Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 5 May 2015

Alat Kebesaran Diraja Perak.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan alat-alat yang paling unggul dan dihormati. Alat-alat ini digunakan di dalam Istiadat Pertabalan seseorang Sultan. Di dalam Istiadat atau Upacara Kebesaran di-Raja yang lain, hanya sebahagian sahaja digunakan dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.

Alat-alat Kebesaran ini dibawa ke Negeri Perak Darul Ridzuan dari Kampar Sumatera) oleh Sultan Perak Yang Pertama, Sultan Mudzaffar Shah, dalam abad keenam belas. Pedang Cura Si Manja Kini, Keris Seri Gading dan Keris Taming Sari adalah di antara Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan yang paling unggul. Pedang Cura Si Manja Kini bersama-sama dengan Rantai Bunga Nyiur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ula Lidi dan Cap Halilintar adalah pakaian Sultan Perak Semasa pertabalan. Kesemua alat ini dibawa ke Perak dari Melaka oleh Sultan Perak Pertama, Sultan Mudzaffar Shah (1528-1549).

Alat-alat Kebesaran Negeri yang turut dibawa oleh Sultan Mudzaffar Shah dan mengiring Baginda Sultan dalam Istiadat Pertabalan termasuklah Puan Naga Taru dan Puan Bujur (tepak sirih emas) dan Keris Warisan yang bermata emas dan Keris Taming Sari. Walau bagaimanapun terdapat beberapa alat asal yang telah hilang dalam peredaran zaman. Di antara Alat-alat Kebesaran di-Raja yang telah hilang semasa Sultan Ismail memindahnya dari Istana pada tahun 1874 termasuklah Mundam, iaitu mangkuk emas bertatah permata di sekeliling bikar dan beralaskan pinggan emas, dan tali pinggang yang diperbuat daripada enam belas keping cakra yang bercantum. Selain daripada alat-alat tersebut ada beberapa alat lagi yang ditambah dari masa ke masa. Di antaranya termasuklah Lembing Kerajaan, Payung Kerajaan dan Payung Di-Raja.

TANJAK DIRAJA .
Tanjak Di-Raja

Di antara pakaian-pakaian kebesaran Raja-raja Melayu ialah TANJAK. Semenjak beberapa kurun lamanya Raja-raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan berbagai-bagai solek di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah ke sebuah negeri. Tanjak ini hampir sama dengan Tengkolok.

AIGRETTE DIRAJA.
Aigrette Di-Raja
Aigrette Di-Raja ini telah direka khas oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris I, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I pada tahun 1911. Apabila Sultan Idris mangkat pada tahun 1916, Aigrette Di-Raja ini telah dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran Negeri Perak dan pakaian Raja-Raja Pemerintah. Pada penghujung bulan Disember 1941, apabila tentera Jepun menghampiri Kuala Kangsar, Encik Jomaran, Pegawai Daerah ketika itu, telah membawa Aigrette Di-Raja ini ke Singapura untuk dijaga keselamatannya. Aigrette Di-Raja ini telah dikembalikan kepada Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Aziz di zaman pemerintahan Pentadbiran Tentera British (BMA).

TIARA.
Tiara
Tiara ini yang bertatah dengan permata ialah Perkakas Kebesaran Kerajaan Negeri bagi pakaian Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.

PEDANG CURA SI MANJA KINI.
Pedang Cura Si Manja Kini
CURA SI MANJA KINI adalah berasal dari perkataan Sankrit Churiga (Si) Mandakini yang bererti Mata Pisau dari Tasik Mandakini (sebuah tasik berhampiran dengan Sungai Ganges, India).

Mengikut cerita, pedang ini pada asalnya adalah kepunyaan Sang Sapurba (juga digelar Nila Utama) yang tiba-tiba menjelma di Bukit Si Guntang Mahameru bersama-sama dengan dua orang adindanya. Mengikut Hikayat Ketinggian Salasilah Perak keturunan Sultan Perak adalah berasal dari keturunan Sang Sapurba, anakanda kepada Raja Suran dan Puteri Mahtab al-Bahari (puteri kepada Raja Aftab al-Ardzi). Adalah dipercayai Sang Sapurba telah memerintahkan Permasku Mambang untuk membunuh seekor naga yang diberi gelaran Saktimuna dengan Pedang CURA SI MANJA KINI. Pada waktu itu Saktimuna sedang mengancam penduduk-penduduk di Minangkabau. Pedang yang sama juga digunakan oleh Parameswara semasa beliau ditabalkan sebagai Maharaja Melaka yang pertama. Nama gelaran Maharaja ini ditukarkan kepada Sultan apabila Parameswara menganut Agama Islam. Almarhum Sultan Mahmud, Sultan terakhir Negeri Melaka, mewarisi pedang ini dan disimpan oleh Baginda sehingga Baginda menjadi Sultan Kampar-Sumatera selepas Baginda berjaya melarikan diri dari serangan Portugis pada tahun 1511. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1530. Sebelum mangkat, Baginda Sultan Mahmud telah menghantar anakandanya Raja Mudzaffar Shah untuk menjadi Sultan yang pertama bagi Negeri Perak. Di dalam keberangkatan Raja Mudzaffar Shah, Baginda dilengkapkan dengan pedang ini dan alat-alat kebesaran kesultanan. Dari tarikh itu PEDANG CURA SI MANJA KINI yang melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah telah menjadi alat perkakas turun termurun bagi sultan yang memerintah Negeri Perak.

KERIS TAMING SARI.
 Keris Taming Sari
Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi Jawatan Laksamana Melaka, yang akhir sekali dijawat oleh Hang Tuah.

Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas. Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana haluan dalam mengejar musuh. Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik mengadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk mengadap sendiri ke bawah Duli Sultan kerana gagal untuk mendapat Puteri Gunung Ledang untuk baginda. Tatkala Sultan Mahmud meninggalkan Melaka baginda membawa keris ini bersama-sama baginda ke Kampar-Sumatera. Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzaffar Shah, yang kemudiannya berangkat ke Perak.

PONTOH.
Pontoh
PONTOH BERNAGA ialah sepasng gelang emas berkepala naga yang disarungkan ke lengan kanan dan kiri Paduka Seri Sultan dalam Istiadat Rasmi Kebesaran Negeri.

Pontoh
PONTOH ULAR LIDI ialah sepasang gelang emas berbentuk kepada ular lidi dan dipakai di kedua-dua belah lengan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri dalam Istiadat rasmi Kebesaran Negeri.

KERIS SERI GADING
Keris Seri Gading
Sebilah Keris dalam Kumpulan Perkakas Kerajaan Negeri Perak. Keris ini berasal dari Bugis dan namanya diambil daripada nama Istana Raja Bugis ke Tiga, Daeng Upu Tanderi Burong. Dipunyai oleh Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah, iaitu pusaka peninggalan daripada nenda Baginda Almarhum Sultan Idris Murshidul'adzam Shah, Sultan Yang Kedua Puluh Lapan. Waris-waris Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah kemudian menghadiahkan keris pusaka ini untuk dijadikan sebagai salah satu Perkakas-perkakas Kerajaan.

MESTIKA (GELIGA) EMBUN.
Mestika (Geliga) Embun
ALAT kebesaran ini merupakan satu azimat yang dipersembahkan oleh Toh Seri Nara di-Raja kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak semasa Istiadat pertabalan. Semasa Almarhum Raja Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang pertama, di satu tempat yang bernama Tanah Abang pada tahun 1528, Tun Perabu atau dikenali sebagai Tok Puan Puteh (setelah meninggal dunia dipanggil Tok Temong), telah datang ke Istiadat Pertabalan tersebut dengan diiiringi oleh 77 ekor gajah dari Hulu Perak untuk mempersembahkan Mestika Embun ini kepada Sultan.

