Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 27 July 2019

Khas Sempena Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 : Perhiasan Rasmi Raja Permaisuri Agong.

Bersempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 yang akan datang, Warisan Raja & Permaisuri Melayu membawakan satu post khas mengenai perhiasan rasmi yang dipakai oleh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Sebagai Suri kepada Ketua Negara, baginda berhak memakai Gandik Diraja yang merupakan tiara rasmi bagi Raja Permaisuri Agong. Gandik Diraja ini melambangkan kedaulatan monarki yang ada di negara kita. Selain Gandik Diraja yang dipakai di ulu jemala Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, perhiasan rasmi baginda yang lain adalah Kalung Diraja. Kalung Diraja ini menghiasi tengkuk Raja Permaisuri Agong setiap kali baginda berangkat ke istiadat rasmi istana. Kedua-dua pakaian kebesaran Raja Permaisuri Agong ini akan menambahkan seri dan aura seseorang Raja Permaisuri Agong itu. Tidak lengkap rasanya jika seseorang Raja Permaisuri Agong itu tidak memakai Darjah Kebesaran. Darjah Kebesaran tertinggi yang dikurniakan kepada seseorang Raja Permaisuri Agong daripada Kerajaan Persekutuan adalah Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.). Maka, Raja Permaisuri Agong akan memakai Darjah Kebesaran D.M.N. setiap kali berangkat ke Istiadat Rasmi Istana. Ketiga-tiga perhiasan diraja ini merupakan perhiasan wajib bagi Raja Permaisuri Agong. Potret-potret rasmi baginda juga memperlihatkan kesemua Raja Permaisuri Agong memakai perhiasan kebesaran ini. 

GANDIK DIRAJA.

Gandik Diraja

Gandik (pemeles) adalah pakaian bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat. Di tengah-tengahnya, di atas awan larat itu terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya juga diperbuat daripada emas putih. Lambang anak bulan dan bintang ini melambangkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Gandik ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat kebesaran Diraja dan semestinya sewaktu Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Gandik ini diperbuat khas supaya boleh dicerai menjadi loket dan kerongsang. 

Gandik Diraja lama.

Semenjak tahun 1957, terdapat 2 versi Gandik Diraja. Gandik Diraja yang pertama dibuat pada tahun 1957 untuk Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman. Gandik ini dibuat untuk Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Kurshiah. Gandik Diraja lama ini dipakai oleh Raja Permaisuri Agong pertama hingga ke-7 iaitu bermula tahun 1957 hingga 1984. Tujuh orang Raja Permaisuri Agong yang memakai Gandik ini ialah Tuanku Kurshiah, Tengku Ampuan Jemaah, Tengku Budriah, Tuanku Intan Zaharah, Sultanah Bahiyah, Raja Perempuan Zainab dan Tengku Ampuan Afzan. Sepanjang tempoh 27 tahun ini, Gandik Diraja lama ini menghiasi jemala Raja-Raja Permaisuri Agong sama ada dalam potret rasmi baginda mahupun ketika baginda berangkat ke Istiadat Diraja. 

Pada tahun 1984, satu Gandik Diraja baru telah dibuat untuk Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-8 Sultan Iskandar. Gandik Diraja ini telah diubah suai dengan penambahan beberapa motif tetapi masih mengekalkan struktur asal iaitu motif awan larat. Gandik Diraja baru ini pertama kali dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-8 Sultanah Zanariah. Setakat hari ini, seramai 8 orang Raja Permaisuri Agong memakai Gandik ini bermula dengan Sultanah Zanariah, Tuanku Bainun, Tuanku Najihah, Tuanku Siti Aishah, Tuanku Fauziah, Tuanku Nur Zahirah, Tuanku Haminah dan terbaru sekali Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah. Gandik ini agak istimewa buat Tunku Azizah kerana kali pertama Gandik ini dipakai adalah oleh Paduka Bonda baginda Sultanah Zanariah, 35 tahun dahulu. 

KALUNG DIRAJA

Kalung Diraja.

Kalung Diraja adalah rantai leher yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Kalung ini merupakan sebahagian daripada alat kebesaran yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat kebesaran Diraja dan juga sewaktu Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Kalung ini juga boleh diceraikan menjadi sepasang subang, kerongsang dan kerabu. 

Kalung Diraja ini juga mempunyai dua versi iaitu lama dan baru. Kalung diraja yang lama dibuat pada tahun 1957 untuk Raja Permaisuri Agong Pertama Tuanku Kurshiah. Kalung diraja ini dipakai oleh Raja Permaisuri Agong Pertama hingga Raja Permaisuri Agong Ke-8. Raja-Raja Permaisuri Agong yang memakai Kalung Diraja lama ini ialah Tuanku Kurshiah, Tengku Ampuan Jemaah, Tengku Budriah, Tuanku Intan Zaharah, Sultanah Bahiyah, Raja Perempuan Zainab, Tengku Ampuan Afzan dan Sultanah Zanariah. 

