Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 21 April 2015

WAJAH-WAJAH : Sultan Iskandar dan Sultanah Zanariah.

Segmen WAJAH-WAJAH diteruskan dengan pasangan diraja kelapan menaiki takhta kerajaan persekutuan. Pasangan diraja Johor ini adalah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad. Baginda berdua menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kelapan bermula 26 April 1984 hingga 25 April 1989. Baginda berdua berkahwin pada 20 Ogos 1961 di Kuala Lumpur. Pasangan ini dikurniakan seorang putera dan 5 puteri. Baginda berdua bergelar Sultan dan Sultanah Johor pada 10 Mei 1981. Sultan Iskandar mangkat pada 22 Januari 2010 pada usia 78 tahun setelah 29 tahun menjadi Sultan Johor. Sultanah Zanariah kini berusia 75 tahun dan bergelar Yang Amat Mulia Tunku Puan Zanariah Tengku Ahmad. 

Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Kelapan.

Baginda berdua di atas singgahsana Istana negara ketika Istiadat Pertabalan selaku Yang Di-Pertuan Agong ke-8.

Berangkat ke Sambutan Jubli Perak Sultan Pahang pada 1999.

Berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang Di Pertuan Agong ke 8 di Istana Negara.

Baginda berdua bersama Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultanah Kalsom dan Tuanku Najihah.




Bersama Sultanah Zanariah.


Lelaki Di Sebalik Hidup Seorang Ratu..


Sehebat dan setinggi manapun kedudukan seorang wanita itu, dia pasti memerlukan sokongan seorang lelaki bernama suami untuk berjaya. Peranan sang suami amat penting didalam sesebuah rumah tangga demi kelangsungan kebahagiaan mereka. Begitu juga dengan kehidupan seorang Ratu yang memerintah. Baginda amat memerlukan seorang suami yang banyak memberi sokongan moral kepadanya kerana tugas untuk memerintah sebuah negara bukanlah senang, apatah lagi menjadi ketua Negara-negara Komanwel. Her Majesty Queen Elizabeth II amat bertuah kerana mempunyai His Royal Highness Prince Philip sebagai teman hidup baginda. Prince Philip yang berpewatakan sinis dan selamba sering kali mendapat perhatian media. Inilah dia, seorang lelaki yang memainkan peranan di sebalik hidup seorang Ratu England. Baginda yang sentiasa berada dua langkah di belakang Queen Elizabeth menjadi tulang belakang baginda sepanjang lebih 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth.

Gelaran rasmi baginda ialah
His Royal Highness Prince Philip, Duke of Edinburgh, KG, KT, OM, ONZ, GBE, AC, QSO, GCL, CC, CMM, PC, PC, ADC(P). 


Dilahirkan sebagai His Highness Prince Philip of Greece and Denmark di Pulau Corfu,Greek pada 21 Jun 1921. Baginda merupakan satu-satunya putera kepada pasangan HRH Prince Andrew of Greece and Denmark dan HRH Princess Alice of Battenberg. Baginda juga merupakan cucunda kepada Raja Greece King George I dan Queen Olga of The Hellenes. Putera Philip mendapat pendidikan awal di Sekolah Amerika di Paris. Pada tahun 1928, ketika berusia 7 tahun, baginda dihantar ke Cheam School, dan tinggal bersama nenda baginda, Princess Victoria di Kensington Palace bersama ayahanda saudara baginda, George Mountbatten. 3 tahun selepas itu, keempat-empat kekanda baginda berkahwin dengan putera-putera dari Jerman dan berpindah ke Jerman, bonda baginda Princess Alice diletakkan dalam sebuah bilik kurungan disebabkan menghidap penyakit schizophrenia. Manakala ayahanda baginda berpindah ke sebuah flat di Monte Carlo. Pada tahun 1933, Putera Philip dihantar ke Schule Schloss Salem di Jerman. Selepas itu, baginda berpindah ke Gordonstoun. 



