Anda Pengunjung Ke :

Friday, 12 February 2016

Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah,D.K., D.K.T., S.S.M.T., S.P.M.T., D.M.N., D.K.(Johor), D.K.(Kedah), D.K.(Kelantan), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Pahang), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), D.K.(Selangor), D.K.M.B.(Brunei), D.P.(Sarawak), S.P.C.M., D.J.B.S., K.St.J(United Kingdom).

Sultan Mahmud ketika bergelar Yang Di-Pertuan Muda Terengganu bersama Tengku Puan Muda Tengku Bariah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah diputerakan pada 29 April 1930 di Kuala Terengganu. Baginda merupakan putera sulung daripada 12 orang adik beradik kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin dan Yang Mulia Tengku Tengah Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar. Ayahanda baginda dilantik sebagai Sultan Terengganu pada 29 September 1945 hingga kemangkatannya pada 20 September 1979. Ayahanda baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Persekutuan Malaysia. Bonda baginda Tengku Zaharah merupakan puteri sulung kepada YAM Tengku Setia Diraja Pahang Tengku Umar Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah. Bonda baginda mangkat pada 19 April 1979, tahun yang sama kemangkatan ayahanda baginda.

Sultan Mahmud ketika berangkat ke Istiadat Angkat Sumpah Yang Di-Pertuan Agong Ke-6.

Sultan Mahmud mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Terengganu dan seterusnya di Sekolah Inggeris Crown Grammar, Kuala Terengganu. Baginda telah melanjutkan pelajaran ke England pada tahun 1949 hingga Disember 1950. Pada 11 Ogos 1951, baginda sekali lagi berangkat ke England untuk mengikuti kursus dalam hal ehwal perikanan. Baginda pulang ke tanah air pada bulan Februari 1954. Baginda seterusnya mengikuti latihan ketenteraan di Kem Latihan Askar Melayu Port Dickson pada 3 Januari 1955 dan pada 20 Ogos 1956, baginda dikurniakan pangkat Kapten Kehormat. Pada 1 Ogos 1965, baginda telah dianugerahkan Tauliah Di-Raja dalam pasukan Askar Wataniah Malaysia sebagai Pegawai Sukarela dengan menyandang pangkat Mejar iaitu menggantikan Tauliah Di-Raja Kehormat dalam Pasukan Askar Melayu Di-Raja. Pada 1 Disember 1968, baginda telah dinaikkan ke Pangkat Leftenan Kolonel dalam Pasukan Pertahanan Tempatan (Askar Wataniah Malaysia). Duli Yang Maha Mulia juga telah dilantik ke jawatan Pegawai Pemerintah Pasukan Pertahanan Tempatan Negeri Terengganu Darul Iman mulai tarikh itu.


Sultan Mahmud dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu pada 13 Disember 1950 pada usia 20 tahun. Baginda telah tiga kali dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Kali pertama pada 2 April 1965 dan kali kedua bermula 21 September 1965 apabila ayahanda baginda dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-4. Kali ketiga pada 21 Mac 1979, semasa ayahanda baginda berangkat ke luar negara. Telah ditakdirkan Allah, pada 20 September 1979, ayahanda baginda, Sultan Ismail Nasiruddin telah mangkat pada usia 72 tahun. Maka, Sultan Mahmud selaku Yang Di-Pertuan Muda dimashyurkan sebagai Sultan Terengganu yang baru. Baginda dimahkotakan sebagai Sultan Terengganu pada 21 Mac 1980 di Istana Maziah Kuala Terengganu. Baginda memakai gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sultan Mahmud dan Tengku Ampuan Besar Bariah.

Sultan Mahmud telah berkahwin sebanyak tiga kali. Perkahwinan pertama baginda bersama puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Bariah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah. Perkahwinan baginda diadakan pada 22 Mac 1951 di Istana Mestika Kuala Lumpur. Tengku Bariah merupakan puteri Sultan Hisamuddin yang kemudiannya menjadi Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 bersama isteri baginda Che Puan Hajah Kalsum Mahmud. Sejurus selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud, Tengku Bariah diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Puan Muda Terengganu. Setelah menaiki takhta negeri Terengganu, Tengku Bariah menggunakan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Hajah Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, D.K., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Selangor) bermula 21 Mac 1980. 