Kalung Diraja lama.

Bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-9 Sultan Azlan Shah, satu Kalung Diraja baru dibuat untuk Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-9 Tuanku Bainun. Kalung diraja baru ini lebih besar dan panjang daripada yang lama dan mempunyai motif tiga kuntum bunga yang bersambungan. Seramai 6 orang Raja Permaisuri Agong yang memakai Kalung Diraja ini iaitu Tuanku Bainun, Tuanku Najihah, Tuanku Fauziah, Tuanku Nur Zahirah dan Tunku Azizah. Raja Permaisuri Agong Ke-11 Tuanku Siti Aishah tidak dilihat memakai Kalung Diraja ini sama ada semasa Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11 mahupun dalam potret rasmi baginda. Cuma satu potret baginda menunjukkan baginda memakai ceraian kalung ini sebagai kerongsang. 

DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.)

Image result for darjah utama seri mahkota negara
Darjah Utama Seri Mahkota Negara.

Setiap kali seseorang permaisuri itu menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, kerajaan Persekutuan akan menganugerahkan darjah kebesaran sebagai tanda hormat kepada baginda. Pada tahun 1957, Raja Permaisuri Agong Pertama Tuanku Kurshiah telah dikurniakan dengan Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) oleh Kerajaan Persekutuan. Namun, Raja Permaisuri Agong Ke-2 Tengku Ampuan Jemaah tidak sempat dikurniakan darjah ini kerana kemangkatan suami baginda. Raja Permaisuri Agong Ke-3 Tengku Budriah telah dikurniakan Darjah S.M.N. apabila bergelar Raja Permaisuri Agong. 

Related image
Seri Maharaja Mangku Negara.

Pada zaman baginda jugalah Raja Permaisuri Agong telah mula dikurniakan dengan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.). Darjah D.M.N. ini mula dikurniakan kepada semua Permaisuri yang menjadi Raja Permaisuri Agong bermula dengan Tengku Budriah, Tuanku Intan Zaharah, Sultanah Bahiyah, Raja Perempuan Zainab, Tengku Ampuan Afzan, Sultanah Zanariah, Tuanku Bainun, Tuanku Najihah, Tuanku Siti Aishah, Tuanku Fauziah, Tuanku Nur Zahirah, Tuanku Haminah dan terkini Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah. Selempang, Kalung dan Bintang darjah kebesaran ini sering dipakai oleh Raja Permaisuri Agong dalam potret rasmi baginda dan apabila baginda berangkat ke Istiadat Diraja. 

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin memakai Gandik Diraja versi lama, Kalung Diraja versi lama dan Darjah S.M.N.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-2 Tengku Ampuan Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad memakai Gandik Diraja versi lama dan Kalung Diraja versi lama.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-3 Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail memakai Gandik Diraja versi lama, Kalung Diraja versi lama dan Darjah D.M.N.

Seri Paduka Baginda Raja Permaiuri Agong Ke-4 Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja memakai Gandik Diraja versi lama, Kalung Diraja versi lama dan Darjah D.M.N.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-5 memakai Gandik Diraja versi lama, Kalung Diraja versi lama dan Darjah D.M.N.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-6 Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra memakai Gandik Diraja versi lama, Kalung Diraja versi lama dan Darjah DMN.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-7 Tengku Ampuan Afzan Binti Almarum Tengku Muhammad memakai Gandik Diraja versi lama, Kalung Diraja versi lama dan Darjah DMN.


Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-8 Sultanah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad memakai Gandik Diraja versi baru, Kalung Diraja versi lama dan Darjah D.M.N.

Seri Paduka baginda Raja Permaisuri Agong Ke-9 Tuanku Bainun memakai Gandik Diraja versi baru, Kalung Diraja versi baru dan Darjah D.M.N.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-10 Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin memakai Gandik Diraja versi baru, Kalung Diraja versi baru yang diceraikan menjadi pendek dan Darjah DMN.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-11 Tuanku Siti Aishah memakai Gandik Diraja versi baru, Kalung Diraja yang diceraikan menjadi kerongsang dan Darjah DMN.


Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-12 Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid memakai Gandik Diraja versi baru, Kalung Diraja versi baru dan Darjah DMN.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-13 Tuanku Nur Zahirah memakai Gandik Diraja versi baru, Kalung Diraja versi baru dan Darjah DMN.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-14 Tuanku Hajah Haminah memakai Gandik Diraja versi baru, Kalung Diraja versi baru dan Darjah DMN.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-16 Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj memakai Gandik Diraja, Kalung Diraja serta Darjah DMN.

1 comment:


  1. AJOQQ menyediakan permainan poker,domino, bandarq, bandarpoker, aduq, sakong dan capsa :)
    ayo segera bergabung bersama kami dan menangkan uang setiap harinya :)
    AJOQQ juga menyediakan bonus rollingan sebanyak 0.3% dan bonus referal sebanyak 20% :)

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...