Anda Pengunjung Ke :

Monday, 12 December 2016

Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14.


Dirgahayu Tuanku. Warisan Permaisuri Melayu merafak sembah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang menaungi rakyat Malaysia sebagai payung mahkota selama 5 tahun. Bermula pada tanggal 13 Disember 2011, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah berangkat ke Kuala Lumpur untuk memulakan tugas rasmi sebagai kepala negara, kini, selepas 5 tahun, baginda berdua akan berangkat pulang ke negeri Kedah untuk kembali bersemayam sebagai Sultan dan Sultanah Kedah. Istiadat Keberangkatan Balik Tuanku berdua diadakan pada 12 Disember 2016. Istiadat ini menandakan berakhirnya tempoh pemerintahan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-14.


Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka berdua bermula di Dataran Parlimen. Keberangkatan tiba baginda berdua di Dataran Parlimen pada pukul 8.35 pagi disambut oleh YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak serta pemimpin negara yang lain. Hujan mengiringi istiadat ini pada waktu pagi. Setibanya baginda berdua di Dataran Parlimen, lagu Hormat Diraja dimainkan disusuli lagu Negaraku sambil diiringi 21 das tembakan meriam. Tuanku Abdul Halim seterusnya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja seramai 103 ahli dan 4 pegawai. Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Ahmad Al-Bakri. Istiadat diteruskan dengan lagu Hormat Diraja dan Negaraku buat kali kedua. Baginda berdua seterusnya berkenan untuk bersalaman dengan Ahli Jemaah Menteri, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta tetamu kenamaan. Baginda berdua seterusnya berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).


Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi. Kebrangkatan tiba baginda berdua disambut dengan perarakan 180 orang yang lengkap berpakaian pembesar Melayu, inang pengasuh dan hulubalang istana, sambil membawa peralatan tradisional seperti gendang, tombak, bunga emas dan replika pohon beringin, bermula dari persimpangan jalan hingga ke pintu masuk kompleks. Selain itu, baginda berdua juga disambut oleh dua ekor gajah yang mengepalai perarakan berkenaan, menggambarkan zaman kegemilangan raja-raja Melayu dahulu kala.


Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah YAM Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak dan isteri, YAB Dato' Seri Zahid Hamidi serta kepimpinan negara yang lain. Istiadat diteruskan dengan persembahan pencak silat pintu masuk, diikuti persembahan Lambaian Kasih 'Daulat Tuanku' di dataran Kompleks Bunga Raya. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri kemudian berkenan bersalaman dengan tetamu kenamaan yang hadir, sebelum berangkat pulang menaiki pesawat khas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah, kira-kira jam 11 pagi.






No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...