Anda Pengunjung Ke :

Wednesday, 25 January 2012

Permaisuri Warisan Tunku Besar Burhanuddin...


Tentu anda tidak mengenali siapakah pemilik potret di atas ini.Dan apakah hubungan pemilik potret ini dengan Permaisuri yang pernah bertakhta di negara kita ini.Baginda ialah Yang Amat Mulia Almarhum Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah,CMG.Baginda merupakan putera kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan dilantik sebagai Tunku Besar Seri Menanti untuk tempoh yang amat lama.Baginda juga merupakan ayahanda kepada dua orang Raja Permaisuri Agong dan juga nenda kepada seorang Raja Permaisuri Agong.Tunku Besar Burhanuddin diputerakan pada 22 September 1878.Baginda merupakan putera kedua kepada Almarhum Tuanku Antah Ibni Almarhum Tuanku Nasiruddin dan Encik Puan Besar Cik Halimah Binti Uggoh.Baginda berkahwin dua kali.

Pertamanya dengan Almarhum Tunku Sharifah Alawiyah Binti Sayyid Abdul Hamid.Pasangan ini dikurniakan 6 Putera dan 4 Puteri.Dua orang puteri baginda berdua iaitu Tunku Kursiah dan Tunku Durah telah menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan dan puteri Sulungnya iaitu Tunku Kursiah menaiki takhta kerajaan Persekutuan sebagai Raja Permaisuri Agong Pertama pada tahun 1957.Kali keduanya baginda berkahwin dengan Cik Halijah Binti Haji Umar.Perkahwinan kedua baginda dikurniakan 3 putera dan 2 puteri.Puteri bongsu baginda bersama Cik Halijah iaitu Tunku Najihah menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Ke 10 dan ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong Ke 10 pada 1994.Tunku Besar Burhanuddin mangkat pada 5 Julai 1961 di Istana Baroh.Baginda berusia 83 tahun ketika itu.Baginda dimakamkan di Makan Diraja Seri Menanti.Berikut merupakan Permaisuri yang bersusur galur daripada keturunan Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Puteri Sulung Tunku Besar Burhanuddin : Almarhum Tuanku Puan Besar Kursiah .

Almarhum Tuanku Puan Besar Kursiah berkahwin dengan sepupu baginda sendiri iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.Tuanku Muhammad merupakan kekanda sulung kepada Tunku Besar Burhanuddin.Tuanku Puan Besar Kursiah menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1933 sehingga tahun 1960.Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama antara tahun 1957 hingga 1960.Baginda mangkat pada tahun 1999 ketika berusia 88 tahun.

Puteri Tunku Besar Burhanuddin : Almarhum Tuanku Ampuan Durah .

Tuanku Ampuan Durah berkahwin dengan Almarhum Tuanku Munawir yang merupakan putera sulung kepada abang iparnya iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman.Ini bermakna Almarhum Tuanku Munawir berpangkat anakanda saudara kepada Tuanku Ampuan Durah.Tuanku Munawir juga merupakan anakanda tiri kepada kekanda sulung Tuanku Ampuan Durah iaitu Tuanku Puan Besar Kursiah.Baginda menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1960 sehingga 1967.Baginda mangkat pada tahun 1999 ketika berusia 77 tahun.Satu-satunya putera baginda iaitu DYMM Tuanku Muhriz telah ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke 11.

Puteri Bongsu Tunku Besar Burhanuddin : Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah.

Tuanku Najihah berkahwin dengan putera kedua Tuanku Abdul Rahman iaitu Almarhum Tuanku Jaafar.Tuanku Jaafar merupakan adinda kepada Almarhum Tuanku Munawir.Pada masa yang sama juga Tuanku Jaafar berpangkat anakanda saudara kepada Tuanku Najihah.Tuanku Najihah menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan menggantikan kekandanya Tuanku Ampuan Durah pada tahun 1967.Baginda menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan selama 41 tahun sehingga tahun 2008.Berkhidmat sebagai Raja Permaisuri Agong Kesepuluh pada tahun 1994 sehingga 1999.Kini bergelar Tunku Ampuan Negeri Sembilan dan bersemayam di Istana Salatin Negeri Sembilan.

Cucunda Tunku Besar Burhanuddin : Almarhum Sultanah Bahiyah.

Sultanah Bahiyah merupakan cucunda kepada Tunku Besar Burhanuddin.Baginda merupakan anakanda sulung Almarhum Tuanku Puan Besar Kursiah dan Almarhum Tuanku Abdul Rahman.Baginda berkahwin dengan KDYMM Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.Baginda menjadi Sultanah Kedah pada tahun 1958 sehingga 2003.Baginda juga menjadi Raja Permaisuri Agong Ke 5 pada tahun 1970 hingga 1975.Sultanah Bahiyah mangkat pada tahun 2003 akibat kanser.

Gambar 4 orang Permaisuri warisan Tunku Besar Burhanuddin.Dari kiri Tuanku Najihah,Sultanah Bahiyah,Tuanku Ampuan Durah dan Tuanku Puan Besar Kursiah.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...