Anda Pengunjung Ke :

Friday 13 March 2015

Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri Johor Darul Ta'zim..

Sempena dengan Hari Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac ini, WARISAN PERMAISURI membawakan kisah MAHKOTA KERAJAAN NEGERI JOHOR dan MAHKOTA PERMAISURI JOHOR. Negeri Johor merupakan satu daripada empat negeri Melayu yang mempunyai mahkota. Mahkota ini biasanya digunakan untuk istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan seseorang Sultan. Mengikut sejarah, MAHKOTA KERAJAAN JOHOR ini diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1886. Mahkota ini dibuat oleh syarikat JW Benson, yang membuat barang kemas diraja British. Mahkota ini seberat 1.6 kilogram dan rekabentuknya bercirikan ketimuran dan dihiasi intan dan batu permata. Terdapat empat bulan bintang bercantum melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negeri Johor. Mahkota ini mengandungi 6 biji berlian besar, 3 biji batu delima merah, 4 batu zamrud besar, dan 4 biji batu nilam biru besar. Jumlah berlian kecil yang terdapat pada mahkota ini ialah 1450 biji. 


Mahkota Permaisuri (Diadem) digunakan untuk suri Sultan Johor. Dalam tahun 1925, Almarhum Sultan Ibrahim telah berkenan mengubah mahkota ini dengan mengadakan 5 biji berlian besar, setiap satunya 18 karat. Baginda juga menambah kepada regalia itu dengan seutas rantai yang mengandungi 671 butir berlian dan sebuah tiara daripada emas putih bertatahkan berlian. 


Kali terakhir mahkota ini dilihat dipakai oleh Sultan Johor adalah semasa Kemahkotaan Sultan Ismail pada tahun 1960.

Sultanah Nora memakai Mahkota Permaisuri ketika dimahkotakan sebagai Sultanah Johor.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...