Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 1 November 2016

Ulangtahun Ke-5 Warisan Permaisuri Melayu.


Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan.

Pohon sirih pohon selasih
Tumbuh merimbun di hujung laman
Kalungan budi junjungan kasih
menjadi kenangan sepanjang zaman

TERIMA KASIH !!!

Ikhlas daripada :

Warisan Permaisuri Melayu
www.warisanpermaisuri.blogspot.my


Sunday, 23 October 2016

Raja DiHilir dan Raja Puan Muda Perak Terima Gelaran Tan Sri.


WARISAN PERMAISURI MELAYU mengucapkan sembah tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kerana telah dikurnia Darjah Kebesaran Persekutuan Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri. Istiadat penganugerahan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 20 Oktober 2016. Turut berangkat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Pada penganugerahan tersebut, seramai 276 penerima dikurniakan darjah kebesaran persekutuan. 


Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Raja Tan Sri Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah,
D.K.A., P.S.M., S.P.C.M., S.S.D.K.

dan 

Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Tunku Tan Sri Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,
D.K.A., P.S.M., S.H.M.S., S.S.D.K.

Sunday, 16 October 2016

Bonda Mertua Sultan Brunei Mangkat.

AL FATIHAH.

Almarhum Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja
Pengiran Anak Hajah Besar Binti Almarhum Pengiran Anak Haji Metassan
D.K., D.S.L.J., P.H.B.S.
1928 - 2016.

Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar Binti Almarhum Pengiran Anak Haji Metassan telah mangkat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada pukul 5.45 pagi. Almarhum mangkat ketika berusia 88 tahun. Almarhum merupakan bonda kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam dan merupakan bonda mertua kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saiffuddien Saadul Khairi Waddien.

Jenazah Almarhum Pengiran Babu Raja dibawa ke kediamannya di Taman Seri Alam sebelum dimakamkan di Kubah Makam Diraja pada hari ini. Berita kemangkatan Almarhum dimaklumkan oleh Radio Televisyen Brunei (RTB). 

Pengiran Anak Hajah Besar diputerikan pada 24 September 1928. Ayahanda Almarhum adalah Almarhum Pengiran Anak Haji Metassan Ibni Almarhum Yang Amat Mulia Pengiran Anak Ismail Apong manakala bonda Almarhum adalah Almarhum Yang Amat Mulia Pengiran Anak Piut yang merupakan cicit kepada Sultan Brunei Ke-26 Almarhum Sultan Hashim Jalilul Alam. 

Almarhum Pengiran Babu Raja berkahwin dengan Almarhum Yang Teramat Mulia Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam Ibni Almarhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman. Pasangan ini dikurniakan dengan 3 putera dan 6 puteri. Putera-putera Almarhum terdiri daripada Pengiran Anak Haji Muhammad Yusuf, Pengiran Anak Dato' Sri Laila Jasa Haji Puteh, dan Pengiran Anak Haji Muhammad Jaafar. Manakala puteri-puteri Almarhum pula adalah Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Pengiran Anak Hajah Rokiah, Pengiran Anak Hajah Damit, Pengiran Anak Hajah Mastura, dan Pengiran Anak Hajah Fatimah. 

WARISAN PERMAISURI MELAYU merafak sembah takziah kepada KDYMM Sultan Brunei dan KDYMM Pengiran Raja Isteri diatas kemangkatan Almarhum YTM Pengiran Babu Raja. Semoga roh Almarhum ditempatkan bersama orang beriman. Al Fatihah.

SEKITAR PEMAKAMAN ALMARHUM PENGIRAN BABU RAJA :
(sumber : Brunei Times)

Sultan Hassanal Bolkiah bersama para kerabat menyertai solat jenazah buat Almarhum bonda mertua baginda.


Sultan Hassanal Bolkiah sendiri mengusung keranda bonda mertua baginda.

Sultan Hassanal Bolkiah menyiram air mawar di makam Almarhum.

Raja Isteri Pengiran Anak Saleha menyiram air mawar diatas makan bonda baginda.

Saturday, 15 October 2016

Istiadat Pemasyhuran Raja Muda Selangor Selamat Disempurnakan.


Setelah 7 hari berlalu Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah, dan Menjunjung Duli Raja Muda Selangor yang diadakan pada 8 Oktober 2016, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah kembali ke negeri Selangor untuk menyempurnakan istiadat pemasyhuran ini. Istiadat Menjunjung Duli oleh Tengku Amir Shah diadakan di Balairong Seri Istana Alam Shah, Klang. 

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. Seterusnya lagu negeri Selangor dimainkan. 

Tengku Amir Shah berangkat masuk ke Balairong Seri Istana Alam Shah sambil menjunjung Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Keris ini dianugerahi oleh ayahanda baginda pada istiadat pada 8 Oktober lepas. Semasa Istiadat Menjunjung Duli, Tengku Amir Shah mempersembahkan cenderahati kepada Sultan Sharafuddin sambil disaksikan oleh Tengku Permaisuri Norashikin. Sultan Sharafuddin berkenan menerima cenderamata berkenaan. Seterusnya Tengku Amir Shah naik keatas singgahsana untuk mengambil tempat di sebelah ayahanda baginda dan bersemayam sebagai Raja Muda Selangor. 

Istiadat diteruskan dengan ucapan tahniah mewakili seluruh rakyat Selangor oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor Dato' Seri Azmin Ali. Seterusnya, Yang Amat Mulia Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyampaikan sembah tahniah mewakili para kerabat diraja. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Dato'Seri Utama Diraja Mufti Selangor Sahibus Samahah Dato' Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan seterusnya keberangkatan keluar Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat ini dihadiri oleh kerabat-kerabat diraja Selangor seperti YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah, YAM Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah, YAM Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah dan YAM Tengku Puan Indera Setia Tunku Puteri Irinah Tuanku Jaafar, YAM Tengku Zatashah dan YABhg Dato' Seri Aubrey Manneson, YAM Tengku Aris Temenggong Selangor Tengku Muhammad Yusuf Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, YAM Tengku Puteri Nor Zehan dan YAM Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, YAM Tengku Puteri Zahariah, YBhg Puan Nur Lisa Abdullah, bonda kepada Tengku Amir Shah dan kerabat-kerabat lain. Turut hadir, Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali dan isteri YABhg Datin Seri Shamsida, ahli EXCO negeri Selangor, dan tetamu-tetamu jemputan yang lain. 

Keberangkatan tiba DYMM Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.



Keberangkatan tiba DYTM Tengku Amir Shah sambil menjunjung Keris Kebesaran DYTM Raja Muda Selangor.


Istiadat Menjunjung Duli.


Tengku Amir Shah mencium tangan ayahanda baginda.

Tengku Amir Shah mnyembahkan cenderamata kepada ayahanda baginda.



Tengku Amir Shah naik ke singgahsana untuk bersemayam di sebelah ayahanda baginda.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.


Tengku Amir Shah mengambil tempat disebelah ayahanda baginda.

Dato' Seri Azmin Ali menyampaikan ucapan tahniah.

Tengku Ahmad Shah menyampaikan sembah tahniah.

Kerabat-kerabat diraja yang hadir.

Bonda Tengku Amir Shah, Puan Nur Lisa Abdullah.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...