Anda Pengunjung Ke :

Saturday 4 March 2017

4 Mac 2017 : Ulangtahun Ke-18 Kemahkotaan Sultan Terengganu.


Tanggal 4 Mac 2017, genap 18 tahun KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dimahkotakan sebagai Sultan Terengganu Darul Iman Ke-16. Baginda yang ketika itu berusia 37 tahun dimahkotakan bersama isteri baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Terengganu Permaisuri Nur Zahirah. Permaisuri Nur Zahirah ketika itu berusia 26 tahun dan baginda berdua baru sahaja berkahwin selama tiga tahun. Sultan Mizan menaiki takhta negeri Terengganu diatas kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada tahun 1998. Sebagai Yang Di-Pertuan Muda Terengganu ketika itu, Sultan Mizan diangkat sebagai Sultan Terengganu ke-16. Baginda dimahkotakan pada tahun berikutnya iaitu tahun 1999. 


Pada tahun yang sama juga, Sultan Mizan dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11. Jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sepatutnya disandang oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail tetapi baginda menolak jawatan itu kerana baginda sudah berusia 79 tahun dan uzur. Baginda mangkat setahun kemudian iaitu pada tahun 2000. Maka, jawatan baginda disandang oleh Sultan Mizan yang baru sahaja dimahkotakan. 


Permaisuri Nur Zahirah diberi gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Darul Iman pada tahun 2006 diatas perkenan Sultan Mizan sendiri. Apabila Sultan Salahuddin gering dan mangkat sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2001, Sultan Mizan memangku jawatan Yang Di-Pertuan Agong. Baginda kekal sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong bagi tempoh 5 tahun apabila Raja Perlis yang baru ditabalkan pada tahun 2000 menerima jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-12. Sultan Mizan dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 pada tahun 2006 dan bersemayam diatas takhta kerajaan persekutuan bersama Sultanah Nur Zahirah sehingga tahun 2011. Baginda berdua kembali menerajui takhta negeri Terengganu Darul Iman sehingga kini. Semoga Allah S.W.T. melanjutkan usia KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah. DAULAT TUANKU!!!

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...