Bersama Sharifah  Nong dan kesemua putera puteri baginda.

Kali keduanya Sultan Mahmud mendirikan rumah tangga di Singapura pada 15 April 1959 dengan Sharifah Nong Fatimah Binti Syed Abdullah Al Sagoff. Sharifah Nong merupakan anak kepada Syed Abdullah Bin Syed Salleh Al Sagoff dan Sharifah Aishah Binti Syed Abdul Rahman Al Junied. Bersama Sharifah Nong, Sultan Mahmud dikurniakan 3 putera dan 3 puteri. Putera-putera baginda ialah KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, YTM Tengku Dato' Mustafa Kamil, dan YAM Tengku Dato' Sri Badrulzaman. Manakala puteri-puteri baginda ialah YAM Tengku Dato Amira Zahara Farah Quraishah, YAM Tengku Nur Rohana Fathia Putri dan YAM Tengku Dato Rahimah Putri. Setelah putera bongsu baginda menaiki takhta Terengganu, Sharifah Nong diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Dato Seri Sharifah Nong Al Sagoff, D.K., S.P.M.T. Kali ketiga Sultan Mahmud berkahwin dengan Cik Khadijah dan pasangan ini bercerai. Bersama Cik Khadijah, Sultan Mahmud dikurniakan seorang putera iaitu YAM Tengku Dato' Badrul Hisham.

Bersama kekanda ipar baginda, Sultan Salahuddin dan anakanda saudara baginda Tengku Idris Shah di Istana Alam Shah.

Sultan Mahmud menyukai sukan golf dan bidang fotografi. Minat dalam bidang fotografi disemai oleh ayahanda baginda yang digelar Bapa Fotografi Moden. Baginda gemar mengambil gambar monumen bersejarah dalam negeri Terengganu antaranya Istana Maziah, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah, Masjid Abidin, Rantau Abang, Wisma Darul Iman dan banyak lagi. Baginda berkawan baik dengan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Baginda bersama Wan Mokhtar membangunkan negeri Terengganu. Antara projek mega semasa pemerintahan baginda adalah Kompleks Petroleum Petronas di Kerteh, Pusat Janakuasa Sultan Ismail di Paka yang merupakan pusat janakuasa terbesar di Malaysia, Projek Tasik Kenyir, Jambatan Sultan Mahmud yang menyambung Kuala Terengganu ke Pulau Duyung dan Kuala Nerus. 

                                         
Sultan Mahmud bersama Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan dan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah.

Sepanjang bergelar Sultan Terengganu, baginda banyak dikurniakan darjah kebesaran dari dalam dan luar negara. Darjah-darjah kebesaran ini termasuklah darjah kerabat dari semua negeri dan juga darjah kebesaran dari negeri Sarawak. Baginda menerima Darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P.) yang membawa gelaran Datuk Patinggi dan Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S.) yang membawa gelaran Datu. Darjah kebesaran dari luar negara pula adalah Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B.). Selain itu, pada tahun 1990, baginda menerima Darjah Knight of Justice of the Order of the Hospital of St John of Jerusalem (K.St.J) daripada United Kingdom. 

Sultan Mahmud bersama Tengku Bariah dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Sebagai menghargai jasa Sultan Mahmud, banyak projek dan institusi yang dinamakan sempena nama baginda. Antaranya adalah Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SMSSM)  yang terletak di Wakaf Tembusu, Kuala Terengganu. Selain itu, Masjid Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, Masjid Al Muktafi Billah Kuala Terengganu, Jambatan Sultan Mahmud di Jalan Tengku Mizan Kuala Terengganu, Jalan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Seberang Takir, Kuala Terengganu, dan Pusat Janakuasa Sultan Mahmud di Tasik Kenyir. Terdapat juga bandar yang mengambil nama baginda iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Tuanku Syed Putra, Tuanku Jaafar, Sultan Mahmud, dan Sultan Abdul Halim.

Sultan Mahmud mangkat pada 14 Mei 1998 pada usia 68 tahun.Baginda mangkat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Jenazah Almarhum Sultan Mahmud dibawa ke Istana Maziah untuk Istiadat Penghormatan Terakhir dan dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu. Baginda merupakan Sultan Terengganu pertama dimakamkan di makam diraja ini. Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Mizan menaiki takhta negeri Terengganu dengan gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah. Al Fatihah untuk Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Keluarga diraja Terengganu.

