Anda Pengunjung Ke :

Wednesday, 18 March 2020

2 Orang Tengku Ampuan Fatimah: DYMM Tengku Ampuan Fatimah Selangor dan KDYMM Tengku Ampuan Fatimah Pahang.

Di dalam sejarah Kesultanan Melayu, terdapat dua orang permaisuri yang mempunyai nama dan gelaran yang sama. Dua orang permaisuri ini ialah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Almarhumah Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshidul Al-Azzam Shah Rahmatullah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Almarhumah Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Al-Kaddasullah. Lebih menarik lagi, kedua-dua Tengku Ampuan Fatimah ini merupakan puteri diraja negeri Perak dan mempunyai pertalian darah. Tengku Ampuan Fatimah Selangor merupakan bonda saudara kepada Tengku Ampuan Fatimah Pahang. Perkahwinan merentas negeri ini mengukuhkan lagi pertalian persaudaraan di antara kerabat diraja negeri-negeri tersebut. Kedua-dua Tengku Ampuan Fatimah ini bersusur galur daripada keturunan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Ke-28 Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Tengku Ampuan Fatimah Selangor merupakan adinda kepada ayahanda Tengku Ampuan Fatimah Pahang iaitu Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Ke-30 Almarhum Sultan Iskandar Shah Ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Rahmahtullah. Sultan Iskandar merupakan anakanda ke-3 kepada Sultan Idris manakala Tengku Ampuan Fatimah Selangor merupakan anakanda ke-15. 

DULI YANG MAHA MULIA TENGKU AMPUAN SELANGOR DARUL EHSAN TENGKU AMPUAN FATIMAH BINTI ALMARHUM SULTAN SIR IDRIS MURSHIDUL AZZAM SHAH RAHMAHTULLAH (1899- 8 April 1983).


Diputerikan sebagai Yang Amat Mulia Raja Fatimah Binti Sultan Idris Murshidul Azzam Shah di Kuala Kangsar pada tahun 1899, 12 tahun selepas ayahanda baginda menaiki takhta sebagai Sultan Perak. Merupakan anakanda ke-15 dan puteri ke-7 kepada pasangan Sultan Idris dan isterinya Tengku Permaisuri Che Uteh Mariah Binti Haji Sulaiman. Baginda bertemu jodoh dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa pada September 1921 ketika berusia 22 tahun manakala Sultan Ala'eddin berusia 58 tahun. Ini merupakan perkahwinan kali ke-9 buat Sultan Ala'eddin. Sultan Ala'eddin juga pernah berkahwin dengan anakanda saudara Tengku Ampuan Fatimah iaitu Tengku Ampuan Zubaidah Binti Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Karamatullah Shah yang mangkat pada tahun 1918. 


Tengku Ampuan Fatimah ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Paduka Sri Negara pada 11 Januari 1922. Tengku Ampuan Fatimah dikurniakan 5 orang anakanda, 2 putera dan  3 puteri. Anakanda-anakanda baginda ialah YAM Tengku Toh Puan Nur Saadah (7 November 1922), YAM Tengku Nur Anwar (16 Februari 1924), YAM Tengku Nur Ashikin Khaladiah (1925), YAM Tengku Aris Temenggung Selangor Tengku Muhammad Yusof Shah (28 April 1926) dan YAM Tengku Abdul Rahman (5 September 1927). Baginda merupakan bonda mertua kepada YBM Raja Tun Uda Bin Raja Muhammad apabila puteri sulung baginda Tengku Toh Puan Nor Saadah berkahwin dengan Raja Tun Uda pada tahun 1939. Tengku Ampuan Fatimah menjadi Tengku Ampuan Selangor sehingga kemangkatan suami baginda pada 31 Mac 1938. Tengku Ampuan Fatimah mangkat pada 8 April 1983 pada usia 84 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Klang. Baginda merupakan moyang tiri kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TENGKU AMPUAN PAHANG DARUL MAKMUR TENGKU AMPUAN FATIMAH BINTI ALMARHUM SULTAN SIR ISKANDAR SHAH KADASULLAH,  D.K. (PAHANG) (1910- 23 Jun 1988).


Baginda diputerikan pada tahun 1910 di Kuala Kangsar sebagai Yang Mulia Raja Fatimah Binti Raja Kechil Tengah Raja Iskandar Shah sewaktu zaman pemerintahan nenda baginda, Sultan Idris Murhsidul Azzam Shah. Baginda merupakan anakanda sulung kepada pasangan Sultan Iskandar Shah dan YAM Tengku Nong Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Ahmad Al-Muazzam Shah, puteri Sultan Pahang. Adinda baginda, DYMM Sultan Idris Shah menaiki takhta sebagai Sultan Perak ke-33 pada tahun 1963. Tengku Ampuan Fatimah bertemu jodoh dengan YAM Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah pada 23 Mei 1926 ketika berusia 16 tahun manakala Sultan Abu Bakar berusia 22 tahun. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Merchu, Kuala Kangsar. Suami baginda dilantik sebagai KDYTM Tengku Mahkota Pahang pada 4 Jun 1930, maka Tengku Ampuan Fatimah bergelar KDYTM Tengku Puan Pahang. Tengku Abu Bakar menaiki takhta sebagai Sultan Pahang pada 23 Jun 1932. 


Tengku Ampuan Fatimah dimasyhurkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang pada 28 Mei 1933 di Istana Terentang, Pekan. Baginda merupakan bonda kepada Almarhum KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dan nenda kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda menjad Tengku Ampuan Pahang sehingga kemangkatan suami baginda pada 7 Mei 1974. Tengku Ampuan Fatimah mangkat pada 23 Jun 1988 pada usia 78 tahun di Istana Indra Puri, Pekan dan dimakamkan di Makam Diraja Pekan. Baginda juga merupakan bonda saudara kepada DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris, DYTM Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris dan DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...