Anda Pengunjung Ke :

Friday 2 September 2016

Gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan dan Tengku Permaisuri Selangor.


Kali terakhir negeri Selangor mempunyai Permaisuri adalah sekitar 15 tahun dimana penyandangnya adalah Yang Amat Mulia Permasuri Siti Aishah Binti Abdul Rahman. Dengan perkahwinan terkini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah maka kekosongan gelaran Permaisuri akan terisi. Gelaran bagi Permaisuri dari kalangan kerabat atau gahara dengan Permaisuri dari golongan kebanyakan adalah berbeza. Bagi isteri Sultan yang berasal dari kalangan kerabat diraja yang bertakhta, gelaran yang diberikan adalah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Darul Ehsan. Dalam sejarah kesultanan Selangor, seramai 9 orang Tengku Ampuan Selangor semenjak kali pertama negeri ini menerima kehadiran Sultan. Permaisuri negeri yang bergelar Tengku Ampuan Selangor yang terakhir setakat ini adalah Almarhum Tengku Ampuan Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz yang mangkat pada tahun 1993. Semenjak tahun 1993 sehingga kini, gelaran Tengku Ampuan Selangor kosong. 

Manakala gelaran bagi isteri Sultan yang berdarah kebanyakan atau berasal dari orang biasa yang bertakhta diberikan gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor. Gelaran ini kali terakhir pada tahun 1998 apabila Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Siti Aishah ditabalkan. Baginda yang berasal dari golongan kebanyakan sebelum itu diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Cik Puan Besar Selangor sejurus perkahwinan baginda dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1990. Selepas 8 tahun baginda bergelar Cik Puan Besar Selangor, barulah baginda ditabalkan sebagai Tengku Permaisuri Selangor. Selain Permaisuri Siti Aishah, terdapat seorang lagi penyandang gelaran Tengku Permaisuri Selangor. Baginda adalah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Sharifah Mastura Binti Syed Ahmad Shahabuddin. Baginda merupakan isteri kepada Sultan Selangor yang memerintah semasa zaman Jepun bermula tahun 1942 hingga tahun 1945, Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. 

Berdasarkan sejarah, isteri kedua sultan dan seterusnya yang tidak bertakhta diberikan gelaran Cik Puan Besar. Kali pertama gelaran Cik Puan Besar digunakan adalah pada zaman pemerintahan Sultan Selangor Ke-2, Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Sultan Salehuddin. Isteri ke-4 baginda, Cik Long Halijah Binti Dato' Husain diberikan gelaran Cik Puan Besar Selangor. Pada zaman pemerintahan Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, dua orang isteri baginda diberikan gelaran yang berlainan. Isteri ke-7 baginda, Cik Maimunah Binti Abdullah diberikan gelaran Cik Anjong Negara manakala isteri ke-8 baginda, Cik Bidayah Binti Ahmad diberikan gelaran Cik Puri Negara. 

Memandangkan isteri Sultan Sharafuddin, Cik Puan Norashikin merupakan seorang yang berasal dari golongan kebanyakan, maka gelaran yang mungkin akan diberikan kepada beliau adalah Tengku Permaisuri Selangor. 

Berikut merupakan senarai Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan dan Tengku Permaisuri Selangor yang pernah bertakhta sebagai Suri Negeri Selangor :

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Pertama

Tengku Ampuan Puteri Binti Almarhum Sultan Ala'uddin Riayat Shah (1766-1778)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Salehuddin Shah Ibni Almarhum Raja Chelak.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-2

Tengku Ampuan Tengah Binti Almarhum Raja Haji (1796-1826)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-3
Tengku Ampuan Basik Binti Almarhum Arung To' Mojong (1826-1857)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-4

Tengku Ampuan Atfah Binti Almarhum Sultan Muhammad Shah (1857-1873)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-5
Tengku Ampuan Paduka Seri Negara Tengku Ampuan Maharum Binti Almarhum Tunku Dziauddin (1898-1910)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-6
Tengku Ampuan Zubaidah Binti Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Karamatullah Shah (1910-1918)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-7
Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Rahmatullah Shah (1922-1938)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-8

Tengku Ampuan Hajah Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad (1938-1942) dan (1945-1960)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah.


Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Ke-9
Tengku Permaisuri Sharifah Mastura Binti Syed Ahmad Shahabuddin (1942-1945)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Ke-10
Tengku Ampuan Rahimah AlHajjah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz (1960-1993)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Ke-11
Tengku Permaisuri Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman (1998-2001)
Isteri DYMM Paduka Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

4 comments:

  1. assalam tuan...ada sumber berkaitan Tengku Ampuan Basik Binti Almarhum Arung To' Mojong (1826-1857)?

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikummussalam. saya pun masih mencari maklumat berkaitan Almarhum Tengku Ampuan Basik.

      Delete
  2. Tksih tn amirul ..sya dpt sikit dri geni.family tree..entah sahih atau tidak..tpi dri neneknya tidak ada kecuali ayahandanya Arung Temurung sampai ke kerajaan Bone

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum tuan, blh saya dapatkan guane tree Tengku Permaisuri Tengku Sharifah Mastura binti Syed Ahmad Shahabuddin, dia berkahwin berapa kali, siapa anak2nya.. harap dapat membantu..terima kasih..

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...