Anda Pengunjung Ke :

Monday, 11 April 2016

T.Y.T. Tun Khalil Yaakob dan Y.A.Bhg. Toh Puan Zurina Kassim.


Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil Bin Yaakob,
S.M.N., D.U.N.M., S.U.M.Z., S.J.M.K., S.S.A.P., P.S.M., S.I.M.P., S.P.D.K., D.P., D.S.A.P., J.S.M., S.M.P., G.C.O.M.(Germany). 

dan


Yang Amat Berbahagia Isteri Yang Di-Pertua Negeri Melaka Toh Puan Datuk Seri Utama Dato' Zurina Binti Kassim, 
D.U.N.M., S.I.M.P.



Tuan Yang Terutama Tun Mohd Khalil Bin Yaakob dilahirkan pada 29 Disember 1937 di Kuantan, Pahang. Beliau merupakan anak ketiga kepada pasangan Yaakob Bin Awang Shukor dan Salmah Binti Zainuddin. Tun Khalil mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad Shah, Kuantan Pahang dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (M.C.K.K.) pada tahun 1950. Beliau meneruskan pengajian ke peringkat universiti di Universiti Malaya dalam bidang Sastera. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1962 ketika beliau berusia 25 tahun. Tun Khalil merupakan seorang pelajar yang aktif ketika zaman universiti. Beliau merupakan Majlis Perwakilan Pelajar, Presiden Kesatuan Sukan, dan mewakili Universiti Malaya dalam sukan ragbi.


Setelah menamatkan pengajian, Tun Khalil menyertai Kementerian Luar Negeri. Kerjaya awal beliau adalah sebagai seorang diplomat di negara asing. Beliau telah berkhidmat sebagai diplomat selama 13 tahun di negara-negara seperti Italy, Maghribi, Singapura dan Indonesia. Sejurus sahaja pulang ke tanah air selepas 13 tahun di negara orang, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka(LKWJ). Tun Khalil pertama kali bertanding dalam pilihanraya adalah pada tahun 1978. Beliau yang ketika itu berusia 41 tahun telah bertanding untuk mewakili Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam dan telah memenangi bagi kawasan tersebut. Beliau seterusnya beralih ke peringkat Parlimen apabila bertanding di kerusi Parlimen Maran pada Pilihanraya Umum 1982 dan beliau sekali lagi menang. Pada usia 45 tahun, Tun Khalil dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Beliau seterusnya dilantik sebagai Menteri penuh pada 14 Julai 1984. Beliau menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan menjaga perkara berkaitan Perkhidmatan Awam dan Lembaga Urusan Tabung Haji. 


Tun Khalil kembali ke Dewan Undangan Negeri apabila bertanding di DUN Bukit Tanjau pada pilihanraya tahun 1986. Beliau memenangi kerusi itu dan telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-13 pada 14 Ogos 1986 ketika berusia 49 tahun. Beliau menjadi Menteri Besar Pahang selama 13 tahun sehingga tahun 1999. Pada 22 Mei 1999, setelah meninggalkan jawatan Menteri Besar, beliau telah dilantik sebagai Senator. Beliau kemudiannya bertanding untuk Parlimen Kuantan pada Pilihanraya Umum Ke-9 dan menang. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO.

Setelah bersara daripada kerajaan pada tahun 2004, beliau telah dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka menggantikan YABhg Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Bin Syed Mahmud Shahabuddin. Tun Khalil dilantik secara rasmi pada 4 Jun 2004 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Beliau telah menjadi Yang Di-Pertua Negeri selama 12 tahun sehingga hari ini. 


Sepanjang 13 tahun menjadi diplomat dan 17 tahun menjadi menteri dan menteri besar, Tun Khalil telah banyak dianugerahi dengan darjah kebesaran dan penghargaan. Beliau telah dianugerahi dengan Ijazah Doktor Kehormat dari University of Southern, Philippines dalam bidang perkhidmatan awam pada tahun 1980. Beliau juga menerima Ijazah Doktor Kehormat dari The Oxford Centre of Leadership, London pada tahun 2007. Pada tahun 2013, Tun Khalil dianugerahi dengan Anugerah Legendary Brand Icon Leadership Award 2013 oleh The Brandlaureate Malaysia. Selaku Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Melaka (UTeM) pada tahun 2004 sehingga kini. 


