Anda Pengunjung Ke :

Sunday 29 September 2019

Istiadat Penghormatan Terakhir dan Pemakaman Almarhum Sultan Ismail Petra.

Setelah 9 tahun kegeringan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat di Wad D'Raja, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan. Baginda yang merupakan ayahanda kepada KDYMM Sultan Muhammad V mangkat pada usia 70 tahun. Almarhum yang menaiki takhta negeri Kelantan sebagai Sultan Kelantan Ke-28 pada tahun 1979 setelah kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Namun, akibat faktor kesihatan, pada tahun 2010, baginda digantikan oleh anakanda baginda untuk memerintah negeri Kelantan. 


ISTIADAT PENGHORMATAN TERAKHIR

Jenazah Almarhum dibawa keluar dari Wad D'Raja.

Keberangkatan tiba Agong.


Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong diiringi Tengku Anis.

Sultan Hassanal Bolkiah bersama Agong membacakan doa.


Sultan Abdullah, Tengku Anis dan Tunku Azizah membacakan Yasin.






Dr Tengku Fa-iz Petra, Sultan Abdullah dan Sultan Muhammad V.


Tengku Anis, Tunku Azizah, dan Che Puan Sofie.



Balu Almarhum, Tengku Anis.

Jenazah Almarhum telah dibawa dari Hospital Raja Perempuan Zainab II menuju ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Jenazah Almarhum diletakkan di tengah-tengah balairong seri sambil dikelilingi darjah-darjah kebesaran yang dikurniakan kepada baginda. Balu Almarhum, Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid serta kesemua empat orang anakanda Almarhum berangkat sama. KDYMM Sultan Muhammad V, YTM Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra dan YAM Tengku Maharani Puteri Tengku Amalin Aishah Putri. Turut hadir dua orang menantu Almarhum iaitu YM Che Puan Sofie Louis Johansson dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Raja Perempuan Tengku Anis. KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga berangkat ke Istana Balai Besar bagi memberikan penghormatan terakhir. Sultan Hassanal Bolkiah diiringi oleh adinda baginda yang juga merupakan besan kepada Almarhum iaitu DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah. 

Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Muhammad V.






Istiadat Penghormatan terakhir terhadap Almarhum bermula jam 2.00 petang hingga 4.00 petang bagi orang kenamaan dan rakyat jelata. Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir adalah YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin, YBM Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Rizam dan YBM Tengku Puan Temenggong Tunku Noor Hayati, kekanda-kekanda Almarhum serta kerabat diraja Kelantan Darul Naim. Selesai Istiadat Penghormatan Terakhir, solat jenazah diadakan dengan diimamkan oleh SS Mufti Kelantan Dato' Mohamad Shukri Mohamad. Solat jenazah diadakan selepas Asar iaitu kira-kira pukul 4.56 petang. Solat jenazah ini disertai oleh KDYMM Sultan Muhammad V, KDYMM Sultan Abdullah, KDYMM Sultan Hassanal Bolkiah, para kerabat diraja serta kira-kira 1,000 rakyat jelata. 









Selesai solat jenazah, keranda yang berisi jenazah Almarhum dibawa keluar dari Istana Balai Besar untuk dibawa menuju ke Makam D'Raja Langgar. Keranda Almarhum diletakkan di atas pedati khas yang ditarik oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perarakan sejauh 3.4 kilometer menuju ke Makam D'Raja Langgar itu bermula jam 5.00 petang. Sepanjang perjalanan menuju ke Makam D'Raja Langgar, rakyat jelata berbaris di tepi jalan untuk menyaksikan perjalanan terakhir Almarhum. 72 das tembakan meriam kedengaran mengiringi perjalanan terakhir Almarhum. 

ISTIADAT PEMAKAMAN

Kerabat diraja Kelantan.

Tuanku Fauziah, Tengku Anis, Sultan Muhammad V, Sultan Hassanal Bolkiah dan Tuanku Syed Sirajuddin.





Istiadat Pemakaman Almarhum bermula pada jam 6.40 petang apabila jenazah Almarhum sampai ke Makam D'Raja Langgar.  Berangkat ke Istiadat Pemakaman ialah balu Almarhum YMM Raja Perempuan Tengku Anis, KDYMM Sultan Muhammad V, KDYMM Sultan Hassanal Bolkiah, DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin dan DYMM Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah yang juga merupakan sepupu Almarhum. Sejurus sahaja jenazah Almarhum selamat dimakamkan, KDYMM Sultan Muhammad V sendiri yang membacakan talkin untuk Almarhum Ayahanda baginda. Istiadat Pemakaman selesai kira-kira jam 7.20 malam. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas Roh Almarhum Sultan Ismail Petra.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...