Anda Pengunjung Ke :

Monday, 20 April 2015

Sultanah Helen Ibrahim.

Sultanah Helen Ibrahim,
D.K.(Johor),S.P.M.J.,King George V Silver Jubilee Medal, King George VI Coronation Medal.

Sultanah Helen Ibrahim dilahirkan sebagai Helen Bartholomew di Glasgow,Scotland. Beliau lahir pada bulan 21 Disember 1889 dan merupakan wanita berdarah Scottish dan merupakan anak kepada John Bartholomew yang berasal dari Glasgow,Scotland dengan isterinya Catherine Bartholomew. Kali pertama Helen berkahwin adalah dengan Kapten Dr William Brockie Wilson, doktor peribadi kepada Sultan Ibrahim. Setelah suami beliau meninggal dunia, Helen kembali ke England.


Sultan Ibrahim telah menghantar dua putera baginda untuk belajar di England. Jadi, baginda meminta pertolongan Helen untuk mengawasi kedua-dua putera baginda itu. Sultan Ibrahim kerapkali berangkat ke England untuk bertemu putera baginda dan juga Helen, Maka, bermulalah bibit-bibit cinta di antara kedua-duanya. Helen bertemu jodoh dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Al Mahsyur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 15 Oktober 1930 di Prince's Row Register Office,London sebagai suami kedua beliau. Helen telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dan menggunakan nama Helen Binti Abdullah. 


Helen Binti Abdullah telah ditabalkan sebagai Sultanah Johor Darul Ta'zim pada 18 November 1931 dengan penuh adat istiadat di Istana Besar Johor Bahru. Beliau seterusnya menggunakan gelaran Her Royal Highness Sultanah Helen Ibrahim. Pada ualngtahun perkahwinan mereka ke 5 pada tahun 1935, wajah kedua-duanya telah diabadikan di atas setem kenang-kenangan.Namun perkahwinan beliau bersama Sultan Ibrahim tidak bertahan lama. Pasangan ini bercerai secara baik pada 31 Disember 1937. Setelah bercerai, beliau menggunakan gelaran Lady Helen Ibrahim.

Setelah bercerai dengan Sultan Ibrahim, Lady Helen kembali ke England. Walaupun telah bercerai, Sultan Ibrahim tetap menghadiahi Lady Helen dengan barang kemas yang terdiri daripada berlian, zamrud dan permata setiap kali harijadi beliau dan ulangtahun perkahwinan mereka. Sultan Ibrahim merupakan manusia terkaya ketika itu. Maka, barang kemas yang dihadiahkan kepada Lady Helen merupakan barang kemas yang mempunyai kualiti terbaik di dunia. 


Sepanjang bergelar Sultanah Johor, Sultanah Helen dianugerahi Darjah Kerabat Johor Yang Amat DiHormati (D.K.) Johor dan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.). Selain itu, beliau juga dianugerahi dengan pingat King George V Silver Jubilee Medal (1935) dan King George VI Coronation Medal (1937).

Lady Helen kembali ke Scotland sebelum berpindah ke London. Kali terakhir kelibat beliau dilihat adalah sekitar tahun 1960an, dimana beliau dilihat turun dari sebuah kereta Rolls Royce di Sauchiehall Street. Selepas kejadian itu, tiada siapa tahu bagaimana kehidupan beliau. Lady Helen telah menghembuskan nafas terakhir pada 13 Ogos 1977 ketika berusia 88 tahun di Homelands Nursing Home,Cowfold,Sussex. Begitulah berakhirnya kisah seorang wanita Inggeris yang diangkat menjadi seorang Sultanah kemudian kembali ke tanah kelahiran dengan membawa kisah hidupnya yang pernah bergelar seorang Permaisuri di negeri Melayu.


No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...