Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 4 November 2015

Kekanda Agong, Tunku Hamidah Mangkat.

AL-FATIHAH.
Yang Teramat Mulia Tunku Dato' Seri Datin Paduka Hajah Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah,
S.P.M.K., S.S.D.K., S.M.S.

Dukacita dimaklumkan bahawa kekanda sulung kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Dato' Seri Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pada pukul 11.50 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star. Beliau mangkat pada usia 89 tahun akibat kegeringan. Jenazah Almarhum akan dimakamkan esok pada pukul 10.00 pagi di Makam DiRaja Langgar. Jenazah beliau disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit bermula pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam untuk penghormatan terakhir. 

Tunku Hamidah diputerikan pada 22 September 1926 di Istana Anak Bukit, Alor Star Kedah. Beliau merupakan puteri sulung kepada Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhum Tunku Sofiah Binti Tunku Mahmud. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Y.A.M. Tengku Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 15 Oktober 1946 di Balai Besar,Alor Star. Beliau dikurniakan dengan 4 putera dan 6 puteri. Suami beliau, Tengku Abdul Aziz merupakan adinda kepada Y.M.M. Tunku Ampuan Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang merupakan bonda tiri kepada Tunku Hamidah. Tengku Abdul Aziz juga merupakan ayahanda saudara kepada D.Y.M.M. Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. Tunku Hamidah merupakan bonda kandung kepada pasangan kembar Almarhum Tunku Sarina dan D.Y.A.M. Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim. Adinda beliau, Tuanku Abdul Halim mengambil Tunku Sarina dan Tunku Soraya sebagai anakanda angkat baginda. Tunku Hamidah juga aktif dalam berpesatuan. Beliau memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua Pertubuhan Kebajikan Wanita Negeri Kedah (PKWNK).

Tunku Sofiah, Tuanku Abdul Halim, Tunku Abdul Malik, Tunku Hamidah. dan Sultan Badlishah.


No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...