Menunaika fardu haji bersama kekanda ipar baginda Sultan Salahuddin.

Bersama putera sulung baginda Tengku Mizan.

Sultan Mahmud bersalaman dengan Sultan Iskandar. Turut kelihatan Sultan Azlan Shah.



Tuesday, 9 February 2016

YAM Tunku Dato Seri Adnan Tunku Besar Burhanuddin Mangkat.


Yang Amat Mulia Tunku Dato' Seri Adnan Ibni Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.K.Y.R., S.P.T.J., P.S.D., D.P.M.S., J.M.N., K.M.N., D.S.N. P.M.C., P.J.K., P.J.K.(Melaka).
11.Ogos.1927 - 8.Februari.2016.

Dukacita dimaklumkam bahawa Yang Amat Mulia Tunku Dato' Seri Adnan Ibni Almarhum Tunku Besar Burhanuddin telah mangkat awal pagi semalam. Berita kemangkatan beliau dikhabarkan oleh cucunda saudara beliau, YAM Tunku Zain Al Abidin. Beliau merupakan ayahanda saudara kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir. Tunku Adnan mangkat pada usia 89 tahun. Beliau merupakan anakanda ke 14 daripada 16 orang adik beradik. Antara kekanda baginda ialah Almarhum Tuanku Kurshiah yang merupakan Raja Permaisuri Agong Pertama, Almarhum Tuanku Ampuan Durah, dan YMM Tuanku Najihah. Ayahanda beliau ialah YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah.

Tunku Adnan bersama adinda beliau Tunku Shahabuddin dan Tunku Daud. Turut kelihatan, anakanda saudara beliau Tunku Shahariah dan cucunda saudara Tunku Zain.
sumber : instagram Tunku Zain.

Tunku Adnan diputerakan pada 11 Ogos 1927 di Istana Baroh ,Sri Menanti, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Beliau menyertai Perkhdimatan Awam pada tahun 1949 ketika berusia 22 tahun. Jawatan terkahir beliau dalam kerajaan adalah sebagai Ketua Pengarah Kastam Bahagian Timur pada tahun 1982. Tunku Adnan merupakan seorang kerabat diraja yang aktif dalam bidang sukan Malaysia. Beliau mengetuai delegasi Malaysia dalam sukan Komanwel di Christchurch,New Zealand pada tahun 1972. Beliau bertindak sebagai Chief de Mission. Seterusnya pada tahun 1974, beliau sekali lagi menjadi Chief de Mission , kali ini untuk temasya sukan Asia di Tehran. Dan 10 tahun selepas itu, beliau menjadi Chief de Mission untuk sukan Olimpik ke 23 di Los Angeles pada tahun 1984. 




Tunku Adnan menjadi Timbalan Presiden Malay College Old Boys Association bermula tahun 1969 hingga 1995. Kemudiannya, beliau menjadi Presiden persatuan ini. Selain itu, beliau juga menjadi Presiden Royal Malaysia Vintage & Classic Car Club dan Malaysia & Singapore Vintage Car Register. Minat beliau amat mendalam dalam mengumpul kereta-kereta antik dan klasik. Tunku Adnan banyak memegang jawatan penting dalam persatuan sukan antaranya Persatuan Judo Malaysia, Persatuan Wrestling Malaysia, Veteran Hoki Malaysia, Sepak Takraw Kelantan, dan banyak lagi. Pada tahun 1982 hingga 1984, beliau beliau menjadi Presiden Persatuan Olimpik Malaysia. 




Tunku Adnan mendirikan rumah tangga dengan Yang Mulia Raja Datin Seri Nur Anuar Binti Raja Ahmad pada 24 April 1953. Pasangan ini dikurniakan 2 putera dan seorang puteri. Putera-putera beliau terdiri daripada YM Tunku A'amash dan YM Tunku Dato' Ahmad Burhanuddin. Puteri tunggal beliau pula ialah YM Tengku Puan Panglima Besar Selangor Tunku Anita Abdiyyah. Tunku Anita berkahwin dengan putera Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu YAM Tengku Palnglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad. Tunku Anita mangkat pada tahun 2012.

AL FATIHAH buat Almarhum Tunku Dato' Seri Adnan Tunku Besar Burhanuddin.

Monday, 8 February 2016

Selamat Hari Keputeraan Ke 61 DYAM Raja DiHilir Perak.

MERAFAK SEMBAH UCAPAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH KEPADA 


Duli Yang Amat Mulia 
Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah Afifullah,
D.K.A., S.P.C.M., S.S.D.K.

Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak Darul Ridzuan

Sempena 

Hari Keputeraan Yang Ke-61
Pada 8 Februari 2016 bersamaan 30 Rabiulakhir 1437 Hijrah

Semoga Allah S.W.T. Melanjutkan usia D.Y.A.M. Tuanku.

Monday, 1 February 2016

YMM Che Puan Besar Kedah Tuanku Hajah Haminah.


Potret sebagai Raja Permaisuri Agong dan Sultanah Kedah.

WARISAN PERMAISURI MELAYU kali ini menampilkan seorang mantan Suri Negara yang tidak lagi bertakhta di atas takhta negeri. Baginda berasal dari golongan kebanyakan yang diangkat darjatnya menjadi seorang Permaisuri sebuah negeri seterusnya Permaisuri sebuah negara. Baginda yang dimaksudkan adalah 
Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah Darul Aman Tuanku Hajah Haminah Binti Haji Hamidun, D.M.N., D.K., D.K.H., D.M.K., Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand), Grand Cordon of the Order of the Precious Crown(Japan).

YTM Che Puan Kedah Haminah dan KDYMM Sultan Kedah.

Tuanku Haminah merupakan Raja Permaisuri Agong keempat yang berasal dari golongan kebanyakan. Baginda amat bertuah apabila disunting seorang Sultan berjiwa rakyat pada usia yang cukup muda. Itulah tuah seorang yang dilahirkan sebagai Haminah Binti Hamidun.Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai Perak. Baginda merupakan anak keempat daripada 7 orang adik beradik kepada pangan Y.Bhg Encik Haji Hamidun Bin Taib dan Y.Bhg Puan Isma Binti Mohamad. Keluarga baginda berasal dari Bagan Serai dan baginda memang anak jati negeri Perak. Ayah baginda Hamidun Taib meninggal dunia pada 5 September 2009 pada usia 83 tahun manakala ibu baginda meninggal dunia sebelum sempat melihat baginda menaiki takhta negeri Kedah sebagai Sultanah. Isma Mohamad meninggal dunia pada 17 Ogos 2003. 

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Tuanku Haminah mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong,Bagan Serai dan seterusnya peringkat menengah di Sekolah Menengah Inggeris Bagan Serai.Baginda seorang penggemar sukan sewaktu zaman persekolahan. Baginda seorang pelari trek atau padang untuk sekolah baginda. Selain itu, baginda juga terlibat dalam Pasukan Pandu Puteri dan juga sukan bola jaring. Pada zaman persekolahan juga, Tuanku Haminah mempelajari bahasa Mandarin daripada rakan-rakan baginda yang berbangsa Cina. 

Tuanku Haminah mengaminkan doa.

Pada 25 Disember 1975, ketika berusia 22 tahun, baginda dipertemukan jodoh dengan KDYMM Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Ketika itu Sultan Abdul Halim berusia 48 tahun. Perbezaan usia sebanyak 26 tahun tidak menghalang baginda berdua untuk mendirikan rumah tangga. Tuanku Haminah merupakan isteri kedua Tuanku Sultan selepas KDYMM Sultanah Bahiyah. Selepas berkahwin, baginda menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia Che Puan Kedah Haminah Binti Hamidun. Baginda kerap mengiringi baginda Sultan menghadiri majlis-majlis di sekitar negeri Kedah. Namun, tidak banyak yang diketahui tentang baginda ketika itu walaupun baginda sering muncul di Majlis Rasmi Negeri Kedah. 

Baginda berdua berkongsi minat yang sama.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia hanya Tuhan yang tahu. Begitulah kisah hidup Tuanku Haminah. Setelah kemangkatan KDYMM Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 27 Ogos 2003, maka Tuanku Haminah yang ketika itu bergelar YTM Che Puan Kedah bakal ditabalkan sebagai Sultanah Kedah menggantikan Almarhum Sultanah Bahiyah. Menurut Tuanku Haminah, pada zaman remajanya, ibu baginda sering memanggil baginda dengan panggilan Permaisuri kerana baginda sering bangun lewat. Kerana masin mulut ibu baginda, Tuanku Haminah telah diangkat menjadi Permaisuri sebuah negeri. 