Sebagai Yang Di-Pertua Negeri, Tun Khalil telah dianugerahi dengan Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran "Tun" pada 20 Julai 2004. Selain itu, beliau juga dianugerahi dengan darjah kebesaran dari negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah, dan juga Sarawak. Beliau juga pernah dianugerahi Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran "Tan Sri". Beliau juga penyandang darjah kebesaran tertinggi negeri Melaka iaitu Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama". Beliau juga menerima penghormatan dari Jerman apabila diberi Grand Cross of the Order of Merit (G.C.O.M.) Germany.


Pada 28 Februari 1965, Tun Khalil telah bertemu jodoh dengan Yang Amat Berbahgia Toh Puan Datuk Seri Utama Dato' Zurina Binti Kassim. Hasil perkahwinan Tun Khalil dan Toh Puan Zurina telah dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Mohd Raznam Mohd Khalil, Lalla Nezha Mohd Khalil dan Rahadian Mahmud Mohd Khalil. Anak sulung beliau, Mohd Raznam telah meninggal dunia pada tahun 2011 akibat komplikasi buah pinggang. 

Toh Puan Zurina dilahirkan pada 13 Julai 1944 di Duyong, Melaka. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dan seterusnya Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tun Khalil ketika berusia 21 tahun. Selepas itu, beliau bergelar isteri diplomat dan mengikut suami beliau bertugas di luar negara selama 13 tahun. Banyak ilmu dan pengalaman dikumpul oleh Toh Puan Zurina selama berada di rantau orang. 

TUN MOHD. KHALIL YAAKOB dan Idris Haron (kanan) menyaksikan Toh

Toh Puan Zurina aktif dalam bidang kebajikan. Beliau mengasaskan Yayasan Toh Puan Zurina untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Yayasan yang mengambil nama Toh Puan Zurina ini merupakan Pusat Hemodialisis yang diilhamkan sendiri oleh Toh Puan pada November 2009. Pesakit buah pinggang boleh mendapatkan rawatan haemodialisis percuma di Kompleks Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit. 


Sebagai isteri Yang Di-Pertua Negeri, Toh Puan Zurina telah dianugerahi dengan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) oleh suami beliau yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama". Beliau juga telah dianugerahi dengan Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.) yang membawa gelaran Dato' oleh KDYMM Sultan Pahang. 


Kini, Tun Khalil telah berusia 79 tahun manakala Toh Puan Zurina berusia 72 tahun dan kedua-duanya masih berkhidmat untuk negeri Melaka. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada TYT Tun Khalil Yaakob dan YABhg Toh Puan Zurina Kassim.

DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis
Tuanku Lailatul Shareen Akashah Binti Dato' Khalil,
S.P.M.P.(Perlis).

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Binti Datuk Khalil diputerikan pada 28 Mac 1970 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Baginda merupakan puteri kedua daripada empat orang adik beradik kepada Y.Bhg. Datuk Haji Khalil Akasah dan Y.Bhg. Datin Hajah Nik Rahimah Wan Ahmad. Bapa baginda merupakan seorang ahli pernigaan terkenal dan bekas Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien.

Tuanku Lailatul mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Bukit Nenas bermula tahun 1977 hingga 1984. Pada usia 14 tahun, baginda melanjutkan pelajaran ke Melbourne, Australia dan menetap di sana selama lapan tahun. Baginda memasuki sekolah Merton Hall-Melbourne Girls Grammar School sehingga habis peringkat menengah. Baginda seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat tinggi di La Trobe University dalam bidang kemanusiaan. Pada tahun 1992, pada usia 22 tahun, baginda dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bidang Kemanusiaan.


