi suri kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj pada usia muda iaitu 19 tahun dan ditabal menjadi Permaisuri negeri Selangor pada usia 27 tahun iaitu pada 28 Oktober 1998. Setahun kemudian menjadi Raja Permaisuri Agong ke 11 dan termuda dalam sejarah negara.

Nyata aura baginda masih mampu memukau sesiapa yang menmandangnya. Tingkah lakunya masih sopan seperti seorang permaisuri. Tutur katanya halus dan lirik matanya masih ayu seperti dahulu.Kemunculan semula baginda dengan gaya yang lebih anggun pasti mengubat rindu semua. Ternyata, di usia 42 tahun, baginda lebih matang dalam menempuh hari-hari mendatang.


Berikut gambar terbaru YAM Permaisuri Siti Aishah :










Semoga YAM Permaisuri Datuk Amar Hajah Siti Aishah Binti Datuk Seri Abdul Rahman,DK,DMN,DA(Sarawak),Grand Cordon of the Order of Chula Chom Klao(Thailand),
senantiasa berada dalam pelindungan Allah SWT dan dikurniakan kesihatan yang baik.

Tuesday, 2 July 2013

Raja Eleena,Wanita Melayu Terkaya.



Tahukan anda siapakah gerangan wanita Melayu paling kaya dalam Malaysia? Beliau merupakan puteri kepada Sultan Perak iaitu Yang Amat Mulia Raja Dato' Seri Eleena Binti Sultan Azlan Muhibbuddin Shah,D.K.A.,S.P.C.M.

Beliau menduduki tangga ke 41 dalam senarai 50 individu terkaya di Malaysia pada tahun 2013.Beliau merupakan wanita kedua terkaya di Malaysia selepas Puan Sri Lee Kim Hua,95,balu kepada Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang mempunyai aset sebanyak RM 7.24 Billion yang berada di tempat ke-8.Aset yang dimiliki oleh Raja Eleena  adalah sebanyak RM 819 Juta.Ini menjadikan beliau merupakan kerabat terkaya di Malaysia dan wanita Melayu terkaya di Malaysia.Beliau merupakan individu Melayu kelapan terkaya selepas Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary,Datuk Seri Shahril Shamsuddin dan Datuk Shahriman Shamsuddin,Datuk Mokhzani Mahathir,Tan Sri Azman Hashim,Kamaruddin Meranun,Ahmayuddin Bin Ahmad.


Raja Eleena diputerikan pada 3 April 1960.Beliau berkelulusan Ijazah Undang-Undang dari Universiti Of London.Beliau juga merupakan seorang pengamal undang-undang dan pernah menyertai Lincoln's Inn pada tahun 1985.Sekembalinya ke Malaysia,beliau menyertai Messrs Skrine & Co dan seterusnya menyertai Malaysian Bar pada tahun 1986.Beliau telah menubuhkan firma guamannya sendiri pada tahun 1987 yang diberi nama Messrs Raja Eleena,Siew Ang & Associates.Beliau merupakan rakan kongsi senior dalam firma guaman ini.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Ismail Farouk Bin Abdullah .Raja Eleena dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Gamuda,syarikat pembinaan dan kejuruteraan terbesar di Malaysia  pada 1 Jun 1992.Beliau merupakan pengarah dan pemegang saham utama Generasi Setia (M) Sdn Bhd yang merupakan pemegang saham utama Gamuda Holding.Beliau juga menjadi pengarah bagi beberapa buah syarikat lain seperti KAF Seagroatt & Campbell Holdings Berhad dan Danau Permai Resort Berhad.

Bersama suami beliau,Datuk Seri Ismail Farouk dan Tan Sri Michelle Yeoh.

Wanita Melayu yang berjaya.

Beliau juga memiliki kejelitaan yang tersendiri.Walaupun di usia 53 tahun,masih kelihatan anggun .

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Monday, 1 July 2013

Tuanku Bainun dan Kirkby..


Negeri Perak Darul Ridzuan amat bertuah kerana mempunyai Sultan dan Raja Permaisuri yang berpendidikan tinggi dan bertaraf profesional.Sultan Perak,DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Ghafarulahu-lah merupakan seorang yang berkelulusan undang-undang dan pernah menjadi majistret serta pernah menjawat jawatan tertinggi dalam bidang perundangan negara iaitu Ketua Hakim Negara.Sementara itu Tuanku Bainun pula berkerjaya sebagai seorang pendidik yang berkelulusan dari luar negara dan pernah mendidik ribuan orang murid.

Tuanku Bainun yang berasal dari Pulau Pinang terpilih untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Kirkby atau The Malayan Teacher's Training College Kirkby di Liverpool England. Kerajaan membiayai pelajar yang terpilih untuk diberi latihan khusus dalam bidang perguruan untuk mempersiapkan negara menuju kemerdekaan.