Pertabalan Sultanah Kedah. Sultan Abdul Halim memakaikan tiara dan menganugerahi D.K. kepada Sultanah Haminah,

Tarikh 9 Januari 2004, suatu Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah, Hajah Haminah Hamidun telah diadakan penuh adat istiadat di Balairong Seri Istana Anak Bukit Alor Star. Istiadat dimulakan dengan bacaan selawat dan paluan nobat mengiringi keberangkatan masuk Sultan Abdul Halim dan Che Puan Haminah.Seterusnya watikah pemashuran dibacakan oleh Menteri Besar Dato' Seri Syed Razak Syed Zain. Sultan Abdul Halim menyempurnakan istiadat Pertabalan itu dengan meletakkan tiara di jemala Tuanku Haminah. Kemudiannya, Tuanku Haminah dikurniakan dengan Darjah Kerabat (D.K.) Kedah. Seterusnya tembakan meriam sebanyak 21 das kedengaran dan istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Kedah Dato Sheikh Hasbullah Abdul Halim.

Baginda berdua di atas singgahsana Istana Negara Jalan Duta.

Sekali lagi, dengan takdir Allah, darjat Tuanku Haminah diangkat daripada seorang Permaisuri Negeri menjadi seorang Permaisuri Negara. Suami baginda telah dipilih untuk menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 dan ini merupakan kali kedua Sultan Abdul Halim menjawat jawatan ini. Serentak dengan itu, Tuanku Haminah bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun. Pertabalan baginda berdua diadakan di Balairong Seri Istana Negara Jalan Duta pada 11 April 2012. Baginda dikenali sebagai seorang permaisuri yang murah dengan senyuman dan sifat penyayang baginda amat diketahui rakyat jelata. Rakyat merasa bertuah apabila Seri Paduka berdua menaiki takhta kerajaan persekutuan.

Pasangan diraja yang menyukai sukan golf.

Selain terkenal dengan kelembutan seorang permaisuri, baginda terkenal sebagai seorang ahli sukan yang handal. Baginda suka bermain skuasy, badminton, tenis dan golf. Namun, minat Tuanku Haminah lebih kepada sukan golf. Baginda merupakan antara pemain wanita golf yang handal dalam negara. Baginda sering memenangi pertandingan golf dalam negeri Kedah antaranya pertandingan golf anjuran Kelab Diraja Kedah, anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah, dan Ladies of the Ladies Champion di The Mines. Baginda sering mengambil bahagian didalam pertandingan golf Tebuka Penang dan Terbuka Perak. Antara pertandingan yang amat bermakna buat baginda adalah pada tahun 1987 Pertandingan Gold Bapa Malaysia. Baginda merupakan juara pertandingan itu dan YTM Tunku Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada baginda. Bukan sahaja berminat dalam sukan, baginda juga merupakan seorang peminat muzik sejak zaman remaja lagi. Baginda belajar bermain organ pada tahun 1977 pada usia 24 tahun. Baginda seterusnya mengambil lesen untuk bermain organ pada tahun 1981. Baginda amat gemarkan fast muzik dan sentimental.

Potret selaku Canselor MSU.

Kerja-kerja kebajikan sudah sebati dalam diri Tuanku Haminah. Baginda seorang yang amat sayang kepada kanak-kanak terutama anak-anak yatim. Atas inisiatif baginda, Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) telah ditubuhkan. Baginda sering mencemar duli meraikan anak-anak yatim dan fakir miskin. Baginda amat berminat dalam memajukan taraf hidup wanita terutamanya ibu tunggal. Baginda merupakan Yang Di-Pertua Pandu Puteri Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Wanita Negeri Kedah, Pertubuhan Ibu Tunggal Kedah dan banyak lagi pertubuhan kabajikan yang dinaungi baginda. Dalam bidang pendidikan pula, baginda telah dilantik sebagai Canselor Management and Science University (MSU).

Sifat penyayang Tuanku Haminah terhadap kanak-kanak.

