Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis
Tuanku Lailatul Shareen Akashah Binti Dato' Khalil,
S.P.M.P.(Perlis).
Tuanku Lailatul Shareen Akashah Binti Dato' Khalil,
S.P.M.P.(Perlis).
Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Binti Datuk Khalil diputerikan pada 28 Mac 1970 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Baginda merupakan puteri kedua daripada empat orang adik beradik kepada Y.Bhg. Datuk Haji Khalil Akasah dan Y.Bhg. Datin Hajah Nik Rahimah Wan Ahmad. Bapa baginda merupakan seorang ahli pernigaan terkenal dan bekas Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien.
Tuanku Lailatul mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Bukit Nenas bermula tahun 1977 hingga 1984. Pada usia 14 tahun, baginda melanjutkan pelajaran ke Melbourne, Australia dan menetap di sana selama lapan tahun. Baginda memasuki sekolah Merton Hall-Melbourne Girls Grammar School sehingga habis peringkat menengah. Baginda seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat tinggi di La Trobe University dalam bidang kemanusiaan. Pada tahun 1992, pada usia 22 tahun, baginda dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bidang Kemanusiaan.
Tuanku Lailatul bertemu jodoh dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 9 Mei 1994. Perkenalan baginda berdua bermula semasa kedua-duanya menuntut di Australia. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Arau Perlis. Perkahwinan baginda diserikan dengan kehadiran 3 orang cahaya mata. Puteri sulung baginda diputerikan pada 10 Februari 1995 diberi nama Y.A.M. Sharifah Khatreena Nuraniah, puteri kedua yang diberi nama Y.A.M. Sharifah Farah Adriana diputerikan pada 4 Mac 2001. Manakala putera bongsu baginda yang diberi nama Y.A.M. Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail diputerakan pada 12 April 2009.
Tuanku Lailatul diberikan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis pada 1 Ogos 2002. Suami baginda diberikan gelaran D.Y.T.M. Raja Muda Perlis setelah kemangkatan nenda baginda Almarhum Tuanku Syed Putra. Selaku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato' Seri oleh ayahanda mertua baginda D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 Mei 2002. Baginda sering mengiringi bonda mertua baginda, D.Y.M.M. Tuanku Fauziah mencemar duli ke pelbagai jenis majlis dan keraian.
Sebagai seorang wanita yang mempunyai latar belakang yang hebat, baginda mempunyai pelbagai bakat dan minat. Baginda minat membaca dan melukis. Baginda juga meminati sukan luncur ais, jet ski dan berenang. Baginda pernah mengikuti kursus bahasa Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Baginda pernah menjadi Pengurus Pentadbiran bagi syarikat ASIE Sdn Bhd pada tahun 1995 ketika baginda berusia 25 tahun. Baginda kemudiannya meletakkan jawatan untuk mengiringi suami baginda bertugas di Madrid, Sepanyol selama tiga tahun dan di Zurich,Switzerland selama 4 tahun.
Baginda memegang jawatan sebagai Penaung Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Cawangan Perlis, Dewan Pernigaan Melayu Malaysia Wanita (DEWANITA) Perlis, Smart Reader Worldwide, selain menjadi Pengerusi Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM). Baginda juga merupakan Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Tuanku Lailatul dilantik sebagai Presiden Allianze College of Medical Sciences pada 15 Mac 2009. Baginda juga diberi tauliah sebagai Mejar Kehormat dalam Rejimen Askar Wataniah. Baginda dilantik sebagai Pro-Canselor UniMAP berkuatkuasa 13 Mac 2009.
Pro-Canselor UniMAP.
Sebagai isteri kepada pewaris takhta negeri dan bakal permaisuri negeri, Tuanku Lailatul banyak memberi sumbangan kepada negeri Perlis. Baginda adalah tulang belakang yang menyokong suami baginda, D.Y.T.M. Tuanku Syed Faizzuddin Putra. Baginda akan senantiasa mencemar duli bersama suami baginda dalam pelbagai majlis yang melibatkan rakyat Perlis. Penglibatan baginda bersama rakyat Perlis tidak dapat disangkal lagi. Semoga Allah merahmati hidup DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah dan memberikan kesihatan yang baik kepada baginda sekeluarga.
DYTM Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda Perlis.
Ketika dimashurkan sebagai Raja Puan Muda Perlis oleh ayahanda mertua baginda Tuanku Syed Sirajuddin.
No comments:
Post a Comment