ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA.
Raja Muda Perak dinikahkan oleh Mufti Perak sambil diperhatikan oleh Sultan dan Raja Permaisuri Perak.
DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Zara
Salim Davidson diijabkabulkan oleh Mufti Negeri Perak,
Datuk Harussani Zakaria diIstana Iskandariah, Bukit Chandan , bandar
diraja Kuala Kangsar, Perak pada hari Khamis 17 Mei 2007.
Pada 18 Mei 2007, Zara Salim Davidson dilantik sebagai Raja Puan
Besar Perak. Pada hari Sabtu 19 Mei 2007 majlis persandingan diadakan di Istana
Iskandariah, tepian Sungai Perak, bandar Kuala Kangsar, Perak. Majlis pernikahan secara
sederhana dan ringkas itu adalah atas kehendak Sultan Perak Sultan
Azlan Shah dan putera sulungnya, Raja Dr Nazrin sendiri. Namun begitu adat
istiadat diraja dikekalkan. Istiadat pernikahan kerabat diraja negeri Perak
sepenuhnya, sepatutnya membabitkan lima peringkat iaitu meminang, akad
nikah, berlimau, bersanding dan bersiram sampat. Tetapi
berlimau dan bersiram sampat ditiadakan. Majlis Pernikahan di adakan di Istana
Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan mas kahwin 250 gram emas tulen
dalam bentuk lima syiling.
Istiadat pernikahan pengantin diraja dimulakan dengan Orang
Kaya Temenggong Perak, Paduka Raja Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain
menghadap Sultan Perak untuk memulakan istiadat berkenaan. Ia diikuti
dengan jejawat membawa masuk bingkisan Raja Muda untuk Zara
Salim Davidson sebanyak sembilan bunga pahar berserta mas kahwin
250 gram emas tulen dan sebentuk cincin bertatahkan berlian.
Pasangan pengantin diraja.
Rombongan pihak perempuan diketuai Datuk Tunku Hamdy
Tunku Ahmad Tajuddin, membawa 11 bunga pahar berserta sebentuk cincin perak
untuk Raja Muda sebagai kurniaan balas yang dipersembahkan kepada ketua
rombongan pengantin lelaki, Raja Ashman.
Raja Dr Nazrin berbaju Melayu dan samping putih sedondon melafazkan
akad nikah dengan sekali lafaz, kira-kira jam 11 pagi di Balai Istiadat mengikut
adat istiadat diraja Perak. Raja Datuk Seri Ashman Shah, iaitu Raja Kecil
Tengah Perak serta Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami kepada adinda
baginda, Raja Datuk Seri Azureen, menjadi saksi pernikahan.
Zara Salim Davidson memakai kebaya labuh kontemporari daripada renda
Perancis dihiasi taburan kristal dan manik serta
dipadankan dengan kain sarung sifon sedondon putih gading, hasil
rekaan pereka fesyen terkemuka Radzuan Radzwil, yang juga anak jati
kelahiran Bandar Diraja Kuala Kangsar. Zara mengenakan selendang putih `French
netting' sepanjang tiga meter yang ditaburi kristal. Kasut sifon warna sedondon
bertatah kristal putih
Salim Davidson mewakilkan wali kepada Datuk Harussani
Zakaria untuk mengijab kabulkan anaknya dengan Raja Dr Nazrin dan upacara
menandatangani surat mewakilkan wali itu diadakan, di Bilik Merah, Istana
Iskandariah. Ibu Zara, Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin dan
abangnya, Jeffri Salim Davidson.
Akad nikah disempurnakan Mufti Negeri Perak, Datuk
Seri Harussani Zakaria, di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah
dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, kerabat diraja Perak,
keluarga Zara serta 300 jemputan khas.
Pasangan diraja bersama adinda dan adinda ipar.
Kemudian Mufti Kerajaan Perak membacakan doa kesyukuran,
diikuti selawat oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble.
Seterusnya Raja Dr Nazrin ke bilik bersebelahan Balai Istiadat di mana Zara
sedia menanti untuk upacara menyarung cincin.Turut hadir ialah bonda saudara
Raja Nazrin, Datuk Lily Abdul Majid dan sepupu Raja Dr
Nazrin, Datin Nina Jureen.
Hantaran daripada pihak lelaki.
Hantaran daripada pihak perempuan.
MAJLIS PERSANDINGAN DIRAJA.
Majlis persandingan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan
Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim Davidson serba sederhana
tetapi menepati adat istiadat persandingan diraja Perak di Istana Iskandariah,
Bukit Chandan pada hari Sabtu, 19 Mei 2007 di Istana Iskandariah, Bukit
Chandan, bandar diraja Kuala Kangsar, Perak.
Tetamu diraja ialah Sultan Perak, Sultan Azlan
Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Sultan Kedah, Sultan
Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun serta Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Raja Dihilir Perak, Datuk Seri
Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja
Shahar Shah turut hadir.
Majlis persandingan bermula 9.00 malam dengan keberangkatan
ketiga-tiga sultan,para jejawat istana yang membawa alat kebesaran diraja serta payung dan lembing kerajaan
Pasangan pengantin diraja, Raja Dr Nazrin dan Tuanku Zara
Salim Davidson yang memakai busana tradisional diraja berwarna
kuning keemasan kelihatan anggun memasuki Balairong Seri 9.10 malam.
Mempelai menuju ke singgahsana untuk istiadat bersanding diiringi 16
jejawat perempuan membawa lilin dan 10 jejawat perempuan lagi menambur bunga
rampai. Perarakan masuk pasangan diraja ke Balairong Seri didahului iringi
paluan kompang dan bacaan selawat daripada kumpulan Haqani
Maulud Ensemble.
Istiadat merenjis tepung tawar dimulakan Sultan Kedah dan Sultanah
Kedah, diikuti Sultan Perak dan Permaisuri Perak, Tuanku Bainun
dan Sultan Selangor dan kekanda sulung Sultan Perak, Raja Datuk Seri Baharum
Shah.Tujuh das tembakan meriam dilepaskan.
Seterusnya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta
isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan diikuti bapa Tuanku Zara, Salim
Davidson dan ibunya, Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin melakukan
istiadat merenjis air mawar. Bacaan doa selamat oleh Mufti Perak, Datuk Seri
Harusani Zakaria. Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli
Ghazali dan isteri Datin Seri Kamariah Mokri. Lain-lain ialah Menteri Kerja
Raya, Datuk Seri S Samy Vellu; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr
Lim Keng Yaik; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting;
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Aziz Shamsuddin.
Istiadat perkahwinan diraja juga dihadiri kerabat diraja dan
rakan rapat Raja Dr Nazrin dari dalam dan luar negara, termasuk bekas Menteri
Alam Sekitar Indonesia Nabil Makarim iaitu rakan Raja Dr Nazrin
ketika belajar di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.Lebih 800
tetamu dan orang kenamaan hadir pada majlis istiadat itu yang menjadi acara
kemuncak istiadat perkahwinan pasangan itu yang berlangsung selama tiga hari
berturut-turut dari hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Istiadat persandingan diraja itu diikuti dengan majlis
santapan diraja di Dewan Santapan.
No comments:
Post a Comment