Tuanku Lailatul bertemu jodoh dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 9 Mei 1994. Perkenalan baginda berdua bermula semasa kedua-duanya menuntut di Australia. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Arau Perlis. Perkahwinan baginda diserikan dengan kehadiran 3 orang cahaya mata. Puteri sulung baginda diputerikan pada 10 Februari 1995 diberi nama Y.A.M. Sharifah Khatreena Nuraniah, puteri kedua yang diberi nama Y.A.M. Sharifah Farah Adriana diputerikan pada 4 Mac 2001. Manakala putera bongsu baginda yang diberi nama Y.A.M. Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail diputerakan pada 12 April 2009.


Tuanku Lailatul diberikan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis pada 1 Ogos 2002. Suami baginda diberikan gelaran D.Y.T.M. Raja Muda Perlis setelah kemangkatan nenda baginda Almarhum Tuanku Syed Putra. Selaku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato' Seri oleh ayahanda mertua baginda D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 Mei 2002. Baginda sering mengiringi bonda mertua baginda, D.Y.M.M. Tuanku Fauziah mencemar duli ke pelbagai jenis majlis dan keraian. 


Sebagai seorang wanita yang mempunyai latar belakang yang hebat, baginda mempunyai pelbagai bakat dan minat. Baginda minat membaca dan melukis. Baginda juga meminati sukan luncur ais, jet ski dan berenang. Baginda pernah mengikuti kursus bahasa Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Baginda pernah menjadi Pengurus Pentadbiran bagi syarikat ASIE Sdn Bhd pada tahun 1995 ketika baginda berusia 25 tahun. Baginda kemudiannya meletakkan jawatan untuk mengiringi suami baginda bertugas di Madrid, Sepanyol selama tiga tahun dan di Zurich,Switzerland selama 4 tahun. 


Baginda memegang jawatan sebagai Penaung Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Cawangan Perlis, Dewan Pernigaan Melayu Malaysia Wanita (DEWANITA) Perlis, Smart Reader Worldwide, selain menjadi Pengerusi Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM). Baginda juga merupakan Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Tuanku Lailatul dilantik sebagai Presiden Allianze College of Medical Sciences pada 15 Mac 2009. Baginda juga diberi tauliah sebagai Mejar Kehormat dalam Rejimen Askar Wataniah. Baginda dilantik sebagai Pro-Canselor UniMAP berkuatkuasa 13 Mac 2009. 

Pro-Canselor UniMAP.

Sebagai isteri kepada pewaris takhta negeri dan bakal permaisuri negeri, Tuanku Lailatul banyak memberi sumbangan kepada negeri Perlis. Baginda adalah tulang belakang yang menyokong suami baginda, D.Y.T.M. Tuanku Syed Faizzuddin Putra. Baginda akan senantiasa mencemar duli bersama suami baginda dalam pelbagai majlis yang melibatkan rakyat Perlis. Penglibatan baginda bersama rakyat Perlis tidak dapat disangkal lagi. Semoga Allah merahmati hidup DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah dan memberikan kesihatan yang baik kepada baginda sekeluarga. 

DYTM Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda Perlis.


Ketika dimashurkan sebagai Raja Puan Muda Perlis oleh ayahanda mertua baginda Tuanku Syed Sirajuddin.

Friday, 1 April 2016

1 April 2016 : 56 Tahun Kemangkatan Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Sir Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad,
D.M.N., S.M.N., D.K.(Brunei), G.C.M.G., K.C.M.G., C.M.G.(United Kingdom).

24.Ogos. 1895 - 1.April.1960

Tarikh 1 April 1960 merupakan tarikh sedih bagi seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu kerana seorang ketua negara yang bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong telah mangkat menemui Penciptanya. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad yang berusia 65 tahun mangkat di dalam tidur di Istana Negara, Kuala Lumpur. Baginda meninggalkan balu, Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin serta 3 putera dan 5 puteri. Jenazah baginda disemayamkan di Dewan Banquet Istana Negara untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Jenazah baginda dibawa ke Seremban menggunakan kereta api dan seterusnya ke Istana Besar Seri Menanti. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti dengan penuh adat istiadat diraja. Kini, 56 tahun telah berlalu. Semoga roh Almarhum ditempatkan bersama orang-orang beriman.







