Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 15 October 2014

Yang DiPertuan Agong Di Atas Singgahsana Kerajaan..


YANG DI PERTUAN AGONG PERTAMA Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

YANG DI PERTUAN AGONG KEDUA Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dan Tengku Ampuan Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad.

YANG DI PERTUAN AGONG KETIGA Tuanku Syed Putra Jamalullail Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Tuanku Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail.

YANG DI PERTUAN AGONG KEEMPAT Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin dan Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja.

YANG DI PERTUAN AGONG KELIMA Tuanku AlHaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

YANG DI PERTUAN KEENAM Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra.

YANG DI PERTUAN AGONG KETUJUH Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dan Tengku Ampuan Afzan Binti Almarhum Tengku Muhammad Panglima Perang.

YANG DI PERTUAN AGONG KELAPAN Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Sultanah Hajah Zanariah Binti Almarhum Raja Ahmad.

YANG DI PERTUAN AGONG KESEMBILAN Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah dan Tuanku Bainun Binti Mohd Ali.

YANG DI PERTUAN AGONG KESEPULUH Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

YANG DI PERTUAN KESEBELAS Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dan Tuanku Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman.

YANG DI PERTUAN AGONG KEDUABELAS Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

YANG DI PERTUAN AGONG KETIGABELAS Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AlMuktafi Billah Shah dan Tuanku Nur Zahirah.

YANG DI PERTUAN AGONG KEEMPATBELAS Tuanku AlHaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tuanku Hajah Haminah Binti Haji Hamidun.




Tuesday 7 October 2014

Mantan Wanita Pertama Singapura.



Assalamualaikum wbt. Tahukah para pembaca sekalian siapakah wanita pertama yang pernah menyandang gelaran Wanita Pertama bagi negara Singapura ? Beliau merupakan satu-satunya wanita yang pernah bergelar Isteri Yang DiPertuan Negara Singapura sebelum jawatan ketua negara itu bertukar kepada Presiden. Beliau ialah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Hajah Noor Aishah Binti Md Salim, Pingat Bakti Cemerlang. Beliau merupakan suri kepada Presiden Pertama Singapura, Allahyarham Tun Yusof Bin Ishak,S.M.N.,D.U.T.(Singapura),D.K.M.B.(Brunei).

Tun Yusof Ishak bersama Toh Puan Noor Aishah di Istana Presiden.

Toh Puan Noor Aishah dilahirkan pada tahun 1933 di Pulau Pinang. Ramai yang tidak tahu bahawa bekas Wanita Pertama Singapura ini berasal dari Malaysia. Beliau bertemu jodoh dengan Tun Yusof Ishak pada tahun 1948 ketika usia cukup muda iaitu 15 tahun. Ketika itu Tun Yusof telah pun berusia 38 tahun. Perbezaan usia 23 tahun tidak menghalang pasangan ini untuk berumah tangga. Pada ketika itu, Tun Yusof merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan Utusan Melayu. Perkahwinan mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua orang perempuan.


Tanggal 3 Disember 1959, Tun Yusof dilantik sebagai Yang Di Pertuan Negara Singapura. Sekaligus, Toh Puan Noor Aishah bergelar Isteri Yang Di Pertuan Negara atau Wanita Pertama Singapura pada usia 26 tahun. Tun Yusof menjadi Yang Di Pertuan Negara sehingga tahun 1965. Seterusnya, apabila Singapura mencapai kemerdekaan pada tahun 1965, Tun Yusof diangkat sebagai Presiden pertama Singapura. Toh Puan Noor Aishah bergelar Isteri Presiden Singapura. Tun Yusof menjadi Presiden hingga akhir hayat beliau. Tun Yusof meninggal dunia pada 23 November 1970 ketika berusia 60 tahun meninggalkan Toh Puan Noor Aishah dan 3 anak mereka. Toh Puan Noor Aishah menjadi balu seawal usia 37 tahun. 


Setelah kematian Tun Yusof pada 1970, nama dan kisah Toh Puan Noor Aishah jarang sekali dipaparkan di media Singapura. Beliau juga jarang menghadiri majlis rasmi kerajaan. Toh Puan Noor Aishah lebih selesa bersama keluarga membesarkan anak-anak beliau. 


Kini, di kala usia mencecah 81 tahun, beliau hidup dalam kenangan bersama Allahyarham suaminya. Beliau bahagia di samping anak-anak dan 10 orang cucu dan 8 cicit tersayang. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat sederhana dan mudah tersenyum. Kesihatan beliau agak sedikit terganggu apabila beliau terpaksa menjalani pembedahan kedua-dua lutut pada tahun lalu. Sebagai Isteri bekas Presiden Singapura, beliau masih menerima elaun daripada kerajaan.Walaupun tidak sering muncul di khalayak ramai, namun beliau yang lebih selesa dipanggil "Mummy" tetap diingati atas pengorbanan beliau dan Allahyarham suami beliau. 


Pada tahun 1964, beliau dikurniakan Pingat Bakti Chemerlang Singapura oleh suami beliau atas sumbangan dalam bidang kebajikan. Sewaktu bergelar Isteri Presiden, beliau merupakan Penaung kepada Persatuan Bulan Sabit Merah, Pertubuhan Wanita Islam Singapura, dan juga Persatuan Pandu Puteri Singapura.

Semoga ALLAH SWT memberikan kesihatan yang baik kepada YABhg Toh Puan Hajah Noor Aishah Binti Md Salim.

Wajah terkini Toh Puan Noor Aishah.

Bersama suami beliau pada tahun 60an. Kedua mereka adalah peminat bunga orkid sehingga menamakan salah seorang anak mereka Orkid.

Bersama satu-satunya anak menantu lelaki beliau.



Monday 6 October 2014

Tun Hajah Suhailah Dalam Kenangan..


Assalamualaikum. Tanggal 4 Oktober 2014 negara kita dikejutkan dengan berita pemergian balu kepada Perdana Menteri ke 3, Allahyarham Tun Hussein Bin Dato' Onn iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Hajah Suhailah Binti Tan Sri Mohd Noah, S.S.M.  Allahyarham Tun Suhaila menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara pada usia 82 tahun. Beliau meninggalkan enam orang anak yang beliau peroleh bersama Allahyarham Tun Hussein.


Tun Suhailah dilahirkan pada 26 Oktober 1931 di Johor. Beliau merupakan anak kedua daripada lima beradik kepada pasangan Allahyarham Tan Sri Haji Mohd Noah Bin Omar dan Siti Aminah Kusuma. Tan Sri Mohd Noah merupakan Speaker Pertama Dewan Rakyat dan merupakan seorang ahli politik yang disegani ketika awal kemerdekaan negara. Adik bongsu Tun Suhailah ialah isteri kepada Perdana Menteri Kedua iaitu YABhg Tun Dr Hajah Rahah Binti Tan Sri Mohd Noah yang juga merupakan bonda kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak.


Tun Suhailah dibesarkan di Muar, Johor dan mendapat pendidikan di Sekolah Convent Melaka. Beliau bertemu jodoh dengan
YAB Tun Hussein Bin Dato' Onn, D.K.(Johor),D.K.(Selangor),D.K.(Terengganu),D.K(Kelantan),S.M.N,S.P.M.P,S.P.M.J,S.I.M.P,S.P.C.M,S.S.I.J,S.P.D.K,
D.U.P.N,P.I.S,D.P,S.P.N.S
pada Februari 1948 ketika berusia 17 tahun. Perkahwinan mereka direstui dengan 2 putera dan 4 puteri iaitu Hishamuddin Hussein, Harris Hussein, Datin Roquiya Hanim, Puan Sri Dr Suraiya Hani, Roziah Hanis dan Dr Rozita Halina. Anak sulung beliau, Datin Roquiya Hanim meninggal dunia pada tahun 2005 akibat kanser payudara.

Berbual dengan Raja Permaisuri Agong pertama Almarhum Tuanku Kurshiah.

Pada tahun 1976, setelah kematian adik ipar beliau iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato' Hussein yang ketika itu bergelar Perdana Menteri, tempat Tun Razak digantikan oleh suami Tun Suhailah iaitu Tun Hussein Onn. Sepanjang 5 tahun Tun Hussein menjadi Perdana Menteri, Tun Suhailah merupakan tulang belakangnya.Sebagai isteri pemimpin negara, Tun Suhailah lebih komited dalam memperjuangkan nasib wanita dan golongan yang kurang berkemampuan. Tun Suhailah merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI). BAKTI didaftarkan secara rasmi pada 16 Mei 1977 hasil usaha Tun Suhailah. Beliau juga merupakan Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia sehingga tahun 1981. Pada tahun 1976, setelah pulang dari lawatan ke Iraq, Tun Suhailah telah menubuhkan Perpustakaan Kanak-kanak. Tun Suhailah juga merupakan Penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) yang banyak membantu pembangunan wanita dan kanak-kanak dalam negara.


Tun Hussein bersara sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981. Maka tamatlah tugas Tun Suhailah sebagai isteri Perdana Menteri. Namun kerja-kerja kebajikan tetap beliau teruskan. Tarikh 29 Mei 1990 merupakan tarikh sedih dalam hidup Tun Suhailah. Suami tercinta, Tun Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada usia 68 tahun meninggalkan Tun Suhailah dan anak-anak.

Bersama Tun Hussein di London.

Setelah pemergian Tun Hussein Onn, Tun Suhailah lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga. Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (S.S.M.) yang membawa gelaran Tun oleh kerajaan persekutuan pada tahun 1990 sebagai mengiktiraf jasa dan peranan Tun Suhailah sepanjang berkhidmat untuk masyarakat. Beliau juga dianugerahkan dengan Anugerah Srikandi oleh Persatuan Pandu Puteri Kebangsaan.

Pada tahun 2007, Tun Suhailah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat masalah jantung. Semenjak itu beliau lebih banyak berehat di rumah. Beliau jarang-jarang muncul di media. 


Baru-baru ini beliau dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara akibat masalah kesihatan. Tun Suhailah meninggal dunia pada pukul 12.30 pagi, 4 Oktober 2014.Jenazah beliau dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku untuk dimandi dan disolatkan. Tun Suhailah diberi penghormatan untuk disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas zohor. Antara yang menziarahi jenazah Tun Suhailah ialah Sultan Ahmad Shah, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tuanku Zara Salim, Perdana Menteri Dato' Seri Najib dan juga adik beliau Tun Hajah Rahah.


Tun Suhailah bergurau bersama Tun Hussein dan Tun Siti Hasmah.

Sesungguhnya Tun Suhailah merupakan lambang seorang Srikandi yang menghambakan dirinya untuk kerja-kerja kebajikan. Pemergian beliau tiada pengganti.
AL FATIHAH untuk ALLAHYARHAM TUN HAJAH SUHAILAH BINTI TAN SRI MOHD NOAH.

Adik Allahyarham Tun Suhailah, Tun Rahah.

Upacara pengebumian di Makam Pahlawan.






Wednesday 1 October 2014

Kemesraan DiRaja..


Gambar "Selfie" Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menjadi viral di laman sosial Facebook baru-baru ini. Gambar ini menunjukkan kemesraan pasangan DiRaja yang masing-masing berusia 87 tahun dan 61 tahun itu. Gelagat baginda berdua berselfie itu dirakam oleh seorang jurugambar Jabatan Penerangan semasa lawatan baginda berdua ke negara China.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...