Anda Pengunjung Ke :

Saturday 12 January 2019

Sidang Media Khas Istana Abu Bakar, Pekan,Pahang.


Satu sidang media khas telah diadakan di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang untuk mengumumkan pemasyhuran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sebagai Sultan Pahang Ke-6. Pengumuman tersebut dibuat oleh Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Semalam, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang telah bermesyuarat untuk membincangkan kedudukan Tengku Abdullah memandangkan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin Al-Muazzam Shah telah gering dan tidak dapat menjalankan kewajipan selaku Pemerintah Negeri. Mesyuarat tersebut dipengerusikan sendiri oleh Tengku Abdullah. Tengku Abdul Rahman yang juga Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja juga mengumumkan bahawa Tengku Abdullah akan dimashyurkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Darul Makmur Ke-6 pada 15 Januari 2019 (Selasa). Istiadat akan berlangsung pada jam 11.00 pagi. 

Antara titah Tengku Abdul Rahman: "Dalam keadaan sedih dan dukacita saya dan keluarga terima hakikat bahawa ayahanda (Sultan Ahmad Shah) tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pemerintah. Mesyuarat yang saya pengerusikan semalam juga bersetuju dan meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada ahli majlis jumaah untuk menurunkan takhta raja disebabkan kegeringan yang besar dan berat. Pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang ini hanya membabitkan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan tidak perlu dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Tengku Abdul Rahman juga memberitahu bahawa ayahanda baginda akan bergelar Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah. Sultan Haji Ahmad Shah, 88 telah beberapa tahun gering dan tugas baginda sebagai Sultan Pahang dipangku oleh Tengku Abdullah. 

Turut berangkat dalam sidang media khas tersebut ialah YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Muad'zam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, YAM Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail Tengku Idris, dan ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang. Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang YB Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak. 

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...