Selaku Raja Permaisuri Agong, baginda sering mengiringi suami baginda membuat lawatan negara ke negara luar. Disebabkan itu, baginda telah dikurniakan dengan dua darjah kebesaran daripada luar negara. Pertamanya, baginda telah dikurniakan dengan darjah kebesaran Dame Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao oleh Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej sempena lawatan baginda ke Thailand pada 2 September 2013. Dan keduanya, baginda dikurniakan dengan darjah kebesaran Jepun Dame Grand Cordon of the Order of the Precious Crown oleh Maharaja Jepun Maharaja Akihito yang diwakili oleh Putera Mahkota Jepun pada tahun 2013.

Gelagat bersahaja Tuanku berdua.

Episod sedih dalam hidup baginda adalah pada 11 September 2017 dimana suami tercinta KDYMM Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pada usia 90 tahun. Pemergian Almarhum buat sahajah dirasai oleh baginda, malah seluruh rakyat Malaysia. Almarhum suami baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar. Selepas kemangkatan Almarhum, Tuanku Haminah menggunakan gelaran YMM Sultanah Hajah Haminah. Pada 21 Januari 2018, bersempena dengan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mengurniakan gelaran Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah kepada Tuanku Haminah. 

Sesungguhnya, sifat penyayang yang ditunjukkan oleh Tuanku Haminah perlu dicontohi oleh semua rakyat Malaysia. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibir baginda membuatkan semua yang melihat baginda merasa senang. Kehadiran baginda juga dinanti-nantikan sebagai penyeri majlis. Kadang-kadang, sikap bersahaja Tuanku Haminah membuat rakyat merasa selesa dengan baginda. Keprihatinan baginda dalam kebajikan rakyat juga amat disanjung tinggi. Kini, pada usia 67 tahun, Tuanku Haminah menetap di Istana Seri Pelangi, Alor Setar dan sering berangkat ke majlis rasmi dan tidak rasmi. Semoga Allah S.W.T. melanjutkan usia  Tuanku Hajah Haminah Binti Haji Hamidun dan diberikan kesihatan yang baik. 

Tuanku Haminah memasak dan menyediakan makanan untuk anak-anak yatim.

Pasangan diraja yang bahagia.


Senyuman seorang permaisuri.

Sunday, 31 January 2016

KENANGAN RAJA-RAJA : Tuanku Yahya Petra.


Siri pengkisahan KENANGAN RAJA-RAJA diteruskan dengan kisah hidup Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6. Baginda juga merupakan Sultan Kelantan Darul Naim yang bertakhta pada tahun 1960 hingga 1979. Baginda yang dimaksudkan ialah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra
D.K., D.K.M., D.M.N., S.M.N., S.P.M.K.,S.J.M.K., S.P.S.K., D.K.(Selangor), D.K.(Terengganu), D.K.(Kedah), D.K.(Brunei), D.K.(Pahang), D.K.(Perlis), D.P.(Sarawak), G.C.M.G., C.M.G., Queen Elizabeth Coronation Medal(United Kingdom).

Tuanku Yahya Petra ketika muda.

Tuanku Yahya Petra diputerakan sebagai Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim Petra. Baginda diputerakan pada 10 Disember 1917 di Istana Balai Besar,Kota Bharu, Kelantan. Putera kedua daripada 26 adik beradik kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Petra Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Bonda baginda merupakan seorang wanita berketurunan biasa bernama Yang Mulia Cik Embong Binti Daud. Ayahanda Tuanku Yahya dilantik sebagai Sultan Kelantan Darul Naim pada 21 Januari 1944 hingga kemangkatannya pada 9 Julai 1960. Takhta negeri Kelantan seterusnya diberikan kepada baginda. Ayahanda baginda mangkat pada usia 63 tahun. Manakala bonda baginda yang diberikan gelaran sebagai Che Ampuan Besar ketika Tuanku Yahya menaiki takhta, mangkat pada 31 Disember 1971 pada usia 72 tahun.

Memakai mahkota kerajaan negeri Kelantan.

