Tarikh esok 24 April2017 merupakan satu lagi tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia kerana seorang Ketua Negara yang baru bakal ditabalkan dalam satu istiadat yang penuh gilang gemilang. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Sultan Muhammad V bakal ditabalkan dalam satu istiadat yang hanya berlangsung sekali dalam tempoh lima tahun. Baginda merupakan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan Darul Naim. Sultan Muhammad V merupakan Raja Melayu ke 15 dipilih untuk mengisi jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ini.
Sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan
Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda
seperti berikut :
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober
1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1
Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur. Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada
ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.
Pendidikan tinggi di UK
Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan
pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung
pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang
Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian
Islam di Oxford Centre sehingga 1991.
Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri
Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan. Pada 13 September 2010 baginda telah menaiki takhta Kerajaan
Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan
sebagai Sultan Kelantan ke-29. Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih
menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan
pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang
di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh
lima tahun. Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13
Disember 2016.
Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi
perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM)
dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat
bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti
berkenaan.
Bidang ketenteraan, persatuan
Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda
senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang
Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda
sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi
Angkatan Tentera Malaysia. Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan
kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan
keselamatan dan ketenteraan. Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi
kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan
menembak dan gemar memelihara hidupan liar.
Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga
mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil
berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa
jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang
sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.
Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada
pelbagai persatuan dan kelab iaitu :-
1. Persatuan Menembak Kelantan;
2. Yayasan Sultan Kelantan (YSK);
3. Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan
4. Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif
Malaysia (SAAARMM);
5. Persatuan Bulan Sabit Merah;
6. Persatuan Sukan Berkuda;
7. Persatuan Motor 4 x 4;
8. Persatuan Memanah
Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah
Kebesaran iaitu: D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor - Januari 2011).,
D.K. (Negeri Sembilan - April 2011)., D.K. (Johor - 2011)., D.K. (Perak - Julai
2011)., D.K. (Perlis - Oktober 2011)., D.K. (Kedah - Mac 2012).,
D.K.(Terengganu - November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan
D.K.M (2017)
Peribadi baginda
Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat
seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut
dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari
kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada
ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas. Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan
juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.
Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah
Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011
di Negeri Kelantan. Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian
hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani
permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan. Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat
dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang
pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment