Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 22 September 2015

Istiadat Pemakaman Raja Puan Muda Kedah.


Almarhum D.Y.T.M. Raja Puan Muda Kedah Darul Aman
Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj,D.K., S.P.M.K., S.S.D.K., D.K.II (Selangor).
29 September 1929 - 21 September 2015.
AL FATIHAH.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj yang mangkat semalam telah selamat dimakamkan di Makam DiRaja Langgar. Istiadat pemakaman bermula pada pukul 6.15 petang dan selesai kira-kira jam 7.15 petang. Sebelum disemadikan, jenazah baginda dibawa menggunakan pedati diraja melalui Lebuhraya Darul Aman menuju ke Jalan Sultan Badlishah sebelum dibawa ke Makam Diraja Langgar. Berangkat ke Istiadat Pemakaman baginda ialah suami baginda DYTM Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Salehuddin dan Tengku Maliha, Tunku Tan Sri Intan Safinaz, serta kerabat diraja Kedah dan Selangor. Bersempena kemangkatan Raja Puan Muda Kedah ini, kerajaan negeri mengisytiharkan negeri Kedah berkabung selama 7 hari bermula 21 September hingga 27 September 2015. Bendera Persekutuan dan Negeri dikibarkan separuh tiang selama tiga hari hingga 23 September. 

Marafak sembah takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah di atas kemangkatan isteri baginda Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.


Tunku Abdul Malik bersama Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah.

Menteri Besar Kedah, Tunku Intan Safinaz, Tunku Salehuddin dan Tunku Abdul Malik menunggu keberangkatan tiba Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Tuanku Abdul Halim bersalaman dengan Dato' Seri Mukhriz Mahathir. Turut kelihatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara bersalaman dengan Tunku Abdul Malik.

Solat jenazah di Istana Anak Bukit.

Tengku Maliha, Tunku Salehuddin, Tunku Intan Safinaz, Tengku Sulaiman dan kerabat diraja Selangor mengiringi jenazah Almarhum Tengku Raudzah.




Jenazah selamat tiba di Makam Diraja Langgar.

Tunku Abdul Malik menyempurnakan istiadat siram air mawar di makam Raja Puan Muda Kedah.




sumber : facebook putra kola, facebook mukhriz mahathir fc, utusan melayu, bernama.

Monday, 21 September 2015

Penghormatan Terakhir Untuk Raja Puan Muda Kedah.

Tuanku Abdul Halim, Tuanku Haminah, Tuanku Zara serta kerabat diraja mengaminkan doa di hadapan jenazah Almarhum Tengku Raudzah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah hari ini berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah Sultan Hisamuddin di Istana Anak Bukit. Raja Puan Muda Kedah yang merupakan adinda ipar Seri Paduka mangkat pada pukul 10.15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah pada usia 86 tahun. 

Istiadat Penghormatan Terakhir bermula pada pukul 4.00 petang hingga jam 5.00 petang. Jenazah Almarhum Tengku Raudzah disemayamkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit. Baginda disemayamkan di atas peterana tiga tingkat dan dikelilingi pegawai istana. Turut berangkat adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah. 

Turut sama berangkat ke Istana Anak Bukit ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara, DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, serta Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut hadir. Sebelum itu, Dato' Seri Mukhriz telah menyampaikan pengisytiharan Kemangkatan Raja Puan Muda Kedah dan mengumumkan negeri Kedah akan berkabung selama 7 hari bermula Isnin 21 September 2015. Solat jenazah telah diimamkan oleh Mufti Kedah Dato' Paduka Syeikh Ahmad Baderuddin Ahmad.


Suasana di Istana Anak Bukit apabila jenazah baginda dibawa ke dalam istana.

Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah Mangkat.


Bismillahirrahmanirrahim. Dengan rasa sedih dan dikacita dimaklumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Kedah Darul Aman, Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj telah mangkat kira-kira pukul 10 pagi, 21 September 2015. Baginda mangkat di Wad Unit Kawalan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah akibat sakit tua. Almarhum berusia 86 tahun. Baginda merupakan puteri kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Kedua Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj, Tengku Raudzah juga merupakan adinda kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke 11 Sultan Salahuddin dan kekanda kepada Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Bariah. Baginda bertemu jodoh dengan Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah dan dilantik sebagai Raja Puan Muda Kedah pada tahun 1981. 

Jenazah Almarhum akan diletakkan di Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir sebelum dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Alor Star selepas solat Asar. Takziah kepada DYTM Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik serta semua kerabat Diraja Kedah.

AL FATIHAH

buat

DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU RAJA PUAN MUDA KEDAH DARUL AMAN,
TENGKU HAJAH RAUDZAH BINTI ALMARHUM SULTAN SIR HISAMUDDIN ALAM SHAH ALHAJ,
D.K., S.P.M.K., S.S.D.K., D.K.II(Selangor).