Pada tahun 1939, ketika berusia 18 tahun, baginda menyertai Tentera Laut Diraja Britain. Baginda menamatkan pengajian di Royal Naval College, Dartmouth sebagai kadet terbaik.  Baginda berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja ketika Perang Dunia Kedua. Baginda sering diberi tugas-tugas penting sepanjang berkhidmat sebagai tentera. Pada 16 Julai 1942, baginda dinaikkan pangkat sebagai Leftenan pada usia 21 tahun. Baginda mencipta sejarah sebagai Leftenan termuda dalam sejarah Tentera Laut Britain. 



Bersama Almarhum Sultan Azlan ketika lawatan baginda ke Malaysia.

Pada tahun 1939, King George VI dan Queen Elizabeth membuat lawatan ke Royal Naval College, tempat Putera Philip belajar. Ketika lawatan itu, Queen Elizabeth meminta Putera Philip untuk mengiringi dua orang puteri baginda iaitu Princess Elizabeth dan Princess Margaret. Ketika itu Princess Elizabeth yang berusia 13 tahun telah jatuh hati dengan Putera Philip. Perhubungan mereka berdua berlanjutan sehingga pada tahun 1946, Putera Philip meminang Princess Elizabeth. King George VI menerima pinangan itu, namun pertunangan rasmi hanya akan diadakan pada harijadi Princess Elizabeth ke 21 pada April 1947. Pada Mac 1947, Putera Philip telah membuang kesemua gelaran dan pangkat baginda dalam keluarga diraja Greek dan menjadi warganegara Britain. Baginda menggunakan nama Mountbatten yang diambil dari keluarga bonda baginda. Maka, baginda menggunakan nama Leftenan Philip Mountbatten.

Pertunangan diantara Leftenan Philip Mountbatten dengan Princess Elizabeth diumumkan secara rasmi pada 10 Julai 1947. Sebelum perkahwinan berlangsung, King George VI berkenan untuk mengurniakan gelaran His Royal Highness kepada Putera Philip. Pada pagi 20 November 1947, hari perkahwinan baginda dengan Princess Elizabeth, Putera Philip telah dikurniakan gelaran Duke of Edinburgh, Earl of Merioneth dan Baron Greenwich. 


Perkahwinan Putera Philip dan Princess Elizabeth diadakan di Westminster Abbey dan disiarkan secara langsung oleh BBC radio kepada 200 juta orang di seluruh dunia. Selepas berkahwin, pasangan diraja ini menetap di Clarence House. Pada tahun 1948, putera pertama baginda dilahirkan dan diberi nama Prince Charles. Dan pada tahun 1950, seorang puteri dilahirkan dan diberi nama Princess Anne.



Disebabkan kegeringan King George VI, Putera Philip dan Princess Elizabeth diberi tugas untuk melawat negara-negara Komanwel pada akhir Januari 1952. Pada 6 Februari 1952, ayahanda mertua Putera Philip mangkat dan Princess Elizabeth dilantik sebagai Ratu England yang baru. Maka, secara rasminya, Prince Philip bergelar suami kepada Ratu England. Di sinilah bermulanya tugas baginda sebagai Prince Consort of England. Baginda menjadi tulang belakang kepada isteri baginda, Ratu Elizabeth II. Kini, setelah 63 tahun, baginda masih setia di belakang isteri baginda menjalankan pemerintahan bagi negara England. Di usia menjangkau 94 tahun, baginda masih lagi mempunyai kudrat untuk menghadiri segala macam majlis rasmi mahupun tidak rasmi. Baginda mencipta rekod sebagai kerabat diraja lelaki Britain yang paling lama hidup setakat ini. Inilah kisah seorang putera yang mengisi hidup seorang Ratu dan telah hidup bersama selama 68 tahun.




Monday, 20 April 2015

Sultanah Helen Ibrahim.

Sultanah Helen Ibrahim,
D.K.(Johor),S.P.M.J.,King George V Silver Jubilee Medal, King George VI Coronation Medal.

Sultanah Helen Ibrahim dilahirkan sebagai Helen Bartholomew di Glasgow,Scotland. Beliau lahir pada bulan 21 Disember 1889 dan merupakan wanita berdarah Scottish dan merupakan anak kepada John Bartholomew yang berasal dari Glasgow,Scotland dengan isterinya Catherine Bartholomew. Kali pertama Helen berkahwin adalah dengan Kapten Dr William Brockie Wilson, doktor peribadi kepada Sultan Ibrahim. Setelah suami beliau meninggal dunia, Helen kembali ke England.


Sultan Ibrahim telah menghantar dua putera baginda untuk belajar di England. Jadi, baginda meminta pertolongan Helen untuk mengawasi kedua-dua putera baginda itu. Sultan Ibrahim kerapkali berangkat ke England untuk bertemu putera baginda dan juga Helen, Maka, bermulalah bibit-bibit cinta di antara kedua-duanya. Helen bertemu jodoh dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Al Mahsyur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 15 Oktober 1930 di Prince's Row Register Office,London sebagai suami kedua beliau. Helen telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dan menggunakan nama Helen Binti Abdullah. 


Helen Binti Abdullah telah ditabalkan sebagai Sultanah Johor Darul Ta'zim pada 18 November 1931 dengan penuh adat istiadat di Istana Besar Johor Bahru. Beliau seterusnya menggunakan gelaran Her Royal Highness Sultanah Helen Ibrahim. Pada ualngtahun perkahwinan mereka ke 5 pada tahun 1935, wajah kedua-duanya telah diabadikan di atas setem kenang-kenangan.Namun perkahwinan beliau bersama Sultan Ibrahim tidak bertahan lama. Pasangan ini bercerai secara baik pada 31 Disember 1937. Setelah bercerai, beliau menggunakan gelaran Lady Helen Ibrahim.

Setelah bercerai dengan Sultan Ibrahim, Lady Helen kembali ke England. Walaupun telah bercerai, Sultan Ibrahim tetap menghadiahi Lady Helen dengan barang kemas yang terdiri daripada berlian, zamrud dan permata setiap kali harijadi beliau dan ulangtahun perkahwinan mereka. Sultan Ibrahim merupakan manusia terkaya ketika itu. Maka, barang kemas yang dihadiahkan kepada Lady Helen merupakan barang kemas yang mempunyai kualiti terbaik di dunia. 


Sepanjang bergelar Sultanah Johor, Sultanah Helen dianugerahi Darjah Kerabat Johor Yang Amat DiHormati (D.K.) Johor dan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.). Selain itu, beliau juga dianugerahi dengan pingat King George V Silver Jubilee Medal (1935) dan King George VI Coronation Medal (1937).

Lady Helen kembali ke Scotland sebelum berpindah ke London. Kali terakhir kelibat beliau dilihat adalah sekitar tahun 1960an, dimana beliau dilihat turun dari sebuah kereta Rolls Royce di Sauchiehall Street. Selepas kejadian itu, tiada siapa tahu bagaimana kehidupan beliau. Lady Helen telah menghembuskan nafas terakhir pada 13 Ogos 1977 ketika berusia 88 tahun di Homelands Nursing Home,Cowfold,Sussex. Begitulah berakhirnya kisah seorang wanita Inggeris yang diangkat menjadi seorang Sultanah kemudian kembali ke tanah kelahiran dengan membawa kisah hidupnya yang pernah bergelar seorang Permaisuri di negeri Melayu.


Sunday, 19 April 2015

19 April : Hari Keputeraan Almarhum Sultan Azlan Shah.

Tarikh 19 April merupakan tarikh keputeraan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Al Maghfurlah. Untuk memperingati Almarhum baginda, marilah sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah untuk roh Almarhum. 

Wajah-wajah Almarhum Sultan Azlan yang dirindui : 


















Saturday, 18 April 2015

Selfie 3 Permaisuri.

Istiadat Persantapan Diraja sempena Perkahwinan Putera Sultan Brunei, Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Pengiran Anak Rabiaa'tul Adawiyyah telah menyaksikan keberangkatan Raja-Raja Melayu dan para permaisuri. 3 orang permaisuri, iaitu KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, DYMM Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom dan DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim telah mengambil gambar secara selfie. Selfie istimewa ini telah dimuatnaik di akaun instagram Tuanku Nur Zahirah. Kelihatan Tuanku Zara memegang kamera di dalam gambar ini. Gambar selfie ini menunjukkan keakraban dan kemesraan para permaisuri Melayu.

sumber : instagram tuanku nur zahirah.

Friday, 17 April 2015

Raja-Raja Melayu Berangkat Ke Persantapan DiRaja.

Hubungan akrab Raja-Raja Melayu dengan Sultan Brunei telah terjalin sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah majoriti Raja-Raja Melayu sering berangkat ke Brunei jika ada Istiadat Perkahwinan Diraja. Paling terbaru, putera Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik Ibni KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan pasangannya Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul Adawiyyah Binti Pengiran Haji Bolkiah yang berlangsung penuh gilang gemilang di Istana Nurul Iman. Istiadat Persantapan Pengantin Diraja telah diadakan di Istana Nurul Iman sempena meraikan perkahwinan diraja ini. Ramai tetamu diraja dan tetamu kehormat telah dijemput termasuk Raja-Raja Melayu. Berikut merupakan senarai Raja-Raja Melayu yang berangkat ke Istiadat Persantapan Pengantin Diraja Brunei :

Pengantin Diraja, Pengiran Muda Abdul Malik dan Pengiran Rabiaa'tul Adawiyyah bersama Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. 

KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Mus'tain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah dan DYMM Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom.

KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

KDYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan KDYMM Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.






Friday, 10 April 2015

KENANGAN : Istiadat Perkahwinan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara..

ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA.

Raja Muda Perak dinikahkan oleh Mufti Perak sambil diperhatikan oleh Sultan dan Raja Permaisuri Perak.

DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson diijabkabulkan oleh Mufti Negeri Perak, Datuk Harussani Zakaria diIstana Iskandariah, Bukit Chandan , bandar diraja Kuala Kangsar, Perak pada hari Khamis 17 Mei 2007. Pada 18 Mei 2007, Zara Salim Davidson dilantik sebagai Raja Puan Besar Perak. Pada hari Sabtu 19 Mei 2007 majlis persandingan diadakan di Istana Iskandariah, tepian Sungai Perak, bandar Kuala Kangsar, Perak. Majlis pernikahan secara sederhana dan ringkas itu adalah atas kehendak Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan putera sulungnya, Raja Dr Nazrin sendiri. Namun begitu adat istiadat diraja dikekalkan. Istiadat pernikahan kerabat diraja negeri Perak sepenuhnya, sepatutnya membabitkan lima peringkat iaitu meminang, akad nikah, berlimau, bersanding dan bersiram sampat. Tetapi berlimau dan bersiram sampat ditiadakan. Majlis Pernikahan di adakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan mas kahwin 250 gram emas tulen dalam bentuk lima syiling.
Istiadat pernikahan pengantin diraja dimulakan dengan Orang Kaya Temenggong Perak, Paduka Raja Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain menghadap Sultan Perak untuk memulakan istiadat berkenaan. Ia diikuti dengan jejawat membawa masuk bingkisan Raja Muda untuk Zara Salim Davidson sebanyak sembilan bunga pahar berserta mas kahwin 250 gram emas tulen dan sebentuk cincin bertatahkan berlian.

Pasangan pengantin diraja.

Rombongan pihak perempuan diketuai Datuk Tunku Hamdy Tunku Ahmad Tajuddin, membawa 11 bunga pahar berserta sebentuk cincin perak untuk Raja Muda sebagai kurniaan balas yang dipersembahkan kepada ketua rombongan pengantin lelaki, Raja Ashman.


Raja Dr Nazrin berbaju Melayu dan samping putih sedondon melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz, kira-kira jam 11 pagi di Balai Istiadat mengikut adat istiadat diraja Perak. Raja Datuk Seri Ashman Shah, iaitu Raja Kecil Tengah Perak serta Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami kepada adinda baginda, Raja Datuk Seri Azureen, menjadi saksi pernikahan.