Sebagai balasan Sultan Mudzaffar Shah telah mengurniakan kepada beliau dengan Puan Bujur, tetapi beliau menolak. Sebaliknya beliau memohon agar Baginda Sultan memperkenankan beliau untuk terus memerintah di sebelah kiri mudik Sungai Perak dan meminta agar Sultan dan semua Sultan-sultan yang mewarisi takhta Kesultanan Perak menghadkan kawasannya di tebing sebelah kanan mudik Sungai Perak. Sultan Mudzaffar Shah telah berkenan dengan permintaan ini. Walau bagaimanapun adat tradisi ini telah dihentikan semenjak pemerintahan Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Shah I, Sultan yang ke 28, apabila Baginda membina sebuah istana di tebing kiri mudik Sungai Perak.

AGOK.
Agok
AGOK - Sejenis kalong emas dipakai di leher Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri pada masa Istiadat Pertabalan.

KANCING HALKAH.
Kancing Halkah
Perhiasan leher baju bertekad benang emas zaman purbakala dipercayai dikurniakan oleh Maharaja China kepada Parameswara. Alat Kebesaran Kerajaan ini, hanya disimpan sahaja. Asas seniukir yang terdapat pada Kancing Halkah ialah dua pasang naga.

DOKOH (KERONGSANG BESAR ).
Dokoh (Kerongsang Besar)
DOKOH - Sejenis perhiasan dari emas berpermata di tengahnya, berbentuk seakan-akan kerongsang yang besar yang dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri semasa Istiadat Pertabalan.

KAMAR.
Kamar
KAMAR - Tali pinggang emas berkancing yang diletak pada Pending dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri dan Puteri di-Raja di Istiadat Bersanding.

RANTAI BUNGA NYIUR.
Rantai Bunga Nyiur
RANTAI BUNGA NYIUR - Rantai emas panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai bersilang oleh Baginda Sultan bersama dengan pakaian kebangsaan rasmi dalam semua Istiadat Rasmi Negeri termasuk Istiadat Pertabalan.

MOHOR KECIL CAP HALILINTAR.
Mohor Kecil Cap Halilintar
MOHOR yang diperbuat daripada perak, terukir pada mukanya "Sultan Muhamad Shah Dzil Allah fil-Alam". Pada pemegangnya adalah sebatang kayu yang menggantikan yang asal, kayu Gempita (Guroh) mengambil sempena gelaran Vijaya Indra atau Simbol Guruh. Mohor ini berasal dari nama Cap Kayu Kempa kepunyaan Sang Sapurba. Nama Sultan MUhammad, Melaka (1400-1414) sebelum memeluk agama Islam ialah Parameswara.

MOHOR RAJA.
Mohor Raja
MOHOR RAJA ini digunakan untuk mengecap segala perkara yang berkehendakkan ianya dicap dengan Mohor Raja Pemerintah itu sendiri. Mohor Raja ini mengandungi nama dan gelaran Raja Pemerintah dalam huruf jawi dan perkataan "Sultan Perak". Ia disimpan oleh Menteri Besar dan digunakan apabila menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

GELUK
Geluk
GELUK - Adalah buyung kecil yang diperbuat daripada perak dan emas. Kesemua 16 biji iaitu 8 buyung perak dan 8 buyung emas. Perkakas ini digunakan di Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di 7 buah kuala anak Sungai Perak. Paluan Nobat mengiring perkakas-perkakas ini di sepanjang jalan ke Sungai dan balik ke Istana. Geluk itu dihiaskan dengan daun nyiur jari lipan dan daun pinang muda dan akan diisikan dengan air daripada 7 kuala anak Sungai Perak itu.

