Anda Pengunjung Ke :

Thursday 26 March 2020

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.

Bendera Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.


Timbalan Yang Di-Pertuan Agong merupakan jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Seperti juga jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong bukanlah diwarisi. Sebaliknya dipilih dari kalangan Raja-Raja Melayu oleh Majlis Raja -Raja. Kebiasaannya, jawatan ini diisi oleh Raja yang berada dalam kedudukan selepas Yang Di-Pertuan Agong. Sebagai contoh, apabila Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong, maka Sultan Selangor akan dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Negara semasa ketiadaan Yang Di-Pertuan Agong dalam negara atau semasa kegeringan Yang Di-Pertuan Agong. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong tidak secara automatik menaiki jawatan Yang Di-Pertuan Agong jika seseorang Yang Di-Pertuan Agong mangkat. Sebaliknya, Majlis Raja-Raja akan bersidang untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalannya yang baru. Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong penting, tetapi oleh kerana jawatan ini dibayangi oleh Yang di-Pertuan Agong maka institusi dan pemegang jawatan itu kurang dikenali oleh orang awam. Timbalan Yang di-Pertuan Agong biasanya lebih dikenali sebagai Raja negerinya daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Timbalan hanya penting apabila Baginda melaksanakan fungsi Yang di-Pertuan Agong sama ada semasa ketiadaan Yang di-Pertuan Agong atau semasa Yang di-Pertuan Agong tidak dapat melaksanakan fungsi atas sebab kesihatan atau tidak berkemampuan. Selain itu, Perlembagaan tidak memberikan Timbalan kedudukan yang lebih tinggi daripada Raja-raja lain. Dengan sebab memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Raja berkenaan tidak dianggap melebihi Raja yang lain.

Berikut merupakan peruntukan undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong:

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 1 - Ketua Utama Negara


Perkara 33. Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan.

(1) Maka hendaklah ada seorang Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan (digelar Timbalan Yang di-Pertuan Agong) yang hendaklah menjalankan fungsi dan mempunyai keistimewaan Yang di-Pertuan Agong selama apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong dan selama apa-apa tempoh semasa Yang di-Pertuan Agong tidak dapat menjalankan fungsi jawatannya kerana sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain, tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi itu semasa Yang di-Pertuan Agong tidak berdaya atau tidak ada di dalam Persekutuan selama tempoh yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu atau suai manfaat untuk menjalankan fungsi itu.

(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, atau jika dipilih dalam tempoh yang baginya Yang di-Pertuan Agong dipilih, bagi baki tempoh itu, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

(3) Jika dalam tempoh yang baginya Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu dipilih berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka tempoh jawatannya hendaklah tamat apabila kekosongan itu diisi.

(4) Peruntukan Bahagian II Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

(5) Parlimen boleh melalui undang-undang* membuat peruntukan supaya fungsi Yang di-Pertuan Agong dijalankan oleh seorang Raja dalam hal jika fungsi itu kena menurut Fasal (1) dijalankan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak dapat dijalankan sedemikian kerana jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kosong atau kerana Timbalan Yang di-Pertuan Agong sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain; tetapi undang-undang sedemikian tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Senarai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong semenjak Merdeka:
31 Ogos 1957 -  1 April 1960.
DYMM Sultan Selangor Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Alhaj.
Pemilihan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong pertama diadakan pada 3 Ogos 1957. DYMM Tuanku Abdul Rahman Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama manakala DYMM Sultan Hisamuddin dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Pertama. Sultan Hisamuddin menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga kemangkatan Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960. Sultan Hisamuddin dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 dan memerintah sehingga 1 September 1960. 

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Agong Pertama dan Timbalan Agong.

14 April 1960-  1 September 1960.
DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Setelah kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada 1 April 1960, maka Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja adalah DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang memerintah negeri Perlis semenjak tahun 1945. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong pada usia 40 tahun dan menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong paling singkat memegang jawatan kerana kemangkatan Sultan Hisamuddin hanya 5 bulan selepas dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Kedua. 

Tuanku Syed Putra melafazkan sumpah sebagai Timbalan Agong.

21 September 1960 - 20 September 1965.
KDYMM Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.
Selepas kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah pada 1 September 1960, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra telah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3. KDYMM Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin telah dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Sultan Ismail Nasiruddin memerintah negeri Terengganu semenjak tahun 1949. Baginda memegang jawatan ini sehingga Tuanku Syed Putra menamatkan khidmat baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 20 September 1965. Baginda berdua merupakan Raja Melayu pertama yang berjaya menghabiskan tempoh 5 tahun sebagai Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.

