Anda Pengunjung Ke :

Friday 27 March 2020

YMM Almarhumah Raja Perempuan Zainab II Almarhum Tengku Muhammad Petra Kelantan.


Kali ini kita mengenali permaisuri negeri pantai timur Kelantan Darul Naim pula. Baginda pernah menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 6 dan antara Raja Perempuan paling disayangi dan dihormati oleh rakyat Kelantan. Yang dimaksudkan ialah Yang Maha Mulia Almarhumah Raja Perempuan Zainab II Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra, D.K.,D.M.N.,S.P.M.K.


Raja Perempuan Zainab diputerikan pada 7 Ogos 1917 di Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada YBM Almarhum Tengku Sri Utama Raja Tengku Muhammad Petra dan YAM Almarhun Tengku Kembang Petri Binti Almarhum Sultan Muhammad IV. Baginda merupakan sepenuhnya berdarah diraja Kelantan. Ayahanda baginda merupakan cucunda kepada KDYMM Sultan Kelantan Sultan Ahmad Ibni Almarhum Sultan Muhammad yang bertakhta bermula 1886 hingga 1890. Manakala bonda baginda pula merupakan puteri kepada KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad IV yang bertakhta bermula 1900 hingga 1920. Raja Perempuan Zainab merupakan adinda kepada nenda KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff. Ini menjadikan Raja Perempuan Zainab nenda saudara kepada Sultanah Maliha. 

Baginda mendapat pendidikan awal agama yang disediakan oleh ayahanda dan bonda baginda. Baginda juga mendapat asuhan tentang adat Melayu dan adat istiadat diraja. Sebagai seorang puteri, baginda dididik dengan penuh adab dan adat Melayu. Baginda mendapat pendidikan agama daripada guru agama yang terkenal di Kelantan.


Mendirikan masjid bersama DYMM Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 4 Jun 1939. Baginda ketika itu berusia 22 tahun. Sultan Yahya ketika itu memegang gelaran Tengku Temenggong Kelantan. Baginda dikurniakan dengan 6 puteri dan seorang putera. Namun 2 puteri baginda mangkat semasa masih kecil lagi. Satu-satunya putera baginda adalah Almarhum DYMM Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan yang bertakhta pada 1979-2010. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YBM Tengku Merjan, YBM Tengku Rozan, YBM Tengku Salwani dan YBM Tengku Rohani. 




Baginda dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Mahkota oleh ayahanda mertua baginda pada 9 Ogos 1956 dan pada masa yang sama dikurniakan darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK). Ditabalkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan pada 19 Julai 1960 dan menggunakan gelaran Raja Perempuan Zainab II. Baginda menjadi Raja Perempuan selama 19 tahun sehingga suami baginda mangkat pada tahun 1979. Raja Perempuan Zainab menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 6 bermula pada 21 September 1975 serentak dengan pertabalan suami baginda selaku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Namun baginda tidak sempat menghabiskan tempoh pemerintahan selama 5 tahun kerana Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat pada 29 Mac 1979.


Sebagai Raja Perempuan Kelantan, baginda telah dianugerahi dengan Darjah Kerabat Yang Amat Di-Hormati (D.K.) Kelantan semasa Istiadat Ulangtahun Pertama Sultan Yahya Petra sebagai Sultan Kelantan. Baginda juga dianugerahi Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) pada 28 Februari 1976 semasa bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Semasa menjadi Raja Permaisuri Agong,baginda sering mengikuti suami baginda ke luar negara semasa Almarhum Sultan Yahya Petra mengadakan lawatan rasmi ke beberapa buah negara. Baginda meruapakan seorang yang murah hati dan sangat suka membuat kerja kebajikan untuk rakyat jelata.Baginda juga memegang jawatan penting dalam beberapa pertubuhan seperti menjadi Presiden Pertubuhan Pandu Puteri Kelantan dan Presiden Pertubuhan Institusi Wanita.

Ketika perasmian sebuah sekolah.

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Yahya Petra,Raja Perempuan Zainab menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab dan meneruskan hidup secara sederhana.Baginda menghabiskan masa dengan membuat kerja-kerja rumah tangga seperti memasak untuk keluarga diraja,dan menghias istana.Salah satu hobi baginda adalah membuat kerja-kerja pertukangan tangan,berkebun dan juga mengumpul barang-barang antik.Baginda mangkat di Istana Negeri pada tanggal 10 Januari 1993 ketika berusia 75 tahun.Nama baginda telah diabadikan pada nama Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mengenang jasa baginda untuk rakyat jelatanya. Cucunda baginda, KDYMM Sultan Muhammad V merupakan Sultan Kelantan bermula tahun 2010 dan menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 bermula tahun 2016-2019.

Berikut merupakan gambar kenangan Almarhum Raja Perempuan Zainab:



Bersama Tengku Anis dan Tun Rahah

Bersama anakanda dan cucunda.


No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...