Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 3 August 2019

Majlis Santapan Diraja Sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bagi melengkapkan Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-16, Majlis Santapan Diraja telah diadakan di Dewan Persantapan, Istana Negara Kuala Lumpur pada 31 Julai 2019. Berangkat ke Majlis Santapan Diraja ini ialah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallahi Sultan Iskandar Al-Haj. Turut berangkat, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. 


Sultan dan Sultanah Terengganu.

Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.

Yang Di-Pertuan besar dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Berangkat sama, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri yang terdiri daripada KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara, dan juga KDYMM Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin dan KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Maliha. Negeri Perlis diwakili oleh DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizzudin dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen, negeri Pahang diwakili oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah manakala negeri Kelantan diwakili oleh YTM Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan YBhg Cik Puan Sofie Louise Johansson dan negeri Johor diwakili oleh YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar. 



Sultan dan Raja Isteri Brunei.


Suasana di Bilik Seri Maharaja.

Turut hadir Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri- Yang Di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan- Toh Puan yang terdiri daripada TYT Yang Di-Pertua Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Dato' Seri Utama Majimor, TYT Yang Di-Pertua Melaka Tun Khalil Yaakob, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan YABhg Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi. Hadir sama YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri YABhg Tun Dr Siti Hasmah, YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Menteri-Menteri Kabinet, pegawai tinggi kerajaan, duta-duta asing serta tetamu kehormat seramai lebih kurang 700 orang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Sultan Hasanal Bolkiah.

Tengku Fa-iz Petra dan Cik Puan Sofie.

Tuanku Zara dan Tengku Permaisuri Norashikin berbual sambil diperhati Sultan Nazrin.

Sultanah Maliha dan Tuanku Syed Faizuddin.

Antara perkara menarik mengenai Majlis Santapan Diraja kali ini adalah menu yang dihidangkan mendapat sentuhan peribadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sendiri. Pilihan baginda sebagai pencuci mulut adalah Puding Diraja Pahang, Kacau Labu, Kacau Keledek, Wajik Kasirat, Wajik Ubi, Wajik Durian, Buah Tanjung, Taik Itik dan Kuih Tonjet. 

Sultan Nazrin dan Tengku Permaisuri Norashikin.

Tuanku Aishah Rohani, Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha.


Tuanku Zara dan Sultan Nazrin.

Sejurus keberangkatan tiba Raja-Raja dan Permaisuri-Permaisuri di Istana Negara, baginda dibawa menuju ke Bilik Seri Maharaja. Selesai ketibaan semua Raja-Raja, sesi bergambar beramai-ramai telah diadakan. Selepas itu, kesemua tetamu diraja diiring ke Dewan Persantapan untuk Majlis Santapan Diraja. Majlis Santapan ini dimulakan dengan bacaan doa oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Seri Dr Zulkifli Al-Bakri. 

Sultanah Maliha, Tuanku Syed Faizuddin, Tuanku Lailatul, Tun Khalil, Tun Taib dan Toh Puan Ragad.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah.

Persembahan sempena Majlis Santapan Diraja itu dimulakan dengan tarian Ayak-ayak oleh kumpulan Permata Seni Tari, diikuti persembahan khas video kapsul riwayat hidup Seri Paduka berdua dan Istiadat Pertabalan. Sambil menjamu selera, hadirin dihiburkan dengan muzik instrumental lagu-lagu Pahang antaranya Walinong Sari, Burung Kenek-kenek, Menghilir Sungai Pahang, Lemak Manis Tebang Tebu dan Kain Songket oleh Orkestra RTM. Tidak ketinggalan persembahan muzik instrumental lagu-lagu malar segar seperti Lately, Barefoot Girl, How Deep Is You Love dan Antara Anyer dan Jakarta, serta nyanyian oleh Dayang Nurfaizah.

Sultan Mizan, Sultan Nazrin, Sultanah Nur Zahirah, Sultan Sharafuddin dan Tuanku Muhriz.


Tunku Azizah berbual dengan Sultan Hssanal Bolkiah. Turut kelihatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Raja-Raja Melayu.


Sultan Sallehuddin berbual dengan Sultan Mizan.

Dalam Majlis ini, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong juga membuat kejutan untuk meraikan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang ke-60 yang jatuh pada 30 Julai 2019. Raja Permaisuri Agong mempersembahkan kek berebentuk Singgahsana Istana Negara buat Yang Di-Pertuan Agong. Upacara memotong kek itu disaksikan oleh kesemua tetamu di dalam Dewan Persantapan. Tunku Azizah kemudiannya menyuapkan sepotong kek kepada Al-Sultan Abdullah lalu bersalaman dan berpelukan. Majlis Santapan Diraja menyaksikan Tarian Joget Pahang sebagai penutup persembahan. 



Saat romantis Seri Paduka berdua.

Friday, 2 August 2019

Isiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.

Seri Paduka Baginda berdua di atas takhta.

Tanggal 30 Julai 2019 melakar satu lagi sejarah Raja Berpelembagaan di negara kita apabila Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 ditabalkan. Semenjak kemerdekaan, negara telah menyaksikan 15 kali Istiadat Pertabalan ini diadakan. Istiadat Pertabalan ini begitu signifikan kerana sebagai Ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah simbol kedaulatan dan ketinggian negara kita. Istiadat yang mempamerkan adat istiadat Kesultanan Melayu yang diwarisi secara turun temurun ini tidak pernah lapuk ditelan zaman. Keunikan tertib adat Melayu dalam Istiadat Pertabalan ini.


