Anda Pengunjung Ke :

Monday, 12 December 2016

Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14.


Dirgahayu Tuanku. Warisan Permaisuri Melayu merafak sembah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang menaungi rakyat Malaysia sebagai payung mahkota selama 5 tahun. Bermula pada tanggal 13 Disember 2011, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah berangkat ke Kuala Lumpur untuk memulakan tugas rasmi sebagai kepala negara, kini, selepas 5 tahun, baginda berdua akan berangkat pulang ke negeri Kedah untuk kembali bersemayam sebagai Sultan dan Sultanah Kedah. Istiadat Keberangkatan Balik Tuanku berdua diadakan pada 12 Disember 2016. Istiadat ini menandakan berakhirnya tempoh pemerintahan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-14.


Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka berdua bermula di Dataran Parlimen. Keberangkatan tiba baginda berdua di Dataran Parlimen pada pukul 8.35 pagi disambut oleh YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak serta pemimpin negara yang lain. Hujan mengiringi istiadat ini pada waktu pagi. Setibanya baginda berdua di Dataran Parlimen, lagu Hormat Diraja dimainkan disusuli lagu Negaraku sambil diiringi 21 das tembakan meriam. Tuanku Abdul Halim seterusnya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja seramai 103 ahli dan 4 pegawai. Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Ahmad Al-Bakri. Istiadat diteruskan dengan lagu Hormat Diraja dan Negaraku buat kali kedua. Baginda berdua seterusnya berkenan untuk bersalaman dengan Ahli Jemaah Menteri, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta tetamu kenamaan. Baginda berdua seterusnya berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).


Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi. Kebrangkatan tiba baginda berdua disambut dengan perarakan 180 orang yang lengkap berpakaian pembesar Melayu, inang pengasuh dan hulubalang istana, sambil membawa peralatan tradisional seperti gendang, tombak, bunga emas dan replika pohon beringin, bermula dari persimpangan jalan hingga ke pintu masuk kompleks. Selain itu, baginda berdua juga disambut oleh dua ekor gajah yang mengepalai perarakan berkenaan, menggambarkan zaman kegemilangan raja-raja Melayu dahulu kala.


Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah YAM Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak dan isteri, YAB Dato' Seri Zahid Hamidi serta kepimpinan negara yang lain. Istiadat diteruskan dengan persembahan pencak silat pintu masuk, diikuti persembahan Lambaian Kasih 'Daulat Tuanku' di dataran Kompleks Bunga Raya. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri kemudian berkenan bersalaman dengan tetamu kenamaan yang hadir, sebelum berangkat pulang menaiki pesawat khas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah, kira-kira jam 11 pagi.






Sunday, 11 December 2016

Keputeraan Sultan Selangor : Tengku Permaisuri Ketuai Penerima Darjah Kebesaran.




Bersempena Hari Keputeraan Yang Ke-71, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj berkenan menganugerahi Darjah Kerabat Yang Amat DiHormati (D.K.) Selangor kepada isteri baginda, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Darul Ehsan Tengku Permaisuri Norashikin. Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Darul Ehsan Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj. Tengku Permaisuri Norashikin sebelum ini pernah menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri selepas perkahwinan baginda dengan Sultan Sharafuddin.


Tengku Permaisuri Norashikin menerima D.K. Selangor.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Seri Muhammad Ibrahim dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin merupakan penerima Darjah Kelas Pertama – Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) – yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri’. Sementara itu, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Yang Amat Arif Tan