Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 11 December 2016

Keputeraan Sultan Selangor : Tengku Permaisuri Ketuai Penerima Darjah Kebesaran.




Bersempena Hari Keputeraan Yang Ke-71, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj berkenan menganugerahi Darjah Kerabat Yang Amat DiHormati (D.K.) Selangor kepada isteri baginda, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Darul Ehsan Tengku Permaisuri Norashikin. Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Darul Ehsan Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj. Tengku Permaisuri Norashikin sebelum ini pernah menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri selepas perkahwinan baginda dengan Sultan Sharafuddin.


Tengku Permaisuri Norashikin menerima D.K. Selangor.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Seri Muhammad Ibrahim dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin merupakan penerima Darjah Kelas Pertama – Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) – yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri’. Sementara itu, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Yang Amat Arif Tan Sri Dr Ibrahim Lembut menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.)(Kelas Pertama) yang membawa gelaran ‘Datuk Setia’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka Setia’ bagi wanita. Turut menerima S.S.I.S ialah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Wahid Omar.


Menyampaikan titah diraja.

Mendahului senarai sembilan penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran ‘Dato” bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita adalah bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din. Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak awal tahun ini telah menyenarai nama Haron sebagai calon untuk dikurniakan darjah kebesaran tersebut namun beliau telah meninggal dunia pada 16 Sept lepas di Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung. Penerima lain D.P.M.S ialah Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Yang Mulia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Bishop of Kuching, Sarawak Datuk Bolly Anak Lapok; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Yang Berbahagia Academician Tan Sri Ahmad Zaidee Ladin dan Pengarah Urusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Holdings Sdn Bhd, Yang Berbahagia Prof Dr Husaini Omar.

Turut menerima D.P.M.S adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Markas Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan; Panglima 10 Briged Para, Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Selangor, Nor Azmie Diron serta Pegawai Daerah Hulu Langat, Zul-kefli@Zulkefli Khalid.

Sebanyak 10 orang menerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran ‘Dato” bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita. Mereka ialah Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Mohamed Tengku Harun; Managing Partner Head of Southeast Asia TPG, Datuk Ganendran Sarvananthan; legenda bola sepak pasukan Harimau Malaya era 1980-an, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain.


Tengku Amir Shah menerima D.K. Selangor.

Anggota Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Prof Dr Mujaini Tarimin; Penyunting/Penyampai Berita Televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harjit Singh Hullon Bhagwan Singh; Pengarah Hospital Shah Alam, Dr Hasni Hanapi; Timbalan Yang Dipertua Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Datin Norpiah Abdul Shukor; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Hasan Azhari Idris; dan Timbalan Pengerusi Singapore GP Pte Ltd, Syn Wai Hung Colin turut menerima D.S.I.S.

Seramai lima atlet menerima darjah kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S.), iaitu darjah dan bintang Kebesaran Sukan Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dizahirkan Sultan Selangor sejak tahun lepas. Mereka adalah pemenang pingat emas acara lontar peluru Sukan Paralimpik 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli; Setiausaha Kehormat Persatuan Tenpin Bowling Selangor, Shalin Zulkifli; pelumba basikal negara, Mohd Rizal Tisin; gimnas artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi; dan atlet terjun kebangsaan, Chew Yiwei.

Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor bersama Raja Muda Selangor, Menteri Besar dan isteri.

Sebanyak 13 orang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) antaranya Tengku Indera Bijaya Diraja, Tengku Salehuddin Shah; Tengku Seri Perkasa Diraja, Tengku Musahiddin Shah; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Sallehen Mukhyi; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Salehan Yatim dan imam besar Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Burhanuddin Ahmad. Sementara itu, sebanyak 14 orang menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) termasuk Pengarah Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor, Aminah Abd Rahim dan penerbit rancangan Jabatan Penyiaran RTM, Zuraida Mohammad Arif.

Sebanyak 17 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), 19 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S), seorang penerima Bintang Kegemilangan Sukan Selangor (B.K.S.) dan tujuh penerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).


No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...