Maktab Kirkby merupakan sebuah institusi khas pertama yang ditubuhkan di luar negara bagi melahirkan guru-guru di Tanah Melayu.Hal ini amat unik kerana Maktab Kirkby ialah satu-satunya maktab asing yang dibenarkan untuk dibina di England.Maktab ini ditubuhkan pada tahun 1951.Mengikut perjanjian di antara kerajaan England dan kerajaan Tanah Melayu,Maktab Kirkby akan beroperasi selama 10 tahun bermula tahun 1952 hingga 1962.Tenaga pengajar di Maktab ini merupakan cerdik pandai daripada Universiti Liverpool dan berpengalaman dalam pelbagai bidang.Pelajar dari Tanah Melayu boleh mempelajari pelbagai kemahiran ketika menetap di maktab yang dipanggil " Kampong Kirkby" oleh para pelajar dari Tanah Melayu ketika itu.



Dalam perjanjian itu juga,kerajaan Britain telah menetapkan jumlah pengambilan pelajar seramai 1500 orang iaitu seramai 150 orang setahun.Kurikulum maktab ini digubal khas untuk para pelajarnya dan menggunakan silibus moden termasuk sesi latihan mengajar di sekolah Inggeris dan pendedahan kepada cara hidup masyarakat Barat.

Tapak maktab ini asalnya ialah kem tentera.Maka,susun atur dalam maktab ini mirip konsep ketenteraan.Pelajar-pelajar yang baru memasuki maktab ini pasti terkejut dengan keadaan maktab ini kerana ia nya tidak seperti yang tergambar dalam fikiran mereka.Ini kerana sebaik tiba di Kirkby setelah menempuh perjalanan selama 21 hari,bukannya kolej dengan bangunan tinggi sebagaimana kolej lain di England,sebaliknya bangunan kayu setingkat yang pernah digunkan semasa Perang Dunia Kedua.

Tuanku Bainun (2 dari kiri) bersama pensyarah baginda,Miss Chesters dan sahabat baginda.

Kumpulan pertama seramai 148 pelajar dari Tanah Melayu berangkat ke England pada tahun 1951.Mereka menaiki kapal SS Chusan ke Liverpool selama 21 hari. Tuanku Bainun merupakan kumpulan kedua yang berlepas iaitu pada tahun 1952.Baginda baru sahaja berusia 20 tahun ketika itu.Baginda belajar di Maktab Kirkby sehingga tahun 1954.

Selain Tuanku Bainun,Maktab Kirkby menghasilkan ramai cerdik pandai dan professional dalam negara kita.Mereka termasuklah penerima anugerah Tokoh Guru iaitu Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.Selain itu maktab ini juga melahirkan Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan dan juga Datuk Baharuddin Marji yang terlibat dalam penganjuran musabaqah Al Quran sejak tahun 1971 lagi.

Tuanku Bainun merupakan seorang yang aktif dalam sukan hoki.Hobi ini juga membawa jodoh baginda dengan Sultan Azlan Shah yang juga bermain sukan hoki.Pertemuan bersejarah kedua pasangan diraja ini berputik di Kirkby pada tahun 1952.

Pasukan Hoki Maktab Kirkby. Tuanku Bainun (bawah,2 dari kanan).

Tuanku Bainun merupakan Penaung Diraja Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM).Alumni ini amat aktif dalam negara kita. Walaupun semua alumni maktab Kirkby telah lama bersara,namun mereka masih aktif menyumbang bakti kepada masyarakat.Alumni ini sering mengadakan syarahan dan perbincangan tentang situasi bidang perguruan dalam negara.Seminar juga diakan untuk melatih guru-guru tempatan.

Tuanku Bainun bersama Alumni Maktab Kirkby,

Ketika makan malam sempena reunion Alumni Kirkby.

Perasmian Galeri khas Maktab Kirkby di UPSI.

Bersalaman bersama rakan-rakan lama baginda.

Kini,walaupun sudah 51 tahun Maktab Kirkby ditutup,tetapi ia tetap menjadi kenangan bagi mereka 


Sunday, 30 June 2013

Perhiasan Yang Dipakai Oleh Tengku Amalin Ketika Istidat Pernikahan dan Persandingan.

Kalung Yang Dipakai Ketika Istiadat Pernikahan .