Bilangan Geluk-geluk yang digunakan:-

(a) Bagi Baginda Sultan dan Raja Permaisuri serta Putera/Puteri
 - 8 Geluk Emas
 - 8 Geluk Perak

(b) Bagi Putera/Puteri Raja Muda - 11 biji
(c) Bagi Putera/Puteri Raja Di-Hilir - 9 biji
(d) Bagi anak-anak Raja Waris Negeri - 7 biji

Perkakas-perkakas lain yang diperlukan:-

3 cerpin (bekas beras kunyit, bekas beras basah, tepung tawar)
4 batil (air limau, air bunga panca, bekas kemenyan dan bekas sintuk)
1 bekas perasap.

Perkakas-perkakas ini digunakan dalam Istiadat Berlimau Besar dan Istiadat Bersiram Tabal.

PUAN.
Puan

PUAN - Bekas sirih dua biji bernama Puan Nagataru dan Puan Bujur.  Kurniaan Almarhum Sultan Mudzaffar Shah kepada Tok Temong kemudian dipersembahkan kembali kepada Baginda dan menjadi Alat-alat Kebesaran Negeri.

Puan
Kedua-duanya dipakai dalam Istiadat Meminang dan Perkahwinan di-Raja dan juga Istiadat Meming Bidan.

BATIL  EMAS
Batil Emas
Batil emas berasal dari Acheh dan ianya digunakan dalam Istiadat Berlimau Besar.

JATA DI-RAJA
Jata Di-Raja
JATA DI-RAJA ini adalah untuk kegunaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Jata di-Raja Perak ini mengandungi enam lambang yang mempunyai maksud seperti berikut:-
Aigrette di-Raja sebagai tanda kedaulatan Raja Pemerintah.
Bulan Sabit - menandakan Agama Islam sebagai Agama rasmi.
Bintang Pecah Sembilan - menunjukkan terdapat 9 daerah dalam Negeri perak.
Pedang Kerajaan - bernama Cura Si Manja Kini (melambangkan kekuasaan).
Cogan kata "Allah Peliharakan Sultan Perak" - doa rakyat kepada Sultan Pemerintah Negeri.
Bunga Padi melambangkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

Jata Di-Raja
JATA DI-RAJA ini direka khas untuk kegunaan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak. Jata ini mengandungi enam lambang yang mempunyai maksud seperti berikut:-
 
Tiara di-Raja - tanda kedaulatan Raja Pemerintah.
Pedang Kerajaan (Cura Si Manja Kini).
Bulan - melambangkan Agama Islam yang menjadi Agama Rasmi.
Bintang Pecah Sembilan - menunjukkan terdapatnya sembilan daerah dalam Negeri Perak.
Cogan Kata " Allah Peliharakan Raja Permaisuri" - lafaz doa rakyat untuk Raja Permaisuri.
Bunga Padi - menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

PANJI DI-RAJA.
Panji Di-Raja
PANJI DI-RAJA untuk Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, berlatar belakang putih dan mempunyai Jata di-Raja di tengah-tengah. Warna putih ialah warna peribadi Paduka Seri Sultan.Panji di-Raja ini mempunyai tiga ukuran. Panji yang berukuran 2.7 m x 1.8 meter dikibarkan di Istana Duli Paduka Seri Sultan bersemayam.

Panji yang berukuran 1.8 m x 0.9 m biasanya dikibarkan di lain-lain tempat rasmi di mana Duli Paduka Seri Sultan berangkat mencemar Duli. Panji yang berukuran 26.7 sm x 19.0 sm dikibarkan di kenderaan Paduka Seri Sultan Perak.


Panji Di-Raja
Panji peribadi Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak berukuran 26.6 sm x 19.0 sm berlatar belakang putih dan di tengahnya terdapat Jata di-Raja. Panji peribadi ini dikibarkan hanya di kenderaan semasa Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Istiadat Rasmi. Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak tidak mempunyai panji peribadi untuk dikibarkan di tempat-tempat baginda bersemayam.

LEMBING KERAJAAN NEGERI PERAK.
Lembing Kerajaan Negeri Perak
LEMBING-LEMBING KERAJAAN - Lembing sebanyak 16 semuanya diperbuat daripada perak yang berukir di batang dan di mata lembing pula berukir dengan lambang Kerajaan Negeri Perak. Ianya dibawa oleh Jejawat lelaki yang berbaju putih dan seluar putih dan bersamping kuning di bawah baju dan bertengkolok kain batik bercorak getam perkasam. Pakaian Jejawat Lembing dan Payung Kerajaan adalah sama.

Lembing ini digunakan berselang-seli dengan Payung Kerajaan dengan didahului oleh Payung Kerajaan. Biasanya Payung Kerajaan dan Lembing disusun 16 di sebelah kiri dan 16 di sebelah kanan yang diatur oleh Panglima Dalam. Bagi kegunaan Paduka Seri Sultan kesemua 32 (Lembing dan Payung) digunakan; Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda 16 sahaja; Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir 12 sahaja dan anak-anak Raja Waris Negeri 8 sahaja. Ini pun dengan perkenan dari Baginda Sultan.

Cara mengguna Lembing-lembing ini adalah sama seperti menggunakan Payung Kerajaan, tetapi bagi Istiadat Mengambil Air Limau di Sungai Perak hanya 16 buah Lembing sahaja digunakan sementara Payung Kerajaan tidak dibawa bersama dalam Istiadat Perarakan.

PAYUNG DI-RAJA.
Payung Di-Raja
Payung-payung di-Raja yang digunakan oleh:-
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar (Payung Kuning berenda emas).
Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda (Payung Hitam berenda emas).
Yang Amat Mulia Raja-Raja bergelar Payung Biji Remunia

PAYUNG KERAJAAN NEGERI PERAK.
Payung Kerajaan Negeri

PAYUNG KERAJAAN - Kesemuanya sebanyak 16 kaki. Payung ini berwarna putih dan kuning dan batangnya yang sepanjang 2.4 meter, berukir dengan perak dan di kepala payung berbentuk gasing Perak dari perak juga. Payung ini digunakan di semua Istiadat di Balai Rongseri dan Balai Panca Persada. Di anjung Istana sebanyak 3 kaki Payung Kerajaan digunakan untuk menyambut pembesar kehormat. Pembawa Payung Kerajaan ini ialah Jejawat namanya.

Di dalam istiadat rasmi di Balai Rongseri kesemua 16 Payung Kerajaan digunakan sementara bagi kegunaan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan dalam istiadat perkahwinan Putera/Puteri Raja hanya 8 sahaja digunakan, 6 Payung untuk Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir dan bagi anak-anak Raja Waris Negeri 4 sahaja iaitu sama dengan istiadat permakaman dan perkebumian. Walau bagaimanapun kegunaan Payung Kerajaan ini hendaklah diperkenankan oleh Paduka Seri Sultan atau menjunjung titah perintah.

SUNDANG KERIS PANJANG.
Sundang Keris Panjang

SUNDANG KERIS PANJANG adalah kumpulan yang tertinggi dalam kumpulan keris. Ianya berasal dari Kepulauan Silawesi dan diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu dalam Abad Ketujuh Belas.

Mata Sundang mempunyai kesemua ciri-ciri keris bermata dua dan menjuru hulu.

Sundang digunakan untuk memotong dan mencincang dan bukan menikam. Dengan ini cengkamannya adalah berlainan daripada cengkaman keris dan ukuran puratanya ialah 56 sm panjang dan 20 sm lebar di hulunya.

Sundang yang digunakan dalam Istiadat Kebesaran Negeri ialah Curam, Si Raja Wali, Sundang dan Sada Maikah. Ianya didukung oleh empat orang Kundang pada bahu kanan masing-masing.

sumber : http://sultan.perak.gov.my/informasi/alat-alat-kebesaran-negeri-perak.html

5 comments:

  1. Info yg sgt bagus. 👍👍👍

    ReplyDelete
  2. Nani ni benda lama bagi information yg baru la takan yg lama susah mau Cari information yg baru ni kerja sekolah menengah tda dpt cari. Tapi kalau teda iformation yg baru juga tda apa la it ok

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...