Tuanku Yahya Petra dibesarkan di bawah jagaan ayahanda saudara baginda yang tidak mempunyai anak iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Tuanku Yahya mendapat pendidikan awal di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di England pada tahun 1934. Setelah pulang ke tanah air, baginda berkhidmat dalam pelbagai jawatan didalam perkhidmatan awam negeri Kelantan bermula tahun 1941 hingga 1948. Baginda dilantik sebagai Timbalan Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bermula tahun 1941 hingga 1947. Pada 1943, baginda berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Sultan Kelantan yang merupakan ayahanda baginda Sultan Ismail. Pada 2 April 1944, Tuanku Yahya telah dilantik sebagai Penolong Ketua Pegawai Kewangan Negeri Kelantan sehingga tahun 1945. Dan seterusnya pada 6 Februari 1945, baginda dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Bharu sehingga tahun 1948. Seterusnya baginda menjadi Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 1 Januari 1948 hingga 31 Disember 1953. 


Pada 21 Julai 1939, Tuanku Yahya dikurniakan gelaran Tengku Temenggong Kelantan pada usia 22 tahun oleh Sultan Ismail. Baginda juga dikurniakan Darjah Kerabat (D.K.) Kelantan. Baginda seterusnya dinaikkan ke jawatan Tengku Bendahara Kelantan pada 6 Februari 1945 oleh ayahanda baginda Sultan Ibrahim yang menggantikan Sultan Ismail yang mangkat. Setelah ayahanda baginda menaiki takhta negeri Kelantan pada 1944, kekanda sulung Tuanku Yahya, YTM Tengku Indera Petra dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan. Bagaimanapun terdapat peselisihan faham di antara Tengku Indera Petra dengan ayahandanya Sultan Ibrahim sehinggakan jawatan beliau sebagai Tengku Mahkota dilucutkan pada 1 Februari 1948. 

Tuanku Yahya Petra dan ayahanda baginda Sultan Ibrahim.

Tuanku Yahya yang ketika itu bergelar Tengku Bendahara dilantik menggantikan kekanda baginda sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan pada hari yang sama. Baginda dilantik secara rasmi dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Balai Besar pada 19 Jun 1948. Sepanjang bergelar Tengku Mahkota, baginda telah dua kali menjadi pemangku Raja. Pertamanya pada 3 hingga 30 Jun 1953 dan keduanya pada 12 Ogos hingga 12 Disember 1958. Pada 9 Julai 1960, ayahanda baginda Sultan Ibrahim mangkat. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 10 Disember 1960 dan dimahkotakan pada 17 Julai 1961 oleh YAM Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad di Istana Balai Besar Kota Bharu. Baginda menggunakan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. 

Keluarga diraja Kelantan.

Tuanku Yahya Petra mendirikan rumah tangga dengan Yang Mulia Tengku Zainab Binti Tengku Muhammad Petra pada 4 Jun 1939 di Istana Balai Besar Kota Bharu. Tengku Zainab juga merupakan kerabat diraja Kelantan. Baginda berdua berusia 22 tahun ketika berkahwin. Tengku Zainab merupakan puteri kepada Y.BM. Tengku Sri Utama Raja Tengku Muhammad Petra Ibni Tengku Idris dan YAM Tengku Kembang Petri Binti Almarhum Sultan Muhammad IV. Jadi, Tengku Zainab merupakan sepupu kepada Tuanku Yahya Petra dimana ayahanda Tuanku Yahya merupakan adik beradik kepada bonda Tengku Zainab. Tengku Zainab mendapat gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Mahkota pada 9 Ogos 1956. Setelah menaiki takhta negeri Kelantan, Tengku Zainab menggunakan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan Tengku Zainab dan seterusnya Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Keenam Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra, D.K., D.M.N., S.P.M.K.


Perkahwinan Tuanku Yahya dan Tengku Zainab dikurniakan seorang putera dan 4 puteri. Putera tunggal baginda ialah DYMM Sultan Ismail Petra. Manakala puteri-puteri baginda terdiri daripada Y.BM Tengku Puan Sri Utama Raja Tengku Dato' Merjan, Y.BM Tengku Dato' Rozan, Y.BM Tengku Dato' Salwani, dan YAM Tengku Rohani. 

Titah ucapan diraja sempena pertabalan.