21 September 1965 -  20 September 1970.
KDYMM Sultan Kedah Sultan Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Selepas DYMM Tuanku Syed Putra menamatkan 5 tahun tempoh pemerintahan baginda pada 20 September 1965, maka Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ismail Nasiruddin dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong yang baru pula ialah KDYMM Sultan Kedah Al-Mu'tasimu Billah Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Baginda menjadi Sultan Kedah pada tahun 1958 dan berusia 38 tahun ketika dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Ini menjadikan baginda antara Timbalan Yang Di-Pertuan Agong termuda dalam sejarah negara. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tamat tempoh 5 tahun Sultan Ismail Nasiruddin sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim selaku Timbalan Agong ketika menyambut keberangkatan tiba Putera Mahkota Jepun.



 21 September 1970 - 20 September 1975.
KDYMM Sultan Kelantan Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.
KDYMM Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-5 menggantikan KDYMM Sultan Ismail Nasiruddin. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong yang dipilih ialah KDYMM Sultan Kelantan Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Sultan Yahya menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1960. Sultan Yahya menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tamat tempoh 5 tahun Sultan Abdul Halim sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-5 pada tahun 1975.


21 September 1975 - 29 Mac 1979.
KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah.
KDYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6 menggantikan KDYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh perkhidmatan. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong yang baru ialah KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah. Baginda baru sahaja setahun menaiki takhta negeri Pahang sebelum dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong ketika berusia 45 tahun. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong selama 3 tahun 6 bulan sahaja kerana kemangkatan Sultan Yahya Petra pada tahun 1979. 


26 April 1979 - 25 April 1984.
DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Setelah kemangkatan KDYMM Sultan Yahya Petra pada tahun 1979, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7. Mengikut giliran yang sepatutnya, jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong diisi DYMM Sultan Johor Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ismail. Namun, baginda yang ketika itu berusia 85 tahun menolak jawatan itu kerana faktor usia. Seterusnya penggiliran jatuh kepada DYMM Sultan Perak Sultan Idris Shah. Namun, Sultan Idris Shah juga menolak untuk dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Maka, giliran seterusnya jatuh kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang ketika itu berusia 54 tahun. Baginda menaiki takhta Negeri Sembilan pada tahun 1967. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tamat tempoh 5 tahun pemerintahan Sultan Haji Ahmad Shah.


Tuanku Jaafar selaku Timbalan Agong menyampaikan watikah perlantikan Ketua Hakim Negara kepada YAA Raja Tun Azlan Shah.


26 April 1984 - 25 April 1989.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.
Setelah KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah menghabiskan tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-7, DYMM Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-8. DYMM Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah dipilih untuk mengisi jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Baginda baru sahaja menaiki takhta negeri Perak pada tahun 1983. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tamat tempoh 5 tahun Sultan Iskandar sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-8.


26 April 1989 -  25 April 1994.
DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
DYMM Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-9 dan merupakan Raja Melayu terakhir untuk menamatkan pusingan pertama penggiliran Yang Di-Pertuan Agong. DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tamat tempoh perkhidmatan Sultan Azlan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-9 pada tahun 1994.

 26 April 1994 - 25 April 1999.
DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj.
DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-10 dan merupakan Raja Melayu pertama dalam pusingan penggiliran kali ke-2. DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pula dipilih untuk mengisi jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong ketika baginda berusia 68 tahun. Baginda menaiki takhta negeri Selangor sejak tahun 1960. Sultan Salahuddin menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tamat tempoh 5 tahun pemerintahan Tuanku Jaafar pada tahun 1999.

Selaku Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.


26 April 1999 - 12 Disember 2006.
KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.
KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong selama dua penggal. Setelah DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11, sepatutnya penggiliran Timbalan Yang Di-Pertuan Agong jatuh kepada DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra Jamalullail. Namun, baginda yang ketika itu berusia 79 tahun menolak atas faktor usia. Maka, jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong diisi oleh KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Ketika itu baginda berusia 37 tahun dan baru sahaja setahun menaiki takhta negeri Terengganu. Baginda merupakan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong termuda negara. Baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga kemangkatan Sultan Salahuddin pada tahun 2001. Penggal kedua baginda menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong adalah apabila DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-12. Sultan Mizan sekali lagi dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong dan memegang jawatan sehingga tahun 2006, selepas tamat 5 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin.