Zara Salim Davidson memakai kebaya labuh kontemporari daripada renda Perancis dihiasi taburan kristal dan manik serta dipadankan dengan kain sarung sifon sedondon putih gading, hasil rekaan pereka fesyen terkemuka Radzuan Radzwil, yang juga anak jati kelahiran Bandar Diraja Kuala Kangsar. Zara mengenakan selendang putih `French netting' sepanjang tiga meter yang ditaburi kristal. Kasut sifon warna sedondon bertatah kristal putih
Salim Davidson mewakilkan wali kepada Datuk Harussani Zakaria untuk mengijab kabulkan anaknya dengan Raja Dr Nazrin dan upacara menandatangani surat mewakilkan wali itu diadakan, di Bilik Merah, Istana Iskandariah. Ibu Zara, Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin dan abangnya, Jeffri Salim Davidson.
Akad nikah disempurnakan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, kerabat diraja Perak, keluarga Zara serta 300 jemputan khas.

Pasangan diraja bersama adinda dan adinda ipar.

Kemudian Mufti Kerajaan Perak membacakan doa kesyukuran, diikuti selawat oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble. Seterusnya Raja Dr Nazrin ke bilik bersebelahan Balai Istiadat di mana Zara sedia menanti untuk upacara menyarung cincin.Turut hadir ialah bonda saudara Raja Nazrin, Datuk Lily Abdul Majid dan sepupu Raja Dr Nazrin, Datin Nina Jureen. 

Hantaran daripada pihak lelaki.

Hantaran daripada pihak perempuan.

MAJLIS PERSANDINGAN DIRAJA.


Majlis persandingan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim Davidson serba sederhana tetapi menepati adat istiadat persandingan diraja Perak di Istana Iskandariah, Bukit Chandan pada hari Sabtu, 19 Mei 2007 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, bandar diraja Kuala Kangsar, Perak.

Tetamu diraja ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Raja Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah turut hadir.


Majlis persandingan bermula 9.00 malam dengan keberangkatan ketiga-tiga sultan,para jejawat istana yang membawa alat kebesaran diraja serta payung dan lembing kerajaan

Pasangan pengantin diraja, Raja Dr Nazrin dan Tuanku Zara Salim Davidson yang memakai busana tradisional diraja berwarna kuning keemasan kelihatan anggun memasuki Balairong Seri 9.10 malam. Mempelai menuju ke singgahsana untuk istiadat bersanding diiringi 16 jejawat perempuan membawa lilin dan 10 jejawat perempuan lagi menambur bunga rampai. Perarakan masuk pasangan diraja ke Balairong Seri didahului iringi paluan kompang dan bacaan selawat daripada kumpulan Haqani Maulud Ensemble.


Istiadat merenjis tepung tawar dimulakan Sultan Kedah dan Sultanah Kedah, diikuti Sultan Perak dan Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan Sultan Selangor dan kekanda sulung Sultan Perak, Raja Datuk Seri Baharum Shah.Tujuh das tembakan meriam dilepaskan.

Seterusnya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan diikuti bapa Tuanku Zara, Salim Davidson dan ibunya, Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin melakukan istiadat merenjis air mawar. Bacaan doa selamat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harusani Zakaria. Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan isteri Datin Seri Kamariah Mokri. Lain-lain ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Aziz Shamsuddin.


Istiadat perkahwinan diraja juga dihadiri kerabat diraja dan rakan rapat Raja Dr Nazrin dari dalam dan luar negara, termasuk bekas Menteri Alam Sekitar Indonesia Nabil Makarim iaitu rakan Raja Dr Nazrin ketika belajar di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.Lebih 800 tetamu dan orang kenamaan hadir pada majlis istiadat itu yang menjadi acara kemuncak istiadat perkahwinan pasangan itu yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut dari hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Istiadat persandingan diraja itu diikuti dengan majlis santapan diraja di Dewan Santapan.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...