Sultan Nazrin dan Tuanku Zara bersemayam di Singgahsana Istana Iskandariah.
Istiadat Tabal Adat bagi
pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Shah berlangsung di Istana
Iskandariah, Bukit Chandan di sini hari ini dalam suasana penuh tradisi dan
adat resam Kesultanan Melayu Perak. Istiadat Tabal Adat yang menandakan
kesinambungan teraju pemerintahan Perak itu bermula dengan para jejawat yang
membawa masuk masing-masing 16 lembing dan payung kerajaan mengambil tempat di
kiri kanan Balairung Seri. Paluan Nobat yang memainkan lagu 'Raja
Berangkat' serentak mengiringi keberangkatan tiba Sultan Perak dan Raja
Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang masing-masing lengkap berpakaian
songket kuning diraja.
Terdahulu Sultan Nazrin Shah menerima Hormat Diraja yang diiringi
lagu kebesaran negeri Perak Darul Ridzuan oleh pasukan pancaragam Tentera Laut
Diraja Malaysia di dataran istana pada pukul 9 pagi. Baginda kemudian
berkenan memeriksa Kawalan Kehormat pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja
Divisyen 2 sebelum istiadat tersebut diteruskan di Balairung Seri. Sultan
Nazrin Shah segak dengan persalinan yang dilengkapi, antaranya, tanjak, Rantai
Bunga Nyiur (rantai panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai
bersilang) dan Pontoh Bernaga (sepasang gelang yang disarung di lengan kanan
dan kiri Sultan Perak) manakala Tuanku Zara memakai antara lain tiara, Agok
(kalung emas), Dokoh (perhiasan emas berpermata) dan Pontoh Ular Lidi -
kesemuanya merupakan Perkakasan Kebesaran Kerajaan Negeri.
Menerima tabik hormat.
Memeriksa kawalan kehormat di perkarangan Istana Iskandariah.
YTM Raja Azlan Muzaffar Shah dan YTM Raja Nazira Safya.
Adinda dan adinda ipar Sultan Nazrin Shah.
Sultan Nazrin menerima tabik hormat. Turut kelihatan Raja Muda Perak dan Raja DiHilir Perak.
Pasangan diraja itu
diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak
Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain
dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. Orang Kaya-Kaya
Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim menghadap
Sultan Perak bagi memohon perkenan untuk memulakan istiadat disusuli bacaan
ayat-ayat suci al-Quran oleh Radhi Kamarul Hailan, yang merupakan tenaga
pengajar al-Quran di Perak.
Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti
yang menatang al-Quran diiringi seorang Panglima dan dua Bentara masuk ke
Balairung Seri bagi mempersembahkan kitab suci itu kepada Sultan Nazrin Shah di
singgahsana yang dihiasi bunga emas pada kiri dan kanannya. Sultan Nazrin
Shah kemudian mengucup al-Quran dan meletakkannya di atas tempat khas yang
disediakan di sebelah kanan baginda. Istiadat Tabal Adat diteruskan dengan
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin
membaca Watikah Permasyhuran Pertabalan Sultan Perak yang ditatang oleh
Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim.
Sesuai pemasyhuran dibacakan, Raja Chik Muda Pawang Diraja
mengambil peranan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada Sultan Perak,
yang kemudian mencabut pedang itu daripada sarung sebelum mengucupnya. Mohd
Zahidi kemudian mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga
kali diikuti sekalian hadirin. Sejurus itu, Nobat dipalu serentak dengan
tembakan meriam 21 das dilepaskan.
Keberangkatan tiba YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
Tuanku Bainun diiringi cucunda baginda Raja Azlan Muzaffar Shah serta 3 puteri baginda iaitu Raja Azureen, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.
Wakil Raja-Raja Melayu yang berangkat ke Istiadat Tabal Pusaka.
Toh Seri Nara Diraja
Mohd Shah Nong Chik kemudian naik ke singgahsana mempersembahkan 'Mestika
Embun' dan menyunting 'Cap Halilintar' (mohor yang diperbuat daripada perak) ke
telinga kanan Sultan Perak sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani' (asal-usul
Sultan). Selepas itu, istiadat Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Raja
Permaisuri Perak diteruskan dengan bacaan watikah pemasyhuran oleh Mohd
Zahidi. Tuanku Zara Salim bangun menyembah Sultan Nazrin Shah yang
kemudian menyemat 'Bunga Pencawa Pencara' di kepala Raja Permaisuri Perak.
Apabila selesai pengisytiharan dibacakan, sekali lagi Mohd Zahidi
mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat' sebanyak tiga kali diikuti sekelian
hadirin serta paluan nobat. Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa
serta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir masing-masing mempersembah
ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak raja-raja dan Orang Besar Perak Darul
Ridzuan serta mewakili kerajaan dan rakyat. Sultan Nazrin Shah kemudian
berkenan menyampaikan titah bersempena istiadat pertabalan
baginda. Istiadat Tabal Adat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Perak
Tan Sri Harussani Zakaria diikuti Mohamad Othman menghadap Sultan Perak untuk
menyembah istiadat selamat disempurnakan.
Sultan Nazrin mengucup Pedang Cura Si Manja Kini.
Sultan Nazrin mengucup Al Quran.
Toh Seri Nara Diraja mempersembahkan Mestika Embun kepada Sultan Nazrin.
Toh Seri Nara Diraja menyunting Cap Halilintar ke telinga Sultan Nazrin Shah.
Turut berangkat
menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Perak XXXV ialah bonda Sultan Nazrin
Shah, Raja Permaisuri Tuanku Bainun. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mengaminkan doa yang dibacakan oleh Mufti Negeri Perak.
Sultan Nazrin menyampaikan titah diraja.
Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan menyembahkan naskah Al Quran kepada Sultan Nazrin Shah.
Raja Puan Muda Perak, Raja DiHilir Perak, Raja Puan Besar Perak dan Raja Muda Perak.
Ucapan tahniah dan taat setia oleh DYTM Raja Muda Perak Raja Ja'afar Raja Muda Musa.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja membacakan watikah Pemasyhuran Pertabalan Sultan Perak.
Menteri Besar Perak menyampaikan ucapan tahniah dan taat setia mewakili rakyat jelata.
Toh Seri Nara Diraja membisikkan Rahsia Nisab Sultani ke telingan Sultan Nazrin Shah.
Tuanku Zara mencium tangan Sultan Nazrin Shah setelah selamat ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Perak.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat meninggalkan Balairong Seri setelah selesai Istiadat Tabal Pusaka.
sumber : jabatan penerangan / bernama/ peraktoday/ fairulhatim
Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU
No comments:
Post a Comment