Friday, 18 September 2015

18 September 1989 : Pertabalan Sultan Azlan Sebagai Agong.

Pada tarikh 17 September 1989, Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-9 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur. DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah dan DYMM Tuanku Bainun ditabalkan naik takhta persekutuan dalam satu istiadat yang penuh tradisi. Sultan Azlan Shah menaiki takhta negeri Perak pada 3 Februari 1984. 5 tahun selepas itu, Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang pada Mac 1989 telah memilih baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong. Baginda melengkan pusingan pertama penggiliran 9 orang Raja-Raja Melayu yang dipilih menjadi Ketua Negara. Sultan Azlan yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Negara cukup disenangi rakyat jelata. Sementara baginda berkhidmat sebagai Yang Di-Pertuan Agong, putera sulung baginda dilantik sebagai DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

SEKITAR ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-9.

Sultan Azlan Shah menerima Keris Kerajaansebagai simbol penerimaan kuasa pemerintahan persekutuan.


Baginda berdua bersama pegawai-pegawai Istana Negara.

Seri Paduka berdua bersama Pemangku Raja Perak dan pengiring-pengiring.

Menyampaikan titah Di-Raja sempena pertabalan.

Bacaan doa selamat sempena pertabalan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke 9 masuk ke Balairong Seri Istana Negara.

Bersemayam di atas singgahsana Baairong Seri Istana Negara.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-9 Sultan Azlan Shah memeriksa barisan kehormat di perkarangan Istana Negara.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-9 Tuanku Bainun Binti Mohd Ali.

KEBERANGKATAN TIBA RAJA-RAJA MELAYU.

Keberangkatan tiba DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra dan DYMM Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah.

Keberangkatan tiba KDYMM Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Hajah Bahiyah.

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

Keberangkatan tiba DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar dan DYMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah.

Keberangkatan tiba KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mahmud dan KDYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Bariah.

Keberangkatan tiba KDYMM Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra dan KDYMM Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis.

Keberangkatan tiba DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah.

Keberangkatan tiba wakil KDYMM Sultan dan Sultanah Pahang, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah.

Ketibaan wakil DYMM Sultan dan Sultanah Johor, YAM Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad.

Thursday, 17 September 2015

17 September 1955 : Sambutan Jubli Intan Sultan Ibrahim dan Pemahkotaan Sultanah Marcella Sebagai Sultanah Johor.

Tarikh 17 September 1955 adalah hari Sambutan Jubli Intan Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Sir Ibrahim Al Mahsyur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, G.C.M.G.,G.B.E.,D.M.N.,D.K. Sultan Ibrahim memerintah negeri Johor bermula tahun 1895 dan menyambut ulang tahun ke 60 pemerintahan baginda pada tahun 1955. Serentak dengan Sambutan Jubli Intan ini juga, isteri baginda, Lady Marcella Ibrahim ditabalkan sebagai Sultanah Johor dan memakai gelaran DYMM Sultanah Fawzia Binti Abdullah. Baginda berdua berkahwin pada tahun 1940. Istiadat ini diadakan penuh gilang gemilang dan dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dan para jemputan khas. Kadi Besar Johor meletakkan Mahkota Permaisuri diatas kepada Sultanah Marcella sebagai simbol pertabalan. 

DYMM Sultan Sir Ibrahim Al Masyhur ketika berangkat tiba di istana.

DYMM Sultanah Johor Sultanah Marcella @ Fawzia Binti Abdullah,
D.K., S.P.M.J.

Titah ucapan sempena Sambutan Jubli Intan.


Di atas singgahsana Istana Johor.

Dari kiri : Sultan Perak Sultan Yussuf Izzuddin, Sultan Kelantan Sultan Ibrahim, Raja Perlis Tuanku Syed Putra, Sultan Kedah Sultan Badlishah, Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman, Sultan Pahang Sultan Abu Bakar, dan Pesuruhjaya Tinggi British.




Selesai dimahkotakan sebagai Sultanah Johor.

Saturday, 12 September 2015

12 September : Hari Kelahiran Sultanah Pahang.


MERAFAK SEMBAH UCAPAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH KEPADA 

Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Darul Makmur Sultanah Hajah Kalsom Binti Abdullah,
D.K.(Pahang).

SEMPENA

HARI KELAHIRAN KE 64
DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH PAHANG 
PADA 12 SEPTEMBER 2015 BERSAMAAN 29 ZULKAEDAH 1436 HIJRAH.

SEMOGA ALLAH S.W.T. MELANJUTKAN USIA DULI YANG MAHA MULIA TUANKU.

Sembah Takzim Daripada :


Amirul Izwan Bin Lehuddin
Editor WARISAN PERMAISURI MELAYU
www.warisanpermaisuri.blogspot.com 


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...