Negara kita bertuah kerana dipayungi oleh pasangan diraja yang amat prihatin terhadap rakyat. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Allallahi Sultan Iskandar Al-Haj merupakan simbol penyatuan semua rakyat Malaysia.


Istiadat Pertabalan ini diakan di Balairong Seri Istana Negara Jalan Duta dengan penuh gilang gemilang. Balairong Seri dihias indah untuk tatapan seluruh rakyat jelata. Singghsana yang digunakan oleh Seri Paduka pada kali ini merupakan warisan daripada Paduka Ayahanda Seri Paduka Tuanku berdua. Singgahsana yang pernah digunakan oleh Almarhum Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan Almarhum Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-8 Sultan Iskandar Al-Haj telah dibaiki untuk digunakan semasa Istiadat Pertbalan kali ini. 

YAM Tunku Idris Iskandar.

YAM Tunku Ali Redhauddin.

YTM Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan YBhg Cik Puan Sofie.

Seri Paduka Baginda berdua tiba di perkarangan Istana Negara kira-kira pukul 9.58 pagi dan disambut oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan YAB Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Baginda berdua terus menuju ke Peterana  Diraja Sejurus sahaja baginda tiba di Peterana Diraja, lagu Negaraku dimainkan dan baginda menerima tabik hormat. Seterusnya Ketua Kawalan Kehormatan mengadap Seri Paduka memohon perkenan untuk baginda memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan. Selesai memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan, Seri Paduka Baginda berdua berangkat menuju ke Bilik Seri Maharaja untuk bersama dengan KDYMM Sultan Brunei dan Raja Isteri, Raja-Raja Melayu dan Permaisuri serta Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri serta isteri dan juga wakil Raja-Raja Melayu.

TYT Tun Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Ragad.

TYT Tun Juhar dan YABhg Toh Puan Norlidah.

TYT Tun Khalil Yaakob dan YABhg Toh Puan Zurina.

Tepat jam 10.20 pagi, juruacara mengumumkan keberangkatan masuk ke Balairong Seri KDYMM Sultan Brunei dan KDYMM Raja Isteri, para tetamu diraja luar negara, DYMM Raja-Raja dan DYMM Raja-Raja Permaisuri bersama-sama TYT Yang Di-Pertua Negeri- Yang Di-Pertua Negeri dan YABhg Toh Puan-Toh Puan. Keberangkatan masuk bermula dengan wakil DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar iaitu YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan diikuti oleh wakil DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz. Kemudian, keberangkatan masuk wakil KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V iaitu YTM Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan YBhg Cik Puan Sofie Louis Johansson. Seterusnya ketibaan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan YABhg Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah Tan Sri RM Jasni, TYT Yang Di-Pertuan Negeri Melaka Tun Dr Khlail Yaakob dan YABhg Toh Puan Datuk Seri Utama Zurina Kassim dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Dato' Seri Utama Majimor Sharif. 

TYT Tun Abdul Rahman dan YABha Toh Puan Majimor.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin dan DYTM Tuanku Lailatul.

KDYMM Tengku Hassanal.

Keberangkatan masuk ke Balairong Seri diteruskan dengan DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan seterusnya KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah. Seterusnya KDYMM Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff diikuti oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah dan DYMM Raja Permisuri Perak Tuanku Zara Salim. Kebrerangkatan masuk diteruskan dengan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almahrum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Kemudian, keberangkatan masuk tetamu diraja luar negara yang merupakan sahabat Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu YM Sheikh Mohamed Bin Zayed Al-Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi dan akhir sekali keberangkatan masuk KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamad Alam. 

KDYMM Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha.

DYMM Sultan Nazrin dan DYMM  Tuanku Zara.

DYMM Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin.


Tepat jam 10.45 pagi, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat masuk ke Balairong Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat. Alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja. Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat kebesaran Diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia. 

KDYMM Sultan Mizan dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah.

YM Sheikh Mohammed Zayed.

KDYMM Sultan Hassanal Bolkiah dan KDYMM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ dan Seri Paduka Baginda Tunku Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.




Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya memohon perkenan Seri Paduka untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’. Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.




Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan Pertabalan kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan berkenaan. Sejurus itu, Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka yang menerima keris berkenaan menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda.




Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman. Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu 'Raja Bertabal', diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin di dalam Balairung Seri, Istana Negara. Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.




YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kemudiannya sekali lagi menghadap Seri Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan Seri Paduka sebagai mewakili kerajaan dan rakyat. Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana Negara YBhg Datuk Abd Aziz Che Yacob membacakan doa selamat. Usai doa, naskhah al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 selamat disempurnakan. Seterusnya, Balairung Seri sekali lagi bergema dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu 'Raja Berangkat' mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja. Sesudah Seri Paduka Baginda berdua berangkat ke Bilik Seri Maharaja, kesemua tetamu diraja berangkat meninggalkan Balairong Seri dan menuju ke Bilik Seri Maharaja untuk bersama Seri Paduka berdua. 












Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...