Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 14 April 2020

14 April 1960: Istiadat Melafaz Sumpah Yang Di-Pertuan Agong Ke-2.


Pada 14 April 1960, telah diadakan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada 1 April 1960 memberi kesedihan kepada seluruh negara. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong yang juga Sultan Selangor Darul Ehsan Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Al-Haj telah dipilih untuk menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Baginda dipilih selepas Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bersidang dan bermesyuarat serta membuang undi masing-masing untuk memilih Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang baru. Raja-Raja Melayu ketika itu terdiri daripada:

1. KDYMM Sultan Pahang Darul Makmur Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (naik takhta pada 22 Jun 1932).

2. DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah Al-Haj (naik takhta pada 4 April 1938).

3. KDYMM Sultan Kelantan Darul Naim Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (naik takhta pada 21 Jun 1944).

4. DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (naik takhta pada 4 Disember 1945).


5. KDYMM Sultan Terengganu Darul Iman Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin (naik takhta pada 16 Disember 1945).

6. DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil (naik takhta pada 31 Mac 1948).

7. KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah (naik takhta pada 14 Julai 1958).


8. DYMM Sultan Johor Darul Takzim Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim (naik takhta pada 8 Mei 1959).

9. DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (naik takhta pada 5 April 1960).

Sidang Khas Majlis Raja-Raja untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong tersebut diadakan di Istana Negara. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Hisamuddin Alam Shah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 manakala jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong diisi oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.


Istiadat Melafaz Sumpah ini menyaksikan Sultan Hisamuddin dan Tuanku Syed Putra melafazkan sumpah jawatan di atas singgahsana Istana Negara di hadapan Raja-Raja Melayu, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Timbalan Ketua Menteri YAB Tun Abdul Razak Bin Dato Hussein. Turut hadir, Menteri-Menteri Persekutuan, Gabenor-Gabenor Negeri, Menteri-Menteri Besar serta pegawai tinggi kerajaan. Sultan Hisamuddin, 62 merupakan Raja Melayu pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong semasa negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. 

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...