Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 21 April 2015

Lelaki Di Sebalik Hidup Seorang Ratu..


Sehebat dan setinggi manapun kedudukan seorang wanita itu, dia pasti memerlukan sokongan seorang lelaki bernama suami untuk berjaya. Peranan sang suami amat penting didalam sesebuah rumah tangga demi kelangsungan kebahagiaan mereka. Begitu juga dengan kehidupan seorang Ratu yang memerintah. Baginda amat memerlukan seorang suami yang banyak memberi sokongan moral kepadanya kerana tugas untuk memerintah sebuah negara bukanlah senang, apatah lagi menjadi ketua Negara-negara Komanwel. Her Majesty Queen Elizabeth II amat bertuah kerana mempunyai His Royal Highness Prince Philip sebagai teman hidup baginda. Prince Philip yang berpewatakan sinis dan selamba sering kali mendapat perhatian media. Inilah dia, seorang lelaki yang memainkan peranan di sebalik hidup seorang Ratu England. Baginda yang sentiasa berada dua langkah di belakang Queen Elizabeth menjadi tulang belakang baginda sepanjang lebih 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth.

Gelaran rasmi baginda ialah
His Royal Highness Prince Philip, Duke of Edinburgh, KG, KT, OM, ONZ, GBE, AC, QSO, GCL, CC, CMM, PC, PC, ADC(P). 


Dilahirkan sebagai His Highness Prince Philip of Greece and Denmark di Pulau Corfu,Greek pada 21 Jun 1921. Baginda merupakan satu-satunya putera kepada pasangan HRH Prince Andrew of Greece and Denmark dan HRH Princess Alice of Battenberg. Baginda juga merupakan cucunda kepada Raja Greece King George I dan Queen Olga of The Hellenes. Putera Philip mendapat pendidikan awal di Sekolah Amerika di Paris. Pada tahun 1928, ketika berusia 7 tahun, baginda dihantar ke Cheam School, dan tinggal bersama nenda baginda, Princess Victoria di Kensington Palace bersama ayahanda saudara baginda, George Mountbatten. 3 tahun selepas itu, keempat-empat kekanda baginda berkahwin dengan putera-putera dari Jerman dan berpindah ke Jerman, bonda baginda Princess Alice diletakkan dalam sebuah bilik kurungan disebabkan menghidap penyakit schizophrenia. Manakala ayahanda baginda berpindah ke sebuah flat di Monte Carlo. Pada tahun 1933, Putera Philip dihantar ke Schule Schloss Salem di Jerman. Selepas itu, baginda berpindah ke Gordonstoun. 



Pada tahun 1939, ketika berusia 18 tahun, baginda menyertai Tentera Laut Diraja Britain. Baginda menamatkan pengajian di Royal Naval College, Dartmouth sebagai kadet terbaik.  Baginda berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja ketika Perang Dunia Kedua. Baginda sering diberi tugas-tugas penting sepanjang berkhidmat sebagai tentera. Pada 16 Julai 1942, baginda dinaikkan pangkat sebagai Leftenan pada usia 21 tahun. Baginda mencipta sejarah sebagai Leftenan termuda dalam sejarah Tentera Laut Britain. 



Bersama Almarhum Sultan Azlan ketika lawatan baginda ke Malaysia.

Pada tahun 1939, King George VI dan Queen Elizabeth membuat lawatan ke Royal Naval College, tempat Putera Philip belajar. Ketika lawatan itu, Queen Elizabeth meminta Putera Philip untuk mengiringi dua orang puteri baginda iaitu Princess Elizabeth dan Princess Margaret. Ketika itu Princess Elizabeth yang berusia 13 tahun telah jatuh hati dengan Putera Philip. Perhubungan mereka berdua berlanjutan sehingga pada tahun 1946, Putera Philip meminang Princess Elizabeth. King George VI menerima pinangan itu, namun pertunangan rasmi hanya akan diadakan pada harijadi Princess Elizabeth ke 21 pada April 1947. Pada Mac 1947, Putera Philip telah membuang kesemua gelaran dan pangkat baginda dalam keluarga diraja Greek dan menjadi warganegara Britain. Baginda menggunakan nama Mountbatten yang diambil dari keluarga bonda baginda. Maka, baginda menggunakan nama Leftenan Philip Mountbatten.

Pertunangan diantara Leftenan Philip Mountbatten dengan Princess Elizabeth diumumkan secara rasmi pada 10 Julai 1947. Sebelum perkahwinan berlangsung, King George VI berkenan untuk mengurniakan gelaran His Royal Highness kepada Putera Philip. Pada pagi 20 November 1947, hari perkahwinan baginda dengan Princess Elizabeth, Putera Philip telah dikurniakan gelaran Duke of Edinburgh, Earl of Merioneth dan Baron Greenwich. 


Perkahwinan Putera Philip dan Princess Elizabeth diadakan di Westminster Abbey dan disiarkan secara langsung oleh BBC radio kepada 200 juta orang di seluruh dunia. Selepas berkahwin, pasangan diraja ini menetap di Clarence House. Pada tahun 1948, putera pertama baginda dilahirkan dan diberi nama Prince Charles. Dan pada tahun 1950, seorang puteri dilahirkan dan diberi nama Princess Anne.



Disebabkan kegeringan King George VI, Putera Philip dan Princess Elizabeth diberi tugas untuk melawat negara-negara Komanwel pada akhir Januari 1952. Pada 6 Februari 1952, ayahanda mertua Putera Philip mangkat dan Princess Elizabeth dilantik sebagai Ratu England yang baru. Maka, secara rasminya, Prince Philip bergelar suami kepada Ratu England. Di sinilah bermulanya tugas baginda sebagai Prince Consort of England. Baginda menjadi tulang belakang kepada isteri baginda, Ratu Elizabeth II. Kini, setelah 63 tahun, baginda masih setia di belakang isteri baginda menjalankan pemerintahan bagi negara England. Di usia menjangkau 94 tahun, baginda masih lagi mempunyai kudrat untuk menghadiri segala macam majlis rasmi mahupun tidak rasmi. Baginda mencipta rekod sebagai kerabat diraja lelaki Britain yang paling lama hidup setakat ini. Inilah kisah seorang putera yang mengisi hidup seorang Ratu dan telah hidup bersama selama 68 tahun.




No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...