Anda Pengunjung Ke :

Wednesday, 20 July 2016

Almarhum Tuanku Ja'afar : Lulusan Undang-Undang,Pegawai Daerah, Diplomat dan Pemerintah Negeri.


Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman diputerakan pada 19 Julai 1922. Baginda merupakan putera kedua kepada Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad dan Che Engku Maimunah Binti Abdullah. Baginda menerima pendidikan rendah dan menengah di Sekolah Melayu Seri Menanti, Sekolah King George V, Kolej Melayu Kuala Kangsar (M.C.K.K.) dan Raffles College, Singapura. Baginda menerima pendidikan peringkat universiti di Universiti Nottingham, United Kingdom dalam bidang Undang-undang. Baginda kemudiannya memperoleh Bachelor of Law (LL.B.). Baginda juga mendapat pendidikan di Balliol College, University of Oxford dan London School of Economics. 




Tuanku Ja'afar menyertai perkhidmatan awam seawal zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu lagi. Jawatan pertama baginda dalam pentadbiran tempatan adalah Pegawai di Pejabat Tanah Seremban pada tahun 1945. Pada tahun 1946, baginda dilantik sebagai Pegawai Daerah Rembau sehingga tahun 1947. Sebagai lulusan perundangan, baginda yang kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1952 meneruskan khidmat dalam bidang pentadbiran tempatan. Baginda dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Parit Perak. Seterusnya baginda dilantik sebagai Pegawai Daerah Tampin Negeri Sembilan. Setelah beberapa tahun berkhidmat di peringkat daerah, baginda menyertai pentadbiran negeri sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1956. Itu merupakan jawatan terakhir baginda dalam bidang pentadbiran tempatan sebelum dilantik sebagai diplomat.


Setelah 6 tahun berkhidmat dalam negara, baginda mengambil keputusan untuk mengikuti kursus khas perkhidmatan diplomat di London selama setahun. Pada tahun 1957, Tuanku Ja'afar dilantik sebagai Charge d' Affaires di Washington D.C. Jawatan Charge d' Affaires merupakan seorang diplomat yang akan mengetuai sesebuah kedutaan apabila ketiadaan duta. Seterusnya baginda berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (P.B.B.) sebagai Setiausaha Pertama dalam Permanent Mission PBB di New York, Amerika Syarikat. Pada tahun 1958, baginda dilantik pula sebagai Setiausaha Pertama Trade Counsellor di London sehingga tahun 1962. Pada tahun 1962 hingga 1963, baginda dilantik pula sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Malaysia di London. Bermula tahun 1963, baginda menjadi Duta Besar Malaysia ke Mesir. Baginda merupakan duta besar Malaysia kedua yang berkhidmat di Kaherah,Mesir. Seterusnya pada tahun 1965, baginda dilantik pula sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria dan kemudiannya Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Ghana. 9 tahun berkhidmat sebagai diplomat, baginda sepatutnya dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Jepun pada tahun 1967. Tetapi takdir Allah telah mengubah jalan kerjaya baginda.


Daripada seorang lulusan undang-undang kepada seorang ahli perkhidmatan awam kepada seorang diplomat dan duta di luar negara dan akhirnya bergelar seorang Raja Pemerintah. Itulah tuah seorang anak raja bernama Tunku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang sepatutnya menerima jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Jepun. Namun, kemangkatan kekanda sulung baginda Almarhum Tuanku Munawir pada tahun 1967 membawa Tuanku Ja'afar kembali ke tanah air. Baginda telah dimashyurkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 pada 19 April 1967. Pengalaman yang baginda bawa selama bergelar ahli pentadbiran tempatan dan diplomat membantu baginda dalam menguruskan urusan pentadbiran negeri. Pengalaman dan kepakaran baginda banyak membantu baginda selama 41 tahun bergelar Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan 5 tahun sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-10. 

Al-Fatihah buat Almarhum Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.


Menghadiri jamuan di London pada tahun 1952.

Sambutan Hari Kemerdekaan di Kaherah Mesir tahun 1964.


No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...