Anda Pengunjung Ke :

Wednesday, 18 March 2020

Menziarahi Makam Pahlawan Masjid Negara.


Pada 8 Mac 2020, Editor Warisan Raja & Permaisuri Melayu sempat menziarahi Makam Pahlawan yang terletak di dalam kawasan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Makam ini mempunyai dua bahagian iaitu bahagian dalam kubah konkrit yang berbentuk bintang pecah tujuh yang menempatkan makam bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Di bahagian tengah makam direka dengan lambang jata negara dan ukiran bunga-bunga daripada batu marmar Pulau Langkawi. Makam Pahlawan dibina pada tahun 1963 dan siap pada tahun 1965 dan merupakan hasil rekaan arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Howard Ashley, Hisham Al-Bakri dan Baharuddin Kassim. Kawasan Makam Pahlawan dan Masjid Negara ini telah diwartakan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sebagai Tapak Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 6 Julai 2007.


Makam Pahlawan menempatkan 16 makam secara keseluruhannya. Kesemua yang dimakamkan disini adalah pemimpin negara yang banyak berjasa kepada negara. Di dalam kubah terdapat 4 makam iaitu 2 makam bekas Perdana Menteri dan 2 makam bekas Timbalan Perdana Menteri. Pemimpin pertama yang dimakamkan di sini ialah Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meninggal dunia pada tahun 1973. YAB Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengarahkan supaya jenazah Tun Dr Ismail dikebumikan di Makam Pahlawan. Pada 1976, Allahyarham Tun Abdul Razak pula disemadikan di Makam Pahlawan ini. Allahyarham Tun Hussien Onn disemadikan pada 1990 dan akhir sekali Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang meninggal dunia pada tahun 2006.






MAKAM ALLAHYARHAM TUN HAJI ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSEIN, D.M.N., S.M.N.
PERDANA MENTERI (1970-1976).



MAKAM ALLAHYARHAM TUN HUSSEIN BIN DATO' ONN, S.M.N., D.K.(Johor).
PERDANA MENTERI (1976-1981).



MAKAM ALLAHYARHAM TUN DR. ISMAIL BIN DATUK ABDUL RAHMAN, S.S.M.
TIMBALAN PERDANA MENTERI (1970-1973).



MAKAM ALLAHYARHAM TUN ABDUL GHAFAR BIN BABA, S.S.M.
TIMBALAN PERDANA MENTERI (1986-1993).



Seramai 12 orang pemimpin negara yang disemadikan di bahagian luar Makam Pahlawan:

1. Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar (1977)- Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar
2. Allahyarham Tun Syed Nasir Bin Ismail (1982)- Bekas Speaker Dewan Rakyat.
3. Allahyarham Tun Sardon Jubir (1985)- Bekas Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
4. Allahyarham Tan Sri Noah Omar (1991)- Bekas Speaker Dewan Rakyat.
5. Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusuf (1992)- Bekas Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara.
6. Allahyarham Tan Sri Khir Johari (2006)- Bekas Menteri Pendidikan.
7. Allahyarhamah Tun Dr. Fatimah Hashim (2010)- Bekas Menteri Kebajikan Masyarakat.
8. Allahyarham Tun Ghazali Shafie (2010)- Bekas Menteri Luar.
9. Allahyarham Tun Dr. Omar Ong Yoke Lin (2010)- Bekas Yang Di-Pertua Dewan Negara.
10. Allahyarham Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail (2010)- Bekas Panglima ATM.
11. Allahyarhamah Tun Suhailah Mohd Noah (2014)- Isteri Perdana Menteri Ke-3.
12. Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis (2015)- Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).





Terdapat 2 pasangan suami isteri yang disemadikan di Makam Pahlawan. Mereka ialah Perdana Menteri Ke-3 Allahyarham Tun Hussein Onn dan isteri Allahyarhamah Tun Suhailah Mohd Noah serta bekas Menteri Undang-Undang Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusuf dan isteri bekas Menteri Kebajikan Masyarakat Allahyarhamah Tun Dr Fatimah Hashim. Manakala pasangan ayah dan anak yang disemadikan di sini ialah Allahyarham Tan Sri Mohd Noah Omar dan anak perempuan beliau Allahyarham Tun Suhailah Mohd Noah. Allahyarham Tan Sri Noah juga merupakan ayah mertua kepada Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussien Onn. Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...