Anda Pengunjung Ke :

Monday 22 December 2014

CINDERELLA MALAYSIA : Tuanku Bainun Mohd Ali

CINDERELLA MALAYSIA.
TUANKU BAINUN BINTI MOHD ALI,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Selangor),D.K.A.,Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand), Grand Cordon of the Order of the Precious Crown (Japan), Fellow of Liverpool John Moores University.


Kisah hidupnya tak ubah seperti kisah dongeng Cinderella yang disunting oleh seorang Putera Raja untuk dijadikan suri hidupnya. Begitulah bertuahnya Bainun Binti Mohamad Ali, anak kelahiran Pulau Pinang ini. Merupakan puteri kepada Pengelola Sekolah-sekolah, Encik Mohamad Ali Bin Man,kehidupan Bainun Mohd Ali banyak dipengaruhi oleh kerjaya ayahnya. Bainun Mohd Ali lebih berminat untuk menceburi bidang perguruan semenjak kecil hasil didikan ayahnya. Dibesarkan dalam keluarga yang tinggi disiplin dan adab menjadikan Bainun Mohd Ali seorang anak gadis yang sopan dan taat akan perintah ibu bapanya. Sesudah membulatkan tekadnya untuk menceburi bidang perguruan, Bainun Mohd Ali membuat keputusan untuk melanjutkan pelajarannya ke Maktab Perguruan Kirkby, Liverpool, England. Ketika itu, pada tahun 1952, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menghantar dan membiayai sekumpulan pelajar untuk berminat untuk menjadi pendidik. Di England, mereka akan dilatih untuk menjadi seorang guru untuk berkhidmat untuk bangsa dan negara sekembalinya ke tanah air nanti.  

Tuanku Bainun (dua dari kiri) bersama ayahnya Mohamad Ali Bin Man, ibunya Che Putih serta adik beradik baginda.

Bainun Mohd Ali bertuah kerana terpilih untuk mengikuti kursus perguruan ini. Di Maktab Kirkby, Bainun Mohd Ali merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan aktif dalam kegiatan pelajar. Berada di negara orang membuatkan Bainun Mohd Ali lebih berdikari. Seorang anak gadis yang aktif dalam bidang sukan, Bainun Mohd Ali merupakan salah seorang ahli kumpulan hoki Maktab Kirkby. Latar belakang keluarga yang berdisiplin membuatkan Bainun Mohd Ali disenangi oleh rakan-rakan yang berbilang bangsa yang turut sama menuntut di England. Bainun Mohd Ali menjadi penghuni negara Britain bermula September 1952 hingga tamat pengajiannya pada Julai 1954. Bainun Mohd Ali pulang dengan impian untuk meneruskan legasi ayahnya sebagai seorang guru yang mendidik anak bangsa.

Pasukan Pandu Puteri (5th Malay Guides Company) St. George Girls School. Tuanku Bainun duduk dua dari kanan.

Namun, di sebalik kisahnya di Kirkby, ada satu kisah yang mengubah haluan dan masa depan seorang gadis bernama Bainun Mohd Ali ini. Sewaktu ketibaan rombongan pelajar Kirkby di Lapangan Terbang Heathrow,London pada tahun 1952, mereka disambut oleh sekumpulan pelajar Tanah Melayu yang belajar di sana. Salah seorang daripadanya ialah Yang Amat Mulia Raja Azlan Shah Ibni Sultan Yussuf Izzuddin, putera bongsu Sultan Perak yang belajar di Universiti of Nottingham. Perkenalan dan pertemuan Bainun Mohd Ali dan Raja Azlan Shah membenihkan cinta pandang pertama yang akhirnya membibitkan rasa cinta di antara keduanya. 


Bainun Mohd Ali kembali ke tanah air pada usia 22 tahun membawa cita-cita dan cintanya bersama. Bainun Mohd Ali merealisasikan impiannya menjadi seorang guru apabila mula mengajar di Sekolah Perempuan St George, Pulau Pinang, sekolah tempatnya menimba ilmu sebelum ini. Episod cinta Bainun Mohd Ali dan Raja Azlan Shah disimpulkan pada 9 Disember 1955 dengan pernikahan diantara kedua mereka. Raja Azlan yang ketika itu bergelar Majistret muda berusia 27 tahun manakala Bainun Mohd Ali berusia 23 tahun. Maka, bermulalah kehidupan Bainun Mohd Ali sebagai seorang guru dan isteri kepada seorang majistret yang juga seorang putera raja.

Bersama rakan-rakan di Kirkby College.

Che Bainun Mohd Ali menamatkan khidmatnya di Sekolah Perempuan St George pada tahun 1956 kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai majistret di Kuala Lumpur. Maka bermulalah kehidupan Che Bainun sebagai seorang pendidik di ibu negeri Kuala Lumpur. Sekolah pertama baginda di Kuala Lumpur ialah Sekolah Batu Road. Pada tahun 1956,lahirlah seorang putera hasil perkongsian hidup Che Bainun dan suaminya Raja Azlan. Putera yang diberi nama Raja Nazrin Shah Ibni Raja Azlan Shah itu dilahirkan pada 27 November 1956.