WAJAH-WAJAH SEORANG RAJA YANG DIKASIHI RAKYAT.






Thursday, 31 March 2016

30 Mac 1980 : Kemahkotaan Sultan Ismail Petra.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darul Naim Ke-28
Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra,
D.K., D.M.N., D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Selangor), D.K.(Johor), D.K.(Kedah), D.K.(Perak),D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.M.B.(Brunei), D.P.S.S., D.P.(Sarawak), S.P,M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.

Tarikh 30.Mac.1980 merupakan Hari Kemahkotaan KDYMM Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra dan KDYMM Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis. Sultan Ismail merupakan Sultan Kelantan ke-28. Baginda menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Yahya Petra yang mangkat semasa bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6. Sultan Ismail yang ketika itu berusia 31 tahun dimahkotakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu Kelantan. Baginda dimahkotakan oleh YBM Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Ahmad Ibni Almarhum Tengku Long Abdul Ghafar.







Tuesday, 29 March 2016

29 Mac : Kemangkatan Almarhum Tuanku Yahya Petra.

29 Mac : Hari Keputeraan Almarhum Tuanku Munawir.

Al - Fatihah..


DALAM KENANGAN.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman,
D.M.N., S.M.N., D.K.(Brunei), S.P.M.B., Queen Elizabeth II Coronation Medal, Sultan Ismail Johor Coronation Medal.

DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-8 (1960-1967).

Biodata Almarhum Tuanku Munawir :


Monday, 28 March 2016

Khas Sempena Ulangtahun Perkahwinan Ke-20 Sultan dan Sultanah Terengganu.





WARISAN PERMAISURI MELAYU menyembah tahniah kehadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Darul Iman Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Darul Iman Sultanah Hajah Nur Zahirah sempena Ulangtahun Perkahwinan Ke-20 Ke Bawah Duli-Duli Tuanku pada 28 Mac 2016. Pasangan Diraja ini mendirikan rumah tangga pada tanggal 28 Mac 1996. Sultan Mizan yang ketika itu bergelar Yang Di-Pertuan Muda Terengganu berusia 34 tahun manakala Sultanah Nur Zahirah yang ketika itu bergelar YABhg To' Puan Seri Rozita Binti Adil Bakeri berusia 23 tahun. 

Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Maziah dan disaksikan oleh ayahanda Sultan Mizan, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Besar Bariah, bonda Sultan Mizan Sharifah Nong Al Sagoff, nenda Sultan Mizan Almarhum Tengku Ampuan Intan Zaharah serta seluruh kerabat negeri Terengganu. Baginda berdua dikurniakan dengan 2 orang putera dan 2 orang puteri. Puteri sulung YAM Tengku Nadhirah Zaharah diputerikan pada 18 Disember 1996, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu YTM Tengku Muhammad Ismail diputerakan pada 1 Mac 1998, YAM Tengku Muhammad Mu'az pada 22 Disember 2000 dan YAM Tengku Fatimatuz Zahra' pada 19 April 2002. Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah menaiki takhta persekutuan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-13 bermula tahun 2006 hingga 2011. Kini, setelah usia perkahwinan mencecah ke angka 20, baginda berdua masih dilihat sebagai pasangan diraja yang romantis dan saling melengkapi antara satu sama lain. Bersempena ulangtahun ke 20 Perkahwinan baginda berdua, WARISAN PERMAISURI akan membawakan 20 gambar-gambar Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Darul Iman Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah,
D.K.T., D.K.R., D.K., D.K.M., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d'Honneur (France), The Most Auspicious Order of The Rajamitrabhorn (Thailand), Collar De La Orden Al Merito De Chile (Chile), Necklace of Independence (Qatar), Bintang Republik Indonesia ADIPURNA (Indonesia)

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Darul Iman Sultanah Hajah Nur Zahirah,D.K., D.M.N., D.K.(Kedah), S.S.M.Z., S.S.M.T., Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).


















Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...