Sultan Mizan angkat sumpah sebagai Timbalan Agong.



13 Disember 2006 - 12 Disember 2011 .
KDYMM Sultan Kedah Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Setelah KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13, jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong diisi oleh KDYMM Sultan Kedah Al-Mu'tasimu Billah Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Ini merupakan kali kedua baginda dipilih untuk menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Baginda dipilih ketika berusia 79 tahun, menjadikan baginda Timbalan Yang Di-Pertuan Agong paling tua dalam sejarah. Tuanku Abdul Halim menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tahun 2011.

Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan bersama Timbalan Agong Tuanku Abdul Halim.


 13 Disember 2011 - 12 Disember 2016.
KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V Ibni Sultan Ismail Petra.
KDYMM Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 menggantikan KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin. Majlis Raja-Raja telah memilih KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong ketika berusia 42 tahun. Sultan Muhammad V menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong sehingga tahun 2016 sebelum baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15.

Sultan Muhammad V angkat sumpah sebagai Timbalan Agong.


13 Disember 2016- Sekarang.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Mu'izzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-lah.
KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15. Mengikut penggiliran jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong jatuh kepada KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah. Namun, akibat keuzuran, baginda yang berusia 86 tahun ketika itu terpaksa menolak. Penggiliran seterusnya jatuh kepada DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Namun, baginda juga menolak untuk menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Maka, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Mu'izzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah dipilih untuk mengisi jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.

DYMM Sultan Nazrin Shah telah dua kali menjadi Pemangku Yang Di-Pertuan Agong. Kali pertama adalah pada 2 November 2018 hingga 31 Disember 2018. Berikutan perletakan jawatan KDYMM Sultan Muhammad Ke-V sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin sekali lagi dilantik sebagai Pemangku Yang Di-Pertuan Agong bermula 7 Januari 2019 hingga 31 Januari 2019. Majlis Raja-Raja telah memutuskan untuk melantik KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang Di-Pertuan Agong manakala Sultan Nazrin Shah kekal sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong bagi tempoh 5 tahun. 

Sultan Nazrin angkat sumpah sebagai Timbalan Agong.


Sultan Nazrin merupakan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong bagi 2 orang Yang Di-Pertuan Agong iaitu Sultan Muhammad V dan Al-Sultan Abdullah.



6 comments:

  1. Mohon Pencerahan Mengenai Timbalan Yang DiPertuan Agong 1979 - 1984 : DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Seperti yang kita tahu penggiliran untuk Yang Di-Pertuan Agong adalah seperti berikut:
      1. NEEGRI SEMBILAN
      2. SELANGOR
      3. PERLIS
      4. TERENGGANU
      5. KEDAH
      6. KELANTAN
      7. PAHANG
      8. JOHOR
      9. PERAK

      Delete
    2. Sultan Pahang menjadi YDP Agong pada 1979-1984. Sepatutnya Sultan Johor menjadi Timbalan YDPA. Namun, atas faktor keuzuran, Sultan Ismail menolak jawatan ini. Begitu juga Sultan Perak Sultan Idris Shah yang menolak jawatan ini. Jadi, jawatan Timbalan YDPA jatuh kepada Tuanku Jaafar yang berada pada kedudukan selepas Sultan Perak.
      Sultan Mizan juga menjadi Timbalan YDPA sebanyak 2 kali. Kali pertama semasa Sultan Selangor menjadi YDPA pada 1999-2011. Sepatutnya pada waktu ini Raja Perlis yang menjadi Timbalan YDPA. Tetapi disebabkan keuzuran Tuanku Syed Putra menolak jawatan ini dan baginda mangkat pada tahun 2000.

      Delete
  2. apakah peranan timbalan yang di-pertuan agong

    ReplyDelete
    Replies
    1. Peranan Baginda adalah untuk menjadi mengganti sementara seketika KDYMM SPB YDPA gering, tidak berupaya untuk menjalankan tugas dan selepas kemangkatan Baginda.

      Delete
  3. Sultan Nazrin bakal jadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang paling lama berkhidmat apabila khidmat baginda tamat pada 30 Januari 2029 nanti!

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...