Pada tahun 1957 hingga 1959, Che Bainun dan Raja Azlan berpindah beberapa kali mengikut tempat Raja Azlan bertugas. Che Bainun pernah bertugas di beberapa buah sekolah seperi Sekolah King George V Seremban, Sekolah Sultan Mahmud Raub, Sekolah King Edward VII Taiping, Sekolah Raja Perempuan Ipoh, Sekolah Perempuan Methodist Kuantan. Dalam tempoh ini, dua orang anakanda dilahirkan oleh Che Bainun iaitu seorang puteri dan seorang putera. Puteri sulung, Raja Azureen Binti Raja Azlan Shah dilahirkan pada 9 Disember 1957 manakala putera bongsu Che Bainun dilahirkan pada 28 Disember 1958 diberi nama Raja Ashman Shah Ibni Raja Azlan Shah.

Persandingan Tuanku Bainun dan Sultan Azlan pada tahun 1955.

Pada tahun 1960 hingga 1962, Che Bainun mengambil cuti rehat tanpa gaji. Dalam tempoh ini, Che Bainun melahirkan 2 orang puteri iaitu Raja Eleena Binti Raja Azlan Shah pada 3 April 1960 dan puteri bongsu Raja Yong Sofia Binti Raja Azlan Shah dilahirkan pada 24 Jun 1961. Pada tahun 1963, pasangan yang mempunyai 5 orang cahaya mata ini kembali ke Kuala Lumpur. Che Bainun berkhidmat di Sekolah Seri Ampang, Jalan Ampang sehingga persaraannya. Jawatan terakhir. Puan Sri Bainun dalam bidang perguruan ialah Penolong Kanan Sekolah Seri Ampang. Puan Sri Bainun telah bersara awal pada tahun 1979 setelah 22 tahun mengajar.  Puan Sri Bainun berusia 47 tahun ketika itu dan merupakan isteri kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Raja Azlan Shah. 

Tuanku Bainun pada tahun 1964.

Setelah bersara, Puan Sri Bainun memberi tumpuan kepada keluarganya terutama kepada putera dan puterinya. Pada 12 November 1982, Raja Tun Azlan Shah telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Maka, bertambahlah aktiviti dan tugas Toh Puan Bainun selaku isteri kepada Ketua Hakim Negara. Namun, takdir Allah telah mengubah destinasi hidup Toh Puan Bainun. Tidak sampai setahun bergelar Ketua Hakim Negara Raja Tun Azlan Shah telah dilantik menjadi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak oleh ayahanda saudara baginda Sultan Idris Shah II pada 1 Julai 1983.  Serentak dengan itu, Toh Puan Bainun Mohd Ali telah bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Che Puan Besar Bainun Mohd Ali. 

Ketika bergelar Raja Permaisuri Perak.

Sekali lagi takdir Allah tidak dapat diduga, Sultan Perak Sultan Idris Shah II telah mangkat pada tahun 1984. DYTM Raja Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak ke 34.Serentak dengan itu, Che Puan Besar Bainun dimashyurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun. Ketika itu Tuanku Bainun berusia 52 tahun. Tiada siapa sangka tuah seorang pendidik yang kemudiannya bergelar Raja Permaisuri. Kisah Cinderella Melayu ini tidak berakhir di sini sahaja. Pada tahun 1989, DYMM Paduka Seri Sultan Perak dipilih dan ditabalkan oleh MajlisRaja-Raja Melayu sebagai DYMM Seri PadukaBaginda Yang di-Pertuan Agong kesembilan, dan DYMM Tuanku Bainun turut ditabalkan sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 9. Setelah tamat tempoh bersemayam lima tahun di Istana Negara, pada tahun 1993 baginda berdua kembali ke negeri Perak Darul Ridzuan.

Ketika bergelar Raja Permaisuri Agong.

Tuanku Bainun bersemayam di atas takhta negeri Perak sebagai Raja Permaisuri Perak sehinggalah kemangkatan putera yang telah mencuri hatinya suatu ketika dahulu. Sultan Azlan telah mangkat pada 28 Mei 2014 pada usia 86 tahun, setelah 59 tahun hidup bersama kekasih hatinya Tuanku Bainun. Sebelum itu, putera bongsu baginda, Raja Ashman Shah juga telah mangkat pada tahun 2012. Kini, Cinderella Malaysia ini telah berusia 82 tahun. Baginda hari ini hidup bersama sisa-sisa kenangan sebagai seorang guru, isteri kepada Ketua Hakim Negara, dan juga seorang Permaisuri negara. Inilah kisah seorang Cinderella Malaysia yang termaktub dalam sejarah negara sebagai rakyat biasa yang pertama bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.








Sultan Yussuf Izzuddin, Tuanku Bainun, Sultan Azlan, Raja Perempuan Taayah dan Toh Puan Khadijah.

Pasangan merpati dua sejoli.

4 comments:

  1. Didoakan semoga KeBawah Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam keadaan sihat sentiasa...

    ReplyDelete
  2. Sembah kehadapan Tuanku Bainun serta seluruh kerabat diraja Perak.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...