Anda Pengunjung Ke :

Sunday 13 December 2015

Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Pertama.


Sejarah negara tercipta pada tanggal 2 September 1957 apabila seorang Ketua Negara yang bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah ditabalkan. Persekutuan Tanah Melayu yang baru sahaja mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 membuka suatu dimensi baru apabila pentadbiran kerajaan berkonsepkan Raja Berpelembagaan. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sir Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong Pertama Persekutuan.

Istiadat pertabalan ini julung kali diadakan bagi sebuah negara yang baru merdeka ini. Bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, istiadat pertabalan ini dihadiri oleh lebih kurang 500 orang tetamu yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu, Sultan Brunei, Duke of Gloucester yang mewakili Baginda Queen, Perdana Menteri Persekutuan, dan tetamu kehormat dari dalam dan luar negara. Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Kurshiah bersemayam di atas singgahsana baharu yang cantik dan megah di dalam Balairong Seri. Istiadat ini juga dihiasi dengan paluan nobat dan tembakan meriam sebanyak 21 das.


Istiadat dimulakan dengan keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong didahului oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan diiringi oleh juruiri-juruiring serta panglima-panglima yang membawa alat kebesaran diraja. Kemudian, Datuk Paduka Maharaja Lela yang juga Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tuan Haji Mustapha Albakri memohon perkenan Tuanku untuk memulakan istiadat. Surat perisytiharan pertabalan Yang Di-Pertuan Agong  telah dibacakan  oleh  Tuan  Haji  Mustapha Albakri, Datuk Paduka Maharajalela.

Datuk Paduka Maharajalela kemudian membawa masuk sebuah Al-Quran, sebilah keris panjang Diraja, surat pengisytiharan dan surat sumpah untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Setelah menerima keris tersebut, baginda telah menghunus dan menciumnya sekali. Baginda kemudian membaca surat sumpah, setelah selesai Datuk Paduka Maharajalela pun menyeru 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali berturut-turut dan disambut oleh sekalian yang hadir. Seruan ini diiringi pula dengan permainan nobat tanda 'raja bertabal'. Setelah itu, surat pengisytiharan pertabalan Yang di-Pertuan Agong dibaca dan istiadat diakhiri dengan bacaan doa. 

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...