Anda Pengunjung Ke :

Friday, 13 January 2012

BELASUNGKAWA: YAM Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail...


BELASUNGKAWA khas untuk Almarhum YAM Tunku Tun Maimunah atas kemangkatan beliau hari ini.Diputerikan sebagai Yang Amat Mulia Tunku Tun Maimunah Binti Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi,D.K.,P.I.S. pada 12 Februari 1939 di Istana Semayam Johor Bahru.

Merupakan puteri bongsu kepada Almarhum DYMM Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Almarhum DYMM Sultanah Aminah Binti Ungku Ahmad.Dua orang kekanda beliau adalah Almarhum DYMM Sultan Iskandar dan Almarhum DYAM Tunku Abdul Rahman.


Beliau yang lebih dikenali sebagai Tunku Gedong telah mendirikan perkahwinan dengan YAM Tunku Tan Sri Osman Ibni Almarhum Tunku Temenggong Ahmad yang juga merupakan sepupu beliau.Perkahwinan pasangan ini dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri.Anakanda beliau terdiri daripada YM Tunku Abdul Jalil,YM Tunku Fatimah,YM Tunku Zahrah dan YM Tunku Ahmad.


Beliau yang menetap di Istana Bukit Gedong Johor Bahru banyak menghabiskan masa bersama keluarga.Gemar memasak dan juga berkebun,beliau pernah dijemput untuk rancangan masakan di TV9 RESEPI ISTANA.Dalam rancangan ini beliau menunjukkan kepakarannya dalam bidang masakan.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa beliau digelar Tunku Gedong.Almarhum bonda beliau Almarhum Sultanah Aminah mengenali seorang Arab dan menceritakan pengalaman baginda yang apabila melahirkan puteri pasti akan meninggal semasa kecil.Jadi baginda Sultanah merasa takut untuk melahirkan puteri lagi.Namun,orang Arab itu memberi jaminan bahawa Tunku Maimunah akan selamat dilahirkan dan mulai dari itulah beliau dipanggil Tunku Gedong sehinggalah kemangkatan beliau.
Bersama suami Tunku Osman dan anakanda-anakanda.

Pada penghujung tahun lepas beliau dikhabarkan gering.Beliau menghidap penyakit jantung,kencing manis dan juga paru-paru berair.Beliau juga diserang strok.Akibat penaykit beliau yang semakin teruk,Tunku Gedong dimasukkan ke wad ICU.Beliau disahkan mangkat pada 13 Januari 2012 pada pukul 4.01 pagi. di kediamannya Istaan Bukit Gedong. Al Fatihah.


Setinggi-tinggi takziah kepada seluruh kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan
YAM Tunku Tun Maimunah Binti Almarhum Sultan Ismail,
D.K.(Johor),P.I.S.
12 Feb 1939 - 13 Jan 2012.

YAM Tunku Gedong Mangkat...


Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Tunku Tun Maimunah Binti Al Marhum Sultan Ismail Al Khalidi,D.K.,P.I.S., telah mangkat pada tarikh 13 Januari 2012 Hari Jumaat pada pukul 4.01 minit pagi.Beliau yang berusia 72 tahun mangkat di kediamannya Istana Bukit Gedong Johor Bahru.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tunku Gedong mangkat akibat penyakit jantung,paru-paru berair,dan juga kencing manis.Beliau juga telah lama gering akibat serangan strok.Beliau merupakan puteri tunggal kepada Almarhum DYMM Sultan Ismail dan Almarhum DYMM Sultanah Aminah.Beliau adalah bonda saudara kepada Sultan Johor sekarang DYMM Sultan Ibrahim.


Beliau berkahwin dengan sepupu beliau iaitu.YAM Tunku Tan Sri Osman Tunku Temenggong Ahmad.Beliau meninggalkan suaminya serta dua orang putera dan dua orang puteri.Jenazah Almarhum diletakkan di Istana Bukit Gedong dan dimakamkan selepas solat Jumaat di Makam Mahmoodiah.Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.Al Fatihah.

Thursday, 12 January 2012

PERSONALITI : YAM Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah...




PERSONALITI kali ini akan menampilkan kisah Bonda Sultan Johor iaitu Yang Amat Mulia Enche Besar Johor Hajah Khalsom Binti Abdullah,D.K.1(Johor). 

Tentu ramai daripada kita langsung tidak mengenali siapakah wanita kelahiran England ini.Pasti ramai menyangka yang DYMM Sultan Johor sekarang Sultan Ibrahim merupakan anakanda kepada YAM Tunku Puan Zanariah.Tetapi tidak.Bonda Sultan Johor merupakan seorang wanita Mat Salleh.Selama ini bonda Sultan Ibrahim bermastautin di England.Setelah berpuluh tahun berlalu,baru kini Enche Khalsum kembali ke Malaysia.


Dilahirkan sebagai Josephine Ruby Trevorrow atau Josephine Trevorrow pada 2 Disember 1935 di Cornwall ,England.Beliau merupakan seorang rakyat Britain,Etnik Torquay.Ayah beliau adalah Encik Reginald Terverrow,seorang pengeluar tekstil di Cornwall.

Beliau merupakan isteri pertama kepada Almarhum DYMM Sultan Iskandar.Enche Besar Khalsom mengenali Sultan Iskandar ketika Almarhum melanjutkan pelajaran di England.Beliau akhirnya memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Sultan Iskandar pada 5 Januari 1956.Istiadat perkahwinan beliau diadakan di Istana Bukit Stulang Johor Bahru.Beliau menukar namanya kepada Khalsom Binti Abdullah.Jodoh pasangan ini tidak panjang.Setelah 6 tahun berkahwinan mereka bercerai pada 9 Jun 1962 di Johor Bahru.Setelah bercerai,beliau terus pulang ke England dan menetap di sana.Enche Besar Khalsom sempat bermadu dengan YAM Tunku Puan Zanariah selama setahun setelah Sultan Iskandar mengahwini Tunku Puan Zanariah pada tahun 1961.


Enche Besar Khalsom melahirkan seorang putera dan 3 orang puteri untuk Sultan Iskandar.Satu-satunya putera beliau iaitu DYMM Sultan Ibrahim menaiki takhta Johor setelah kemangkatan Sultan Iskandar pada tahun 2010.Puteri-puteri beliau pula terdiri daripada YAM Tengku Puan Panglima Diraja Selangor,Tunku Kamariah Aminah,YAM Tunku Besar Zabedah dan juga KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Semasa menjadi isteri Sultan Iskandar,Enche Besar Khalsom pernah memegang jawatan penting dalam beberapa pertubuhan.Antaranya Presiden Persatuan Perancang Keluarga Johor Bahru (1960-1962) dan juga Pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Johor (1959-1962).


Setelah 48 tahun meninggalkan Malaysia,akhirnya Enche Besar Khalsom telah kembali ke Malaysia untuk menziarahi Makam Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat tahun 2010.Suasana pilu menyelubungi seleruh kerabat diraja Johor pada ketika itu.Setelah anakanda beliau Sultan Ibrahim menaiki takhta,beliau telah dikurniakan gelaran Enche Besar dengan panggilan hormat Yang Amat Mulia pada 22 November 2010.Sempena ulang tahun keputeraan Sultan Ibrahim ke 52,Enche Besar Khalsom telah dianugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK 1).Kini beliau yang telah berusia 75 tahun menetap di Johor.Beliau sering mengiringi Sultan Ibrahim ke majlis-majlis.Semoga beliau diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT.


Bersama Ayahanda Saudara Sultan Ibrahim,YAM Tunku Tan Sri Osman.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

YAM Tengku Ainon Jamil Mangkat...


Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Tengku Seri Nila Utama Pahang Tengku Ainon Jamil Binti Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Muadzam Shah,D.K.,S.I.M.P. telah mangkat pada tarikh 12 Januari 2012 pukul 5.30 pagi pada usia 84 tahun.Beliau yang merupakan Bekas Tengku Ampuan Terengganu pada zaman Jepun mangkat di Hospital Tengku Ampuan Afzan.Berita kemangkatan beliau disampaikan oleh Setiausaha Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang,Datuk Sabaruddin Sulaiman.

Berangkat menziarahi jenazah beliau ialah KDYTM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri KDYTM Tunku Azizah,YAM Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah dan juga YAM Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang juga merupakan adinda Almarhum.




Beliau yang juga kekanda Sultan Pahang KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah meninggalkan empat orang putera dan dua orang puteri.Jenazah Almarhum Tengku Ainon telah dibawa ke Istana Abu Bakar Pekan untuk Istiadat Penghormatan Terakhir dan solat jenazah.Beliau dimakamkan di Makam Diraja Pahang selepas solat Zohor tadi.Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah untuk Almarhum.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tengku Ainon Jamil.Amin.

Wednesday, 11 January 2012

Pakaian Hulu Raja-Raja Melayu...



"Sekali bernama Destar
Keduanya bernama Tanjak
Ketiganya bergelar Tengkolok
Yang di ujung kepala
Dipakai berpatut-patut
Yang beradat berlembaga
Yang beradat berketurunan
Yang dijaga dipelihara
Yang bertempat dan bertepatan
Yang ada asal usulnya."

Siti Zainon, Pakaian Cara Melayu,UKM 2006)

Tanjak, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.
Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu.Tanjak belum lagi dicipta pada zaman sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, hanya sehelai kain digunakan dan diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas.Ikatan kain ini lama kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu.Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah sehelai kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang.Hanya yang berada sahaja pada ketika itu mampu memakainya dan tanjak juga merupakan sebahagian pakaian raja atau sultan.

Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat dari kain sutera dari China atau India manakala orang kebanyakan menggunakan tanjak dari kain biasa.Sejarah pemakaian tanjak di Perak pula dikatakan berasal dari sejarah lagenda kedatangan Sultan Muzaffar untuk ditabalkan di negeri Perak.Mahkota raja yang dipakainya dibuang ke laut kerana perjanjian dengan penjaga laut untuk terus mudik ke negeri Perak. Pakaian kepala kemudiannya direka untuk mengantikan mahkota raja dan dipanggil tengkolok raja.
 
 Pada zaman kini,pemaikaian tengkolok masih lagi digunakan oleh Raja-Raja Melayu.Setiap Sultan memakai tengkolok yang berlainan mengikut identiti negeri.Tengkolok atau destar merupakan pakaian hulu rasmi bagi Raja-Raja Melayu.


Pakaian Hulu Yang Dipertuan Agong : Tengkolok  Dendam Tak Sudah.


Tengkolok ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada Hari Pertabalan dan hari-hari kebesaran negara yang lain.Tengkolok ini berwarna hitam bersulamkan benang emas.Soleknya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari negeri Sembilan.Di bahagian hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dan bintang pecah empat belas yang diperbuat dari emas putih. Di tengah-tengah bintang terletak lambang kerajaan Malaysia.


Pakaian Hulu Raja Perlis Indera Kayangan : Tengkolok Dendam Tak Sudah.


Tengkolok Dendam Tak Sudah ini merupakan pakaian rasmi KDYMM Raja Perlis.Warna natarnya kuning muda,manakala lipatannya sebanyak lima takuk bernama lipatan daun palas.Di tengah-tengahnya dipasang lambang rasmi negeri Perlis.


Pakaian Hulu Sultan Kedah Darul Aman : Tengkolok Dendam Tak Sudah.


Tengkolok KDYMM Sultan Kedah ini merupakan ikatan baru yang berasaskan ikatan Dendam Tak Sudah.Ikatan ini dicipta setelah terjalin perkahwinan diraja antara Kedah dan Negeri Sembilan.Tengkolok dari songket berwarna hitam ini merupakan pakaian rasmi baginda.Daun lambaian kasihnya menghala ke kanan manakala pucuk destar yang melambangkan kuasa raja terletak di sebelah kiri,yang menunjukkan pemaikainya adalah raja pemerintah.


Pakaian Hulu Sultan Perak Darul Ridzuan : Tengkolok Ayam Patah Kepak.


Tengkolok DYMM Paduka Seri Sultan Perak dibuat daripada songket putih bersulamkan benang perak yang diberi nama Ayam Patah Kepak.Tengkolok ini adalah pakaian hulu khusus bagi DYMM Sultan Perak.Di negeri Perak,pewaris takhtanya mempunyai warna destar yang berlainan mengikut pangkat.Warna putih khas untuk Sultan Perak,warna kuning untuk DYTM Raja Muda dan warna hitam untuk DYAM Raja Di Hilir.


Pakaian Hulu Sultan Selangor Darul Ehsan : Tengkolok Setanjak Balung Raja.


Tengkolok DYMM Sultan Selangor yang diperbuat daripada kain songket berwarna kuning ini adalah pakaian hulu rasmi Sultan Selangor.Ia dinamakan Destar Setanjak Balung Raja.Ia dipakai oleh Tuanku Sultan dalam majlis rasmi negeri seperti Hari Pertabalan dan juga hari keputeraan.Reka bentuk tengkolok ini diambil daripada Tengkolok Balung Ayam dari negeri Perak setelah terjalin perkahwinan diraja antara negeri Selangor dan Perak.


Pakaian Hulu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan : Tengkolok Dendam Tak Sudah.


Tengkolok DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Di Negeri Sembilan istilah destar disebut sebagai deta sahaja. Destar daripada songket berwarna kuning ini adalah pakaian hulu rasmi D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sewaktu memakainya, kedudukan pucuknya yang dipanggil “tunas kasih” harus diletak tepat di atas mata kiri dan daun lambaian kasihnya pula dihalakan ke arah kanan. Cara ini menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah negeri.

Pakaian Hulu Sultan Pahang : Tengkolok Sekelungsung 
Bunga. 

 
Tengkolok KDYMM Sultan Pahang Darul Makmur terdapat beberapa jenis destar yang pernah dipakai oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Tengkolok ’Sekelunsung Bunga’ yang diperbuat daripada kain songket yang warna natarnya biru kundang bersulam kencana ini adalah pakaian hulu rasmi yang dipakai D.Y.M.M Sultan Pahang pada masa sekarang. Walaupun bentuk destar ini agak ringkas dengan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah kelungsung bunga, seperti terdapat perbezaan di antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan destar yang dipakai oleh orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil ’sula’. 



 
Pakaian Hulu Sultan Kelantan : Tengkolok Ketam Budu.






 
Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Kelantan Darul Naim Destar jenis ini merupakan ikatan hulu yang dipakai oleh D.Y.M.M Sultan dan pembesar di Negeri Kelantan, perbezaannya hanya pada warna natar kain destar dan sedikit bentuk bunga pucuk di bahagian atas depan kepala yang menyerupai bunga mekar. Ikat kepala ini dapat dikenali dengan mudah kerana ikatannya menutup seluruh bahagian kepala pemakai, tidak seperti jenis-jenis destar lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia. 

 
Pakaian Hulu Sultan Terengganu : Tengkolok Belalai Gajah.







Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Terengganu Darul Iman Destar Belalai Gajah adalah pakaian rasmi bagi D.Y.M.M. Sultan Terengganu. Destar ini diperbuat daripada kain songket bunga penuh warna kuning.
Daun pada bahagian atas depan destar ini dibentuk secara menggulung ke atas, seakan-akan seekor gajah sedang melambung belalainya. Bahagian bawahnya pula terdapat tiga takuk lipatan dan pucuk destar yang disebut sula diletakkan pada sebelah kanan, melambangkan pemakainya adalah seorang raja.



Monday, 9 January 2012

PERSONALITI: Almarhum YMM Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah.


PERSONALITI kali ini akan bercerita tentang Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor,Almarhum Raja Saidatul Ihsan Binti Almarhum Raja Bendahara Tengku Badar Shah,D.K.

Kebanyakan daripada kita langsung tidak mengetahui dan juga mengenali siapakah Raja Saidatul Ihsan ini. Ramai juga yang tidak mengetahui bahawa wujudnya gelaran Paduka Bonda Raja di negeri Selangor ini. Hal ini adalah kerana Raja Saidatul lebih banyak menghabiskan masa baginda di Istana. Baginda jarang sekali keluar menunjukkan diri baginda di khalayak ramai. Hanya sekali sekala sahaja baginda mengiringi Sultan Selangor ke majlis keraian. Baginda merupakan bonda kandung kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Baginda merupakan seorang yang cantik ketika zaman mudanya.

Raja Saidatul Ihsan diputerikan pada tahun 1923 di Selangor. Baginda merupakan kerabat diraja Selangor di sebelah ayahanda dan kerabat diraja Perak di sebelah bonda baginda. Yang menariknya,kedua-dua orang nenda baginda merupakan Sultan .Ayahanda baginda ialah YAM Raja Bendahara Selangor Tengku Badar Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Manakala bonda baginda pula ialah YAM Raja Ambin Binti Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah. Tengku Badar Shah merupakan kekanda kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah yang juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2.


Baginda telah mendirikan rumah tangga dengan Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj yang juga merupakan sepupu baginda. Baginda berdua berkahwin pada tahun 1943 tetapi kemudiannya bercerai. Perkahwinan baginda dikurniakan 9 orang anakanda terdiri daripada 3 putera dan 6 puteri. Putera sulung baginda DYMM Sultan Sharafuddin telah menaiki takhta Selangor setelah kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin semasa menjadi Yang Dipertuan Agong pada tahun 2001. Anakanda baginda yang lain ialah YAM Tengku Laksamana Tengku Sulaiman Shah,YAM Tengku Panglima Besar Tengku Dato Seri Abdul Samad Shah, YAM Tengku Puteri Sofiah, YAM Tengku Puteri Datuk Seri Zahariah, YAM Tengku Puteri Nur Halijah, YAM Tengku Puteri Arafiah,dan YAM Tengku Puteri Aishah. Anakanda sulung baginda,YM Tengku Puteri Nur Halijah Fatimah mangkat ketika berusia 8 bulan pada tahun 1945.



Setelah Sultan Sharafuddin Idris Shah menaiki takhta pada tahun 2001, Raja Saidatul Ihsan selaku bonda kepada Raja Pemerintah telah dikurniakan gelaran Paduka Bonda Raja Selangor. Pada asalnya baginda bergelar Yang Teramat Mulia tetapi Sultan Selangor memperkenankan gelaran Yang Maha Mulia bagi menghormatkan Bonda baginda. Raja Saidatul Ihsan dianugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama D.K. (Selangor) pada 11 Disember 2002.


Ramai yang tidak mengetahui yang bonda Sultan Selangor masih hidup sehinggalah berita kemangkatan baginda disiarkan. Raja Saidatul Ihsan mangkat di usia 88 tahun di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 1 Jun 2011. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman Klang. Ramai kerabat diraja Selangor dan Perak memberi penghormatan terakhir terhadap baginda.



Bersama anakanda sulung baginda.

YAM Tunku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad..

Ketika bergelar DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.


Ketika zaman muda baginda.

Kali ini giliran Sultanah Johor pula untuk diceritakan riwayat hidup baginda.Kepada rakyat Johor wajah di atas ini tentu tidak asing lagi buat mereka kerana Baginda telah bertakhta sebagai Sultanah Johor selama lebih kurang 3 dekad.Baginda ialah Sultanah Zanariah atau gelaran baginda sekaramg Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad,D.K.,D.M.N.,D.K.(Kelantan),D.K.(Kedah),D.K.(Brunei),S.S.I.J.,S.P.M.J.,P.I.S.


Baginda diputerikan pada tanggal 5 Julai 1940 di Istana Dusun Green,Pasir Mas Kelantan.Baginda merupakan puteri diraja Kelantan.Tunku Puan Zanariah merupakan puteri ketujuh kepada pasangan YAM Almarhum Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad Ibni Almarhum Tengku Temenggong Long Abdul Ja'far dan YABhg Che Puan Hajah Fatimah Binti Dato' Abdul Hamid.

Setelah mendapat asuhan asas yang begitu mantap dalam istana, baginda mula mendapat didikan formal di Sekolah Sultanah Zainab, Kelantan pada tahun 1946. Kemudian baginda telah melanjutkan pelajaran baginda di Convent Bukit Nenas,Kuala Lumpur dari tahun 1950 hingga 1952 dan telah berangkat kembali ke Kelantan di mana baginda meneruskan pelajaran baginda di Sekolah Sultan Ibrahim, Pasri Mas. Di atas dorongan ayahanda dan disertai pula dengan perasaan untuk melengkapkan diri bagi masa hadapan, baginda telah berangkat ke England dalam tahun 1954 untuk melanjutkan lagi pelajaran baginda di Upper Chime School Isle of Wight.




Bertemu jodoh dengan Almarhum DYMM Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada 20 Ogos 1961 di Kuala Lumpur.Ketika itu baginda berusia 21 tahun.Tunku Puan Zanariah merupakan isteri kedua kepada Almarhum Sultan.Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang putera dan 5 orang puteri.Salah seorang anakanda baginda ialah YAM Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris.Baginda bukanlah bonda kandung kepada Sultan Johor sekarang DYMM Sultan Ibrahim.Sultan Ibrahim merupakan anakanda kandung kepada YAM Enche Besar Hajah Kalthum Binti Abdullah yang merupakan isteri pertama Sultan Iskandar yang kemudiannya diceraikan.Baginda ditabalkan sebagai DYMM Sultanah Johor pada 11 Mei 1981.Adat Istiadat Pertabalan diadakan di Istana Besar Johor Bahru.Baginda menjadi Sultanah Johor selama lebih kurang 29 tahun sehingga kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar pada 22 Januari 2010.Tunku Puan Zanariah juga pernah menjadi Raja Permaisuri Agong pada 26 April 1984 sehingga 26 April 1989.

Bersama Almarhum YMM Tuanku Kursiah dan Tun Dr Siti Hasmah.


Baginda sedari muda lagi mengamalkan sikap lemah lembut.Sikap baginda ini seringkali menarik perhatian sesiapa yang memandang.Baginda amat mengambil berat akan perihal kaum wanita terutama wanita Johor.Baginda telah menubuhkan Majlis Wanita Negeri Johor atau dikenali sebagai MAWAR.MAWAR
digerakkan dengan mengadakan majlis-majlis Agama seperti Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bertempat di ibu pejabatnya di Jalan Sungai Cat, Johor Bahru. MAWAR juga telah dapat mengumpulkan wang dan seterusnya didermakan pula kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Johor ini dan juga kepada rakyat-rakyat yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan bantuan serta pertolongan.

Tunku Puan Zanariah merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang ke 3 bermula tahun 1986.Namun baginda telah menamatkan khidmat baginda pada tahun 2010 dan digantikan oleh DYMM Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris. Bagi mengisi masa lapang, baginda gemar mengambil bahagian dalam riadah, menunggang kuda, bermain golf,tenis, dan baginda juga merupakan seorang yang handal dan cekap bermain ‘water ski’. Baginda juga boleh dikatakan Sultanah Johor yang pertama pernah mencatatkan sejarah apabila baginda berangkat mendaki Gunung Ledang , gunung yang tertinggi dan masyhur dalam sejarah Johor.

Semasa bergelar Canselor UTM.

Setelah anakanda tiri baginda DYMM Sultan Ibrahim menaiki takhta,gelaran Sultanah yang dipakai oleh baginda dan juga kekanda baginda,YMM Sultanah Nora telah ditarik dan digantikan dengan Yang Amat Mulia Tunku Puan pada 17 Februari 2011.Baginda berdua dikatakan tidak dimahkotakan dengan sempurna dan tidak boleh menggunakan gelaran Sultanah.Kini,Tunku Puan Zanariah berusia 72 tahun dan masih bersemayam di Negeri Johor.Sama-sama kita doakan kesihatan baginda.

Berikut merupakan gambar kenangan Tunku Puan Zanariah:



Bersama YMM Tuanku Najihah membaca Yasin di pusara Almarhum Sultan Iskandar.

Ketika merasmikan perhimpunan Pandu Puteri.

 Keluarga Diraja Johor.
 


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...