Pada hari pernikahan beliau,YAM Tengku Amalin Aishah Putri telah mengenakan kalung berlian yang cukup unik dan cantik. Kalung ini mempunyai reka bentuk yang istimewa dan beliau kelihatan cukup anggun apabila mengenakan kalung ini.Kalung ini sebenarnya milik bonda beliau iaitu YMM Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.Berkemungkinan besar kalung ini direka khas untuk Tengku Anis. Bersempena hari pernikahan Tengku Amalin,baginda meminjamkan kalung ini untuk dipakai Tengku Amalin.Kalung ini beberapa kali dilihat dipakai oleh Tengku Anis sepanjang 30 tahun bergelar Raja Perempuan Kelantan.


Tiara Yang Dipakai Ketika Persandingan.


Sebenarnya,tiara yang dipakai oleh Tengku Amalin Aishah Putri pada hari persandingannya merupakan milik Almarhum nenda beliau iaitu Almarhum Tengku Zainab Tengku Muhamad Petra,Raja Permaisuri Agong ke 6.Tengku Zainab selalu memakai tiara ini di Istiadat rasmi negara ataupun negara.Tiara ini diperbuat daripada berlian dan mempunyai lambang negeri Kelantan di tengahnya.

Tengku Zainab memakai tiara yang sama dalam potret baginda.


Tiara ini dijadikan warisan oleh Tengku Zainab apabila anakanda baginda Sultan Ismail Petra menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1980. Tiara ini dipakaikan pada Tengku Anis yang menjadi Raja Perempuan Kelantan. Boleh dikatakan pada ketika itu tiara ini merupakan tiara rasmi negeri Kelantan.Tiara ini juga dipakai oleh Tengku Anis ketika berkahwin dengan Sultan Ismail Petra.




Kini, tiara ini diperturunkan kepada Tengku Amalin.



Istiadat Persandingan Diraja dan Santapan Diraja Sempena Perkahwinan Tengku Amalin dan Pengiran Abdul Qawi.

WARISAN PERMAISURI akan menyambung entry berkaitan Perkahwinan Diraja antara Tengku Amalin Aishah Putri dan Pengiran Abdul Qawi yang diadakan di Kelantan Darul Naim.Setelah selamat diijabkabulkan,pasangan ini telah disandingkan pada malam 28 Jun 2013 di Dewan Jubli Perak Sultan Ismail Petra,Istana Mahkota Kubang Kerian dengan penuh gilang gemilang yang dihadiri sanak saudara kaum kerabat dari kedua belah keluarga.

Istiadat Persandingan Diraja menyaksikan kedua mempelai memakai persalinan serba hijau lembut yang menyerlahkan lagi seri pengantin di wajah keduanya.Dewan Jubli Perak dihias indah bak berada dalam kayangan sempena menyambut kedua pengantin baru ini.


Merpati dua sejoli di atas pelamin.


Istiadat Santapan Diraja pula menyaksikan tema warna biru digunakan.Dewan dihias serba biru yang sangat menyejukkan mata setiap yang memandang.Tengku Amalin kelihatan sangat jelita dalam persalinan busana berwarna biru.


Sama cantik sama padan.


Gambar semasa Istiadat Santapan Diraja :



Pengiran Anak Hajah Zariah,Tengku Anis, Dr Tengku Faiz Petra dan Tuanku Fauziah.

Hantaran perkahwinan diraja :







Friday, 28 June 2013

Istiadat Perkahwinan Diraja Kelantan dan Brunei.


       Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Amalin Aishah Putri Binti Sultan Ismail Petra dan pasangan beliau Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mohamed Bolkiah yang telah mengikat tali perkahwinan. Hal ini secara langsung mengeratkan lagi hubungan diantara dua keluarga diraja.



Tengku Amalin Aishah merupakan puteri bongsu kepada DYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra,Mantan Sultan Kelantan dan YMM Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid.Beliau diputerikan pada 26 Jun 1984 di Kota Bharu Kelantan.Beliau berkerjaya sebagai seorang majistret berkelulusan undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pengiran Muda Abdul Qawi merupakan anakanda saudara kepada Sultan Brunei.Ayahanda beliau ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah Ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin manakala bonda beliau ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah Binti Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.Beliau diputerakan pada tahun 1974.


Istiadat Akad Nikah telah diadakan pada pukul 8.45 malam 27 Jun 2013.Istiadat dijalankan di Istana Mahkota Kubang Kerian Kelantan.Antara yang berangkat ialah DYMM Sultan Ismail Petra,YMM Tengku Anis,YTM Tengku Dr Faiz Petra,DYTM Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Zariah.

Istiadat Santapan Diraja akan diadakan pada 29 Jun 2013 di Dewan Banquet Istana Mahkota.Sama-sama kita doakan semoga pengantin diraja akan kekal bahagia sampai ke anak cucu.Amin Ya Rabbal Alamin.

Bersama Bonda Tengku Anis .


Bersama kerabat Diraja Kelantan dan Brunei.



Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...