Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 15 January 2019

Istiadat Pemasyhuran KDYMM Sultan Pahang Ke-6.

ISTIADAT PEMASYHURAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG DARUL MAKMUR VI
SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH
BALAIRONG SERI ISTANA ABU BAKAR
15 JANUARI 2019


Warisan Raja & Permaisuri Melayu merafak sembah tahniah kehadapan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Darul Makmur Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah diatas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang Ke-6. Istiadat Pemasyhuran baginda diadakan di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan sambil disaksikan lebih kurang 800 orang tetamu. Pemasyhuran baginda sebagai Sultan bagi menggantikan Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang gering dan tidak dapat menjalankan fungsi sebagai seorang Raja Pemerintah. 


Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Ke-6 bermula apabila KDYMM Sultan Abdullah dan KDYMM Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar berangkat masuk ke Balairong Seri kira-kira jam 11.00 pagi. Keberangkatan baginda berdua diiringi pegawai-pegawai istana yang membawa alat kebesaran diraja serta diiringi oleh YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu'adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah dan YAM Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail Ibni Tengku Idris. 


Sebaik sahaja baginda berdua tiba di Singgahsana, lagu Allah Selamatkan Sultan Kami berkumandang di dalam Balairong Seri. Seterusnya, Yang Mulia Timbalan Dato' Paduka Maharajalela memohon perkenan Sultan Abdullah untuk memulakan istiadat. YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman kemudiannya membacakan Perisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang Bahagian Pertama. Tengku Muda Pahang ditimbali oleh YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd dan YDH Orang Kaya Indera Pahlawan. 


Antara isi Perisytiharan Pelantikan Raja yang dibacakan oleh Tengku Abdul Rahman :“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuat kuasa 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.''


Seterusnya, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan akan mengadap Sultan Abdullah dan menyembahkan Titah Ikrar yang akan dibacakan oleh Tuanku. Antara lafaz ikrar baginda ialah: "Bahawa beta dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku dan taat setia bagi menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya mengikut sebagaimana undang-undang tubuh jajahan Pahang yang telah dan akan disahkan serta dimasyhurkan dari semasa ke semasa". 


Sejurus sahaja baginda selesai selesai melafazkan ikrar, YAM Tengku Muda Pahang melaungkan Allahuakbar sebanyak 3 kali disahut oleh hadirin disusuli laungan Daulat Tuanku sebanyak 3 kali disahut oleh hadirin. Istiadat disambung dengan Persembahan Taat Setia oleh YAM Tengku Muda Pahang mewakili Kerabat-Kerabat Bergelar, ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Kerabat-Kerabat dan Orang-Orang Besar Negeri Pahang Darul Makmur. Tengku Muda Pahang diiringi oleh YAM Tengku Arif Temenggong dan YAM Tengku Besar Pahang. Selesai sahaja Persembahan Taat Setia oleh Tengku Muda Pahang, Persembahan Ucapan Ikrar Taat Setia oleh YAB Menteri Besar Pahang mewakili seluruh rakyat negeri Pahang Darul Makmur.

Sultan Abdullah melafazkan ikrar.


Istiadat diteruskan dengan YDH Orang Kaya Indera Pahlawan menyembahkan Titah Diraja kepada Sultan Abdullah. Sultan Abdullah menyampaikan titah sulung baginda sebagai Sultan Pahang ke-6 dalam Istiadat Pemasyhuran ini. Baginda juga sedikit sebak apabila menyampaikan titah mengenai Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah dan Paduka Bonda Almarhum Tengku Ampuan Afzan. Selesai baginda menyampaikan titah, SS Mufti Kerajaan Negeri Pahang dititah mengadap untuk membacakan doa. Untuk menutup istiadat, YM Timbalan Dato’ Paduka Maharaja Lela mengadap untuk memaklumkan istiadat telah selamat disempurnakan. Sejurus selepas ini, lagu negeri Pahang dimainkan. Sultan Abdullah dan Tunku Azizah meninggalkan Balairong Seri diiringi oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Besar Pahang serta kerabat-kerabat diraja.

Tunku Azizah mencium tangan suami baginda.

Turut berangkat ke istiadat ini adalah kerabat-kerabat diraja Pahang terdiri daripada kekanda dan adinda Sultan Abdullah iaitu YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam, YAM Tengku Puteri Seri Teja Tengku Muhaini, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Aishah, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Nong Fatimah dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Shahariah. Turut berangkat, kerabat-kerabat diraja Pahang, pembesar-pembesar negeri, serta penerima-penerima darjah kebesaran Pahang yang dijemput. 

Persembahahan taat setia oleh Tengku Muda Pahang.

Sultan Abdullah menyampaikan titah.


Bacaan doa.



Tengku Meriam, Tengku Fahd dan Tengku Abdul Rahman.

Kerabat-kerabat diraja Pahang.

KDYMM Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.

KDYMM Tengku Puan Pahang.

3 comments:

  1. KDYMM Tengku Ampuan Pahang kan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baginda belum dimasyhurkan lagi. So skrg gelaran baginda KDYMM Tengku Puan Pahang seperti yang digunakan waktu penasyhuran Sultan Abdullah.

      Delete
  2. Pertabalan Sultan Pahang belum lagi kan

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...