Anda Pengunjung Ke :

Friday 16 December 2016

Dirgahayu Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah.


Kembali bertakhta sebagai Sultan dan Sultanah Kedah.

Dirgahayu Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Haminah. Setelah 5 tahun bersemayam di Istana Negara Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, baginda berdua telah menamatkan khidmat pada 12 Disember 2016. Kenangan dan kasih sayang yang telah tersimpul sejak 5 tahun lepas masih berterusan sehingga kini. Kembali bertakhta sebagai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah, Warisan Permaisuri Melayu dan seluruh rakyat jelata merafak sembah ucapan terima kasih dan menjunjung kasih diatas perkenan Tuanku berdua menjadi Payung Mahkota bagi rakyat Malaysia bermula 13 Disember 2011 sehingga 12 Disember 2016. 


Perwatakan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah yang mesra dan penyayang amat menarik perhatian rakyat jelata. Walaupun Tuanku Abdul Halim sudah memasuki usia 80-an, namun semangat baginda untuk terus berkhidmat kepada rakyat menjadikan baginda masih sihat bertenaga. Doa seluruh rakyat semoga Tuanku dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan masih berpanjangan sehingga sekarang. Menjadi satu-satunya Raja Melayu yang bertakhta di Istana Negara sebanyak 2 kali, Tuanku Abdul Halim mempunyai banyak pengalaman dalam pemerintahan sesebuah negara. Ditambah pula dengan pengalaman bertakhta sebagai Sultan Negeri Kedah semenjak tahun 1958. Tahun ini merupakan tahun ke-58 Tuanku Abdul Halim bertakhta sebegai Sultan Negeri Kedah Darul Aman. Disiplin dan sifat tegas yang digarap oleh Almarhum Sultan Badlishah, ayahanda Tuanku Abdul Halim menjadikan baginda seorang Raja yang berwibawa. Pengaruh ayahanda saudara baginda, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, yang merupakan Perdana Menteri yang pertama juga banyak membentuk sifat kepimpinan baginda. Maka, tidak hairanlah baginda bersama Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien berjaya menyelesaikan isu 13 Mei 1969 dengan membentuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Pengalaman menjadikan baginda cekap dalam menempuh apa jua situasi. Hari ini, pada usia 89 tahun, baginda merupakan Raja Melayu paling berusia dan paling lama memerintah. Baginda juga merupakan monarki kedua paling lama memerintah di dunia selepas Ratu England, Queen Elizabeth II.

Tuanku Haminah yang bertemu jodoh dengan Tuanku Abdul Halim pada tahun 1975 menaiki takhta negeri Kedah pada tahun 2004 dengan bergelar Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Haminah. Berasal dari Bagan Serai, Perak, baginda merupakan Raja Permaisuri Agong Ke-4 yang datang daripada golongan kebanyakan. Ini menjadikan baginda lebih mengetahi selok belok kehidupan rakyat jelata. Perwatakan Tuanku Haminah yang mesra dan senang bergaul menjadikan baginda disenangi rakyat. Tambahan pula,dengan adanya Yayasan Anah Yatim Tuanku Haminah (YAYSH), baginda lebih dekat kepada golongan anak yatim yang selalu baginda raikan. Keberangkatan baginda dalam majlis-majlis sering mendapat perhatian rakyat. Baginda membawa imej seorang wanita Melayu yang mempunyai keterampilan. Pada usia 63 tahun, baginda masih cergas dan aktif dalam sukan golf. Baginda sering menyertai kejohanan golf dalam negara dan memenangi kategori yang baginda sertai.


Sesungguhnya, kehadiran Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah dalam hidup rakyat Malaysia banyak memberi keceriaan. Baginda berdualah Payung Mahkota yang memayungi keharmonian dan keamanan negara selama 5 tahun yang lepas. Semoga Allah S.W.T. merahmati dan melanjutkan usia KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Al-Sultan Al-Mu'tasimubillahi Muhibbuddin Tuanku Al-haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Kedah Darul Aman Tuanku Sultanah Hajah Haminah Binti Haji Hamidun.









No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...