Anda Pengunjung Ke :

Friday 14 October 2016

Majlis Raja-Raja Pilih Yang Di-Pertuan Agong Ke-15.



Tuanku Abdul Halim bersalaman dengan Tuanku Syed Sirajuddin sambil diperhatikan oleh Raja-Raja Melayu yang lain.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Kali ke 243 telah diadakan pada 13 Oktober 2016 di Istana Negara untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail. Majlis Raja-Raja telah memilih KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 bermula 13 Disember 2016 dan memegang jawatan ini selama 5 tahun. Kenyataan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato' Seri Syed Danial Syed Ahmad. Dalam mesyuarat yang sama juga, Majlis Raja-Raja memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong dan memegang jawatan dalam tempoh yang sama juga.

Tuanku Abdul Halim dan Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim memimpin Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat Khas ini dihadiri oleh kesemua Raja-Raja Melayu. DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin bertindak sebagai Pengerusi, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Muzizzuddin Shah. Mesyuarat berlangsung kira-kira satu jam.

Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 dan Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. 

Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental. Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan Raja yang berada pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain,bukan Raja yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut. Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sembilan Raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.

Sultan Ibrahim, Sultan Sharafuddin, Sultan Muhammad V dan Sultan Ahmad Shah.

Sultan Muhammad V bersalaman dengan Sultan Ibrahim sambil diperhatikan oleh Sultan Nazrin.

Menyembah Setinggi-tinggi tahniah kepada KDYMM Sultan Muhammad V dan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. Daulat Tuanku.

Kesemua 9 orang Raja-Raja Melayu.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...