Anda Pengunjung Ke :

Friday, 1 May 2020

Khas Sempena Keputeraan Ke-78 Sultan Kedah: Jiwa Ketenteraan Sultan Sallehuddin.



Bersempena Hari Keputeraan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ke-78 pada 30 April 2020, Warisan Raja & Permaisuri Melayu membawakan satu post khas mengenai KDYMM Tuanku dan kerjaya baginda di dalam bidang ketenteraan. Baginda diputerakan sebagai seorang putera gahara kepada pasangan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 30 April 1942. Baginda merupakan cucunda kepada dua orang Sultan iaitu Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhum Sultan Terengganu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Sultan Zainal Abidin. Ayahanda baginda menaiki takhta pada usia Sultan Sallehuddin baru sahaja setahun iaitu pada tahun 1943. Putera  ke-9 daripada 14 orang putera dan puteri Almarhum Sultan Badlishah ini kehilangan ayahandanya pada usia 16 tahun iaitu pada tahun 1958. Kekanda sulung baginda, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menggantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Kedah. 


Sultan Sallehuddin memulakan persekolahan baginda di Sekolah Alor Merah pada tahun 1949 dan seterusnya ke Kolej Sultan Abdul Hamid. Sebagai seorang pelajar yang sukakan aktiviti luar, baginda menyertai Persatuan Pengakap. Baginda suka menyertai ekspidisi di dalam hutan seawal usia remaja lagi. Baginda pernah menyertai latihan Pengakap di kawasan hutan di Sik, Kedah. Disebabkan kecintaan baginda kepada aktiviti luar, maka bermulalah minat baginda kepada bidang ketenteraan. Selepas menghabiskan persekolahan pada tahun 1958, baginda bekerja sebagai guru sementara selama 6 bulan di Sekolah Kebangsaan Iskandar. Ketika itu baginda sedang menunggu keputusan peperiksaan Senior Cambridge baginda. Pada tahun 1962, atas titah Paduka Kekanda baginda, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, baginda telah bersetuju untuk menjalani latihan ketenteraan di India Military Academy di Dehra Dun, India. Sebab utama baginda menjalani latihan ketenteraan di India adalah kerana Almarhum Sultan Abdul Halim mempunyai hubungan baik dengan Duta India di Malaysia dan Almarhum telah meminta supaya adinda Almarhum menjalani latihan ketenteraan di India. Baginda menjalani latihan ketenteraan bermula 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963. Sepatutnya, latihan baginda adalah selama 2 tahun. Namun, disebabkan India berperang dengan China, maka latihan baginda dipendekkan. Selepas mendapat keputusan daripada latihan ketenteraan baginda, baginda mendapat panggilan temuduga di Kementerian Pertahanan. 


Maka, bermulalah kerjaya baginda sebagai seorang pegawai tentera. Baginda telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Februari 1964 dan ditempatkan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Sebagai permulaan, baginda dihantar untuk membuat operasi di Jeli di sempadan Thailand. Selepas tamat operasi di Jeli, baginda dihantar pula ke Hutan Melintang, Perak. Semasa zaman Konfrontasi Indonesia-Malaysia, baginda telah berkhidmat di Kalabakan dan menjalankan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia seperti di Kampung Mentadah, Simpang Tiga, Apas, Balong dan lain-lain lagi. Batalion ke-2 RAMD kemudiannya berpindah semula ke Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1965. Pada tahun 1966, battalion baginda berpindah pula ke Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pada tahun 1967, baginda menjalankan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia di Bau, Sarawak selama 9 bulan. Kompeni baginda menjalankan operasi di kawasan Pedawan. Pada tahun 1969, baginda ditempatkan pula di Kem Tok Jalai, Kedah untuk menjalankan operasi di sempadan. Baginda juga pernah berkhidmat di Sandakan, Sabah untuk menjalankan operasi. Baginda sedang beroperasi di Pulau Pinang semasa peristiwa 13 Mei 1969 berlaku. Baginda bersara daripada bidang ketenteraan pada usia yang agak muda iaitu 32 tahun, selepas 10 tahun berkhidmat. Baginda bersara pada 14 Februari 1974. Dalam tempoh 10 tahun berkhidmat sebagai perwira, baginda telah banyak menjalani operasi mempertahankan sempadan negara daripada diceroboh musuh. Walaupun bergelar putera raja, baginda tidak kekok untuk mengangkat senjata mempertahankan negara. Negeri Kedah khususnya dan negara Malaysia amnya amat bertuah kerana mempunyai seorang Raja dan Sultan yang pernah menumpah bakti sebagai seorang perwira. Semoga Allah SWT melanjutkan usia KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. 

1 comment:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...