Anda Pengunjung Ke :

Sunday 27 December 2015

27 Disember 2015 : 7 Tahun Kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman,
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.M.B.(Brunei), D.K.(Kelantan), D.K.(Kedah), D.K.(Selangor), D.K(Perlis), D.K.(Johor), D.K.(Pahang), D.K.(Terengganu), D.K.(Perak)., Grand Cross With Collar of the Order of Southern Cross(Brazil), Grand Collar of the Order of The Independence(Cambodia), Grand Collar of The Order of Merit(Chile), Grand Star of Djibouti, Grand Cross with Collar of the Order of The White Rose(Finland), Special Order of the Grand Cross of The Bundesverdienstkreuz(Republic of Germany), Raja of the Order of Sikatuna(Philippines), Grand Order of Mugunghwa(Republic of South Korea), Grand Cross With Collar of the Order of Civil Merit(Spain), Knight with Collar of the Order of Seraphim(Sweden), Grand Cross of the Order of Merit(Uruguay), Knight Grand Cross of the  Order of The Bath(United Kingdom).
19 Julai 1922 - 27 Disember 2008.
AL FATIHAH.

Petikan Berita Istiadat Pemakaman Almarhum Tuanku Ja'afar dalam Utusan Melayu :

Istiadat Pemakaman Diraja bermula sebaik sahaja jenazah Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, 86 dibawa keluar dari Istana Besar Seri Menanti di sini petang ini. Perjalanan terakhir Almarhum dengan menaiki pedati dinamakan ‘Maharaja Diraja’ ditarik secara perlahan-lahan sejauh 400 meter oleh 52 anggota dari 24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Rasah ke Makam Diraja.

Pada masa yang sama, pemergian baginda diiringi 86 das tembakan meriam oleh anggota 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja, Kem Sungai Buloh sebagai menghormati kemangkatan baginda yang telah memerintah negeri ini selama 41 tahun. Jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar selamat disemadikan pada pukul 5.30 petang di Makam Diraja Seri Menanti bersebelahan Masjid Tuanku Munawir, di sini. Turut mengiringi pedati Maharaja Diraja ialah Datuk Kanda Maharaja, Datuk Mangku, Datuk Panglima Gagah dan Datuk Menteri Hakim.

Sebelum dimakamkan, jenazah Almarhum disemayamkan di atas Takhta Ratna setinggi 10 anak tangga di Istana Besar Seri Menanti dari pukul 11 pagi hingga 2 petang untuk memberi kesempatan kepada pemimpin dan rakyat jelata memberikan penghormatan terakhir.

Antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan hari ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah; Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak; Menteri Besar Negeri Sembilan; Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; wakil kedutaan dan para pemimpin.

Bersama-sama mengiringi jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar ialah Tuanku Ampuan Najihah; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru dimasyhurkan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tiga putera Almarhum, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin, Tunku Muda Serting Tunku Imran dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin, puteri serta kerabat diraja Negeri Sembilan.

Almarhum Tuanku Ja’afar mangkat pada pukul 11.45 pagi, Sabtu lalu di Hospital Tuanku Ja’afar setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengadu sakit kepala dan rasa tidak selesa.
Jenazah Almarhum disembahyangkan di Istana Besar Seri Menanti dengan diimamkan oleh Mufti negeri, Datuk Murtadza Sheikh Ahmad diikuti lebih 1,000 jemaah yang terdiri daripada kerabat, pembesar negeri, orang kenamaan dan ketua jabatan pada pukul 4.30 petang ini.

Sementara itu di Makam Diraja, jenazah Almarhum diturunkan ke liang lahad pada pukul 5.30 petang diikuti bacaan talkin oleh Murtadza sebelum Tuanku Ampuan Najihah menyiram air mawar disusuli oleh Tuanku Muhriz, kerabat diraja dan pemimpin negara.

Pada sebelah malamnya, diadakan bacaan tahlil di Masjid Tuanku Munawir serta seluruh masjid dan surau di negeri ini.



Tuanku Najihah mengiringi jenazah Almarhum keluar dari Hospital Tuanku Ja'afar.


Tuanku Najihah menyiram air mawar diatas pusara almarhum suami baginda.


Jenazah Almarhu diarak menuju Makam Diraja Seri Menanti.


Jenazah Almarhum Tuanku Ja'far disemayamkan diatas peterana 7 tingkat dikelilingi darjah kebesaran diterima Almarhum.




Imam Undang Yang Empat membaca pemasyuran Yang Di-Pertuan Besar yang baru.

Sultanah Kedah Sultanah Haminah dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat ke Istiadat Pemakaman.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah turut berangkat.



Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz yang dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Besar menggantikan Almarhum.

Putera sulung Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Laksamana Tunku Naqiyuddin. Turut kelihatan Tunku Dara Naquiah dan Tunku Mudzafar.

Putera kedua Almarhum, Tunku Imran. Turut kelihatan Tunku Puteri Jawahir dan suami Tengku Tan Sri Azlan Sultan Abu Bakar.

Putera bongsu Almarhum, Tunku Putera Nadzaruddin. Turut kelihtan Tunku Jawahir dan Tengku Abdul Samad Almarhum Sultan Salahuddin.

Tuanku Muhriz membacakan ikrar sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Balu Almarhum, Tuanku Najihah ditemai oleh Tuanku Fauziah.

Dua orang putera Almarhum, Tunku Naqiyuddin dan Tunku Imran.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...