Pada 21 September 1970, penggal Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-4 Tuanku Ismail Nasiruddin berakhir. Maka, Timbalan Yang-Di Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdul Halim menaiki takhta kerajaan persekutuan selaku Yang Di-Pertuan Agong Ke-5. Maka, diatas kekosongan jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Yahya Petra dilantik mengisi kekosongan itu. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong selama 5 tahun. Semasa pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Ke-6 pada tahun 1975, sultan yang kanan iaitu Sultan Ismail Johor menolak pencalonan akibat sudah lanjut usia. Ketika itu baginda sudah berusia 81 tahun. Tuanku Yahya Petra juga pada mulanya menolak kerana mengalami serangan strok yang serius. Namun, baginda menukar fikiran dan menerima jawatan Yang Di-Pertuan Agong. Penggal 5 tahun baginda bermula 21 September 1975. Ketika itu baginda berusia 58 tahun.

Atas faktor kesihatan, Tuanku Yahya mengurangkan aktiviti baginda. Namun, baginda masih mengambil tahu hal ehwal rakyat dan negara. Setelah 4 bulan bergelar Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak telah meninggal dunia pada 14 Januari 1976. Beliau digantikan oleh YAB Dato' Hussien Bin Onn. 

Solat di Masjid Negara sambil diiringi oleh Perdana Menteri.

Tuanku Yahya tidak sempat menghabiskan tempoh 5 tahun pemerintahan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong. Baginda mangkat pada 29 Mac 1979 di Istana Negara Kuala Lumpur. Baginda mangkat akibat serangan jantung ketika tidur. Baginda ketika itu berusia 62 tahun. Baginda hanya sempat menjadi Yang Di-Pertuan Agong selama 3 tahun 6 bulan sahaja. Manakala baginda menjadi Sultan Kelantan selama 19 tahun. Jenazah baginda diletakkan di Istana Negara untuk penghormatan terakhir dan kemudian dibawa berarak melalui Parlimen untuk ke Masjid Negara. Baginda dimakamkan dengan penuh adat istiadat di Makam DiRaja Langgar, Kota Bharu. Baginda meninggalkan balu, Tengku Zainab serta seorang putera dan 4 puteri. Putera tunggal baginda, Tengku Ismail Petra menggantikan baginda sebagai Sultan Kelantan dengan bergelar Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra. Sultan Ismail memerintah Kelantan sehingga kegeringan baginda pada tahun 2010. Kini, negeri Kelantan diperintah oleh cucunda Tuanku Yahya iaitu KDYMM Sultan Muhammad V.

Ketika Kemahkotaan Sultan Kelantan pada tahun 1961.

Sebagai seorang Sultan dan Yang Di-Pertuan Agong, baginda banyak dianugerahkan darjah kebesaran dari dalam dan luar negara. Baginda menerima Darjah Kerabat Kelantan seawal usia 22 tahun. Baginda merupakan antara Sultan yang menerima Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran Tun. Baginda menerima S.M.N. daripada Yang Di-Pertuan Agong Pertama pada 31 Ogos 1958. Selain darjah kerabat dari negeri-negeri Melayu, baginda juga menerima Darjah Kerabat Laila Utama Brunei Darussalam pada tahun 1961. Pada tahun 1952, King George VI telah menganugerahkan baginda darjah kebesaran Companion of the Order of St Michael & St George (C.M.G.). Dan pada tahun 1972, Queen Elizabeth II telah mengaugerahi baginda dengan Knight Grand Cross of the Order of St Michael & St George (G.C.M.G.) yang membawa gelaran "Sir".

                                         

Sepanjang berkhidmat sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Yahya Petra banyak menaburkan jasa dan bakti untuk kemajuan negara. Sebagai menghargai pengorbanan baginda, sebuah jambatan dinamakan Jambatan Sultan Yahya Petra yang terletak di Kelantan. Bukan itu saja, sebuah bandar di Kuching Sarawak diberi nama Petra Jaya mengambil sempena nama baginda. Sebagai tanda penghormatan kepada baginda, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada roh baginda. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tuanku Yahya Petra dan Almarhum Tengku Zainab dan menempatkan baginda berdua bersama orang-orang beriman.

Tuanku Yahya Petra dan Tengku Zainab ketika Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-6.

Tuanku Yahya Petra bersama Tun Abdul Razak dan Tengku Ismail Petra.

Tuanku Syed Putra mengurniakan Darjah Kerabat Perlis kepada Tuanku Yahya Petra.

Tuanku Yahya Petra selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Bersama Perdana Menteri Dato' Hussein Onn ketika sambutan Hari Kemerdekaan.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...