Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 2 December 2018

YMM Almarhum Raja Perempuan Besar Tengku Budriah Tengku Ismail.


Tahukah anda siapakah gerangan figura dalam gambar di atas? Kepada penduduk negeri Indera Kayangan sudah tentu tidak asing lagi dengan wanita hebat ini. Figura yang dimaksudkan ialah Almarhum Yang Maha Mulia Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail,D.K.,S.S.P.J.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kelantan),S.P.M.K.,A.M.N.,The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),The Great Cross Of Agriculture Merit(Cambodia), First Class Of The Order Of Precious Crown(Japan),Nahdar Star First Class (Pakistan),United Arab Republic Order of Makal Perfection.


YMM Tengku Budriah diputerikan pada 28 Mac 1924 di Kuala Krai, Kelantan Darul Naim. Merupakan puteri kepada pasangan diraja Yang Amat Mulia Tengku Mek Haji Ismail Ibni Almarhum Tuan Besar, Raja Pattani dan Yang Amat Mulia Tengku Besar Zubaidah AlmarhumTengku Abdul Kadir. Bonda baginda merupakan puteri kepada Raja Pattani terakhir iaitu Almarhum Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sulaiman Syarafuddin Shah. Baginda mendapat pendidikan yang sempurna daripada kedua ayahanda dan bondanya.Pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Krai dan kemudiannya ke Sekolah Inggeris Kuala Krai.Pada tahun 1935, baginda melanjutkan pelajaran ke Ipoh,di Sekolah Menengah Anglo Chinese. Sewaktu sekolah, baginda amat aktif dalam aktiviti ko kurikulum terutama unit beruniform Pandu Puteri. 


Pada tahun 1941,sewaktu berusia 17 tahun,baginda telah mendirikan rumah tangga dengan Almarhum DYMM Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail.Ketika itu Tuanku Syed Puta masih bergelar Raja Muda Perlis.Ketika itu Tuanku Syed Putra berusia 21 tahun.Perkahwinan diraja ini dikurniai dengan 5 orang putera dan 5 orang puteri.Salah seorangnya adalah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,Raja Perlis sekarang.


DYMM Tuanku Syed Putra telah ditabalkan sebagai Raja Perlis Indera Kayangan pada tahun 1945.Serentak dengan pertabalan itu,Tengku Budriah juga ditabalkan sebagai Raja Perempuan Perlis di usia cukup muda,21 tahun.Baginda menduduki takhta kerajaan Perlis sebagai permaisuri sehinggalah kemangkatan Tuanku Syed Putra pada tahun 2000.Tengku Budriah merupakan permaisuri yang paling lama bertakhta di samping suami baginda,iaitu selama 55 tahun sebagai Raja Perempuan. Baginda meneruskan khidmat sebagai Raja Permaisuri Agong Ke3 bermula tahun 1960 sehingga 1965.Secara ringkasnya,Tengku Budriah merupakan Permaisuri terakhir Tanah Melayu dan Permaisuri Pertama bagi negara Malaysia.Keistimewaan baginda juga adalah,Tengku Budriah merupakan satu-satunya Permaisuri bagi negara Singapura.

Tengku Budriah ketika zaman muda.

Di masa lapangnya,baginda gemar memasak,berkebun,menjahit dan juga membuat gubahan bunga.Segala hasil kerja tangan Tengku Budriah akan dijual dan baginda akan mendermakannya kepada Taman Asuhan Darulfarah.Nama Tengku Budriah amat sinonim dengan kebajikan.Baginda merupakan penaung kepada pertubuhan amal dan kebajikan.Baginda juga aktif dalam memperkasakan peranan wanita dalam negara.Antara jawatan yang disandang baginda adalah:

  . Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKLIM)
  . Penaung Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah.
  . Penaung Lembaga Perkumpulan Perempuan Islam Perlis.
  . Penaung Persatuan Dialisis Tuanku Syed Putra
  . Penaung Persatuan Hoki Wanita Malaysia.


Setelah kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra pada tahun 2000, putera sulung baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah menaiki takhta Perlis. Tengku Budriah selaku bonda kepada Raja Perlis telah dimuliakan dengan gelaran YANG MAHA MULIA TUANKU RAJA PEREMPUAN BESAR PERLIS. Gelaran ini dipakai baginda sehingga baginda mangkat.Baginda masih aktif lagi dalam persatuan dan kebajikan walaupun bukan seorang permaisuri lagi.Baginda mencurahkan bakti yang tidak ternilai kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya.Sesungguhnya Tengku Budriah merupakan wanita pelopor dalam pelbagai bidang di negara kita.YM Tengku Tan Sri Ahmad Rethauddin Tengku Ismail yang merupakan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan juga bekas menteri kabinet merupakan adinda kepada Tengku Budriah.


Setelah 8 tahun bersemayam sebagai Raja Perempuan Besar,baginda telah mangkat di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 28 November 2008.Baginda mangkat di usia 84 tahun.Kemangkatan baginda telah diumumkan oleh Menteri Besar Perlis Dato Seri Dr Mad Isa Sabu.Jenazah baginda diterbangkan oleh pesawat Hercules ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim,Kedah.Jenazah baginda kemudian dibawa ke Istana Arau untuk penghormatan terakhir.


Jenazah baginda disembahyangkan oleh Imam II Masjid Negeri di Istana Arau dan kemudiannya disembahyangkan sekali lagi oleh Imam Masjid Negeri selepas solat Asar.Jenazah Tengku Budriah selamat disemadikan bersebelahan makan Almarhum suami baginda.Baginda meninggalkan 10 orang putera dan puteri,35 orang cucunda dan 24 orang cicinda. Bendera separuh tiang dikibarkan sebagai tanda perkabungan di atas kemangkatan YMM Tuanku. Al Fatihah buat Almarhum Tuanku.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tuanku. 

Berikut adalah gambar-gambar kenangan Almarhum Tengku Budriah:

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-3.

Raja Perempuan Besar Perlis.

Tengku Budriah bersama Almarhum Tuanku Syed Putra dan putera baginda Tuanku Syed Sirajuddin.

Bersama menantu baginda, Tuanku Fauziah.

Ketika bergelar DYMM Raja Perempuan Perlis.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

2 comments:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...