Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 29 January 2019

Istiadat Pelantikan & Pemasyhuran KDYMM Tengku Ampuan Pahang dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang Serta Istiadat Menjunjung Duli

ISTIADAT PELANTIKAN & PEMASYHURAN KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANG DAN ISTIADAT PELANTIKAN & PEMASYHURAN KDYTM TENGKU MAHKOTA PAHANG SERTA ISTIADAT MENJUNJUNG DULI
29 JANUARI 2019
BALAIRONG SERI, ISTANA ABU BAKAR, PEKAN


Tanggal 29 Januari 2019 menyaksikan satu lagi sejarah tercipta di negeri Pahang Darul Makmur apabila seorang Pemaisuri dan pewaris takhta negeri dimasyhurkan dalam satu istiadat. Ini merupakan kali pertama istiadat pemasyhuran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang dan istiadat pemasyhuran KeBawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang diadakan serentak. Istiadat Pemasyhuran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Ampuan Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan anakanda baginda KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diadakan di Balairong Seri, Istana Abu Bakar Pekan berikutan pemasyhuran KDYMM Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus'tain Billah sebagai Sultan Pahang ke-6.


Istiadat bermula dengan keberangkatan tiba KDYMM Sultan Abdullah diiringi oleh KDYMM Tengku Ampuan Azizah, KDYTM Tengku Hassanal. Turut mengiringi baginda bertiga ialah YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, YABhg Cik Puan Muda Pahang Dato' Seri Julita Aishah, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Al-Muazzam Shah serta putera-putera Sultan Pahang. Sejurus sahaja Tuanku berdua tiba di singgahsana, lagu negeri Pahang dimainkan. Penghulu Istiadat Balairong Seri YM Tengku Mohd Nazjirulzaman Tengku Jamaluddin mengadap Tuanku berdua untuk merafak sembah untuk memulakan Istiadat Pelantikan dan Pemasyhuran KDYMM Tengku Ampuan Pahang dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang serta Istiadat Menjunjung Duli. 


Kemudian, YAM Tengku Muda Pahang titah baca surat perisytiharan pelantikan KDYMM Tengku Ampuan Pahang keatas tubuh KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. YAM Tengku Muda Pahang ditimbali oleh YAM Tengku Arif Temenggong Pahang serta YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Meriam Sultan Ahmad Shah. Selesai titah baca surat perisytiharan, YAM Tengku Muda Pahang menyembahkan surat tersebut kepada KDYMM Sultan Abdullah. Kemudian, KDYMM Tengku Ampuan Pahang akan mengadap KDYMM Sultan Pahang lalu Sultan Pahang mengurniakan surat tersebut kepada KDYMM Tengku Ampuan Pahang. 


Istiadat diteruskan dengan Istiadat Pelantikan dan Pemasyhuran KDYTM Tengku Mahkota Pahang. KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah dititah mengadap sambil ditimbali oleh YAM Tengku Arif Temenggong Pahang serta YAB Menteri Besar Pahang. Kemudian, YAM Tengku Muda Pahang titah baca surat perisytiharan pelantikan KDYTM Tengku Mahkota Pahang keatas tubuh KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Selesai titah baca surat perisytiharan, KDYTM Tengku Mahkota dan YAM Tengku Muda Pahang mengadap KDYMM Sultan Abdullah untuk menyembahkan surat tersebut. KDYMM Sultan Abdullah kemudiannya mengurniakan surat tersebut kepada KDYTM Tengku Mahkota Pahang. Istiadat diteruskan dengan ikrar taat setia oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang. Selesai melafazkan ikrar, KDYTM Tengku Mahkota menurunkan tandatangan diatas ikrar tersebut dengan bersaksikan oleh YAM Tengku Muda Pahang serta YAB Menteri Besar Pahang. Sesudah itu, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dititah untuk menjunjung duli. Selesai istiadat menjunjung duli, KDYTM Tengku Mahkota Pahang bersalaman dengan ayahanda baginda KDYMM Sultan Pahang serta bonda baginda KDYMM Tengku Ampuan Pahang. KDYTM Tengku Mahkota Pahang seterusnya bersemayam di atas singgahsana bersebelahan dengan KDYMM Sultan Pahang. 


Istiadat diteruskan dengan perisytiharan KDYMM Pemangku Raja Pahang memandangkan KDYMM Sultan Pahang akan bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bermula 31 Januari ini. YAM Tengku Muda Pahang membacakan perisytiharan Pemangku Raja Pahang. Sesudah itu, YAM Tengku Muda Pahang menyembahkan surat tersebut kepada KDYMM Sultan Pahang lalu baginda mengurniakan surat tersebut kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang. 


Selesai perisytiharan KDYMM Pemangku Raja Pahang, istiadat diteruskan dengan Pengurniaan Darjah Kerabat Seri Indera Mahkota Pahang Yang Amat DiHormati (D.K.) kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang. KDYMM Sultan Pahang kemudiannya mengurniakan Darjah Kerabat tersebut kepada putera baginda. KDYMM Sultan Pahang kemudiannya menyampaikan titah diraja. Selesai titah diraja, SS Mufti Negeri Pahang dititah mengadap untuk bacaan doa. Untuk menutup istiadat, Penghulu Istiadat Balairong Seri mengadap KDYMM Sultan Pahang untuk menyembah maklum bahawa istiadat telah disempurnakan. Lagu negeri Pahang dimainkan dan KDYMM Sultan Pahang, KDYMM Tengku Ampuan Pahang, KDYMM Pemangku Raja Pahang berangkat meninggalkan balairong seri sambil didahului oleh YAM Tengku Besar Pahangg dan diiringi oleh YAM Tengku Muda Pahang, YABhg Cik Puan Muda Pahang, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang serta putera-putera Sultan Pahang. 

YAM Tengku Fahd, YABhg Dato' Seri Julita dan YAM Tengku Abdul Rahman.

YAM Tengku Arif Temenggong dan YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa.

YAM Tengku Muda Pahang.

KDYMM Sultan Pahang.


KDYMM Tengku Ampuan Pahang.


Tengku Ampuan Pahang mengadap Sultan Pahang.


Tengku Hassanal lafaz ikrar.


Titah diraja.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, D.K., S.S.A.P.


No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...