KUALA LUMPUR: Tiga tokoh ternama antara 103 penerima yang
mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan
2017 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di
Istana Negara di sini, hari ini.
Mereka ialah Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Md Raus Sharif serta
dua bekas menteri Kabinet, Yang Amat Berbahagia Tun Michael Chen Wing Sum dan Yang Amat Berbahagia Tun S Samy Vellu. Ketiga-tiga mereka dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia
Mahkota (SSM), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran 'Tun'.
Md Raus, 66, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga
tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lepas, menggantikan YABhg Tun Arifin Zakaria yang
bersara. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah
Rayuan sehingga 3 Ogos 2017.
Samy Vellu, 81, pula adalah Duta Khas ke India dan Asia
Selatan dalam bidang infrastruktur berkuat kuasa pada 1 Januari 2011 dan antara
pemimpin paling lama memegang jawatan dalam kabinet bermula sebagai Menteri
Kerja Raya dan Utiliti pada tahun 1979 sehingga tahun 2008. Beliau mula menyertai arena politik pada tahun 1959 sebagai
anggota MIC cawangan Batu Caves sebelum dilantik sebagai presiden parti itu
pada pada tahun 1981.
Sementara itu, Chen, 85, adalah bekas Timbalan Presiden MCA
dan pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada tahun 2000 hingga
2003, selain pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan
Kampung Baru. Chen bergiat aktif dalam politik tanah air sejak tahun 1964
bersama MCA dan berkhidmat sebagai anggota Parlimen sejak tahun 1964 hingga
1986.
Yang Amat Arif Tun Md Raus Bin Sharif, S.S.M.
Sementara itu, seramai 51 individu dianugerahkan darjah
kebesaran yang membawa gelaranTan Sri. Presiden Mahkamah Rayuan, YAA Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin;
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) YBhg Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja
Mohamed Noor; dan Ketua Polis Negara YBhg Tan Sri Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dianugerahi
darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN).
Yang Amat Berbahagia Tun Michael Chen Wing Sum, S.S.M.
Seramai 48 individu pula menerima darjah kebesaran Panglima
Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri. Mereka ialah Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan
(ICU), YBhg Tan Sri Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof; Hakim Mahkamah Persekutuan, YA Tan Sri Datuk Wira Aziah Ali; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), YBhg Tan Sri Datuk Seri Mohd
Hashim Abdullah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg Tan Sri Datuk Seri Zainal Rahim
Seman.
Yang Amat Berbahagia Tun S. Samy Vellu, S.S.M.
Turut menerima darjah kebesaran itu ialah bekas Ketua
Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), YBhg Tan Sri Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff;
Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tan Sri Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg Tan Sri Datuk
Dzulkifli Ahmad. Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia
(KKMM), YBhg Tan Sri Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg Tan Sri Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad; dan Pengerusi Lembaga Pengarah K & N
Kenanga Holdings Berhad, YM Tan Sri Datuk Paduka Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail turut menerima
darjah kebesaran PSM. Ketua Menteri Sabah, YAB Tan Sri Datuk Seri Musa Aman pula disenarai
antara penerima darjah itu bagi kategori pertubuhan politik yang turut
menyenaraikan dua veteran UMNO,YBhg Tan Sri Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan YBhg Tan Sri Datuk
Seri Dr Suleiman Mohamed. Turut menerima anugerah itu ialah Yang Dipertua Dewan
Negara, YB Tan Sri Datuk Seri S Vigneswaran; bekas pengerusi MIC Perak, YBhg Tan Sri Datuk Rajoo Dasari
@ Govindasamy; dan bekas pemimpin MCA YBhg Tan Sri Datuk Tee Cheng York @ Tee How.
Yang Amat DiHormati Tan Sri Fuzi Harun, P.M.N.
Bagi kategori pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun
pula, penerima gelaran itu ialah Gabenor Bank Negara, YBhg Tan Sri Datuk Seri Muhammad Ibrahim;
Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, YB Tan Sri Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad
Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBhg Tan Sri Datuk Seri Dr Halim Shafie; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg Tan Sri Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg Tan Sri Datuk Mhd Amin
Nordin Abd Aziz.
Dua panglima daripada perkhidmatan ATM turut menerima darjah
kebesaran PSM iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zulkiple Kassim
dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang.
Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, P.S.M.
Seramai 20 individu dari badan swasta, persatuan dan
sukarela turut menerima darjah kebesaran PSM iaitu Naib Pengerusi Eksekutif
Yayasan Albukhary, YBhg Tan Sri Datuk Seri Ismail Yusof; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Safuan
Group Berhad, YBhg Tan Sri Datuk Mat Shah Sapuan; Timbalan Pengerusi Eksekutif Ahmad Zaki
Resources Berhad,YBhg Tan Sri Datuk Seri Wan Zaki Wan Muda dan Pengerusi Eksekutif Binary
University Sdn Bhd, YBhg Tan Sri Datuk Prof Joseph Adaikalam.
Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Syed Danial Syed Ahmad, P.S.M.
Turut menerima anugerah PSM ialah Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Press Metal Berhad, YBhg Tan Sri Datuk Koon Poh Keong; Pengerusi Globaltec
Formation Berhad, YBhg Tan Sri Datuk Seri Dr Goh Tian Chuan; Pengerusi Sunsuria Berhad, YBhg Tan Sri Datuk Ter Leong Yap; Timbalan Pengerusi Eksekutif ENRA Group Berhad, YBhg Tan Sri Datuk
Kamaluddin Tun Abdullah; Naib Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan
Melayu Malaysia,YBhg Tan Sri Datuk Seri Abg Khalid Abg Marzuki; Presiden dan Ketua Pegawai
Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), YBhg Tan Sri Datuk Wan Zulkiflee Wan
Ariffin; Pengarah Eksekutif HSS Engineers Berhad, YBhg Tan Sri Datuk Seri S Kunasingam dan
Pengarah Urusan Kumpulan Akisama Group, YBhg Tan Sri Datuk Chang Koon Wah.
Yang Mulia Tengku Tan Sri Dato' Paduka Noor Zakiah Binti Tengku Ismail, P.S.M.
Turut tersenarai ialah Pengarah Urusan Iswarabena Sdn Bhd, YBhg Tan Sri Datuk Seri S Selvarajoo; Pengarah Urusan Pelita Samudera Pertama (M) Sdn Bhd, YBhg Tan Sri Datuk
D Murugan; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mangkubumi Sdn Bhd, YBhg Tan Sri Datuk Seri Zainudin
Karjan; Pengarah Urusan Kossan Rubber Industries Berhad, YBhg Tan Sri Datuk Lim Kuang Sia;
Pengarah Urusan Ekovest Sdn Bhd, YBhg Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng; Ketua Pegawai
Eksekutif OWG Holdings Bhd, YBhg Tan Sri Datuk Seri Koh Cheng Keong; Pengarah Urusan Ideal
Property Development Sdn Bhd, YBhg Tan Sri Datuk Ooi Kee Liang dan Pengerusi Eksekutif Tanah
Permai Sdn Bhd, YBhg Tan Sri Datuk Lim Pau Chang.
Dato' Paduka Maharaja Lela.
Penerima lain ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Big C
Supercenter Public Company Limited, Chareon Sirivadhanabhakdi; Presiden dan
Ketua Pegawai Eksekutif Western Digital (M) Sdn Bhd, Steve Miligan; Presiden
Malaysia Earl International Development Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Yuhao
Aixinjueluo; Ketua Pegawai Eksekutif XINYI Glass Holding LTD, Datuk Gerry Tung
Ching Sai dan Ketua Pegawai Eksekutif Xin Wang International Group, Datuk
Chuang Chou-Wen.
Bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, seramai
1,518 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2017. Selain Darjah SSM, penganugerahan hari ini turut membabitkan
tiga Darjah Panglima Mangku Negara (PMN), 47 Darjah Panglima Setia Mahkota
(PSM), 42 Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan lapan Darjah Panglima Setia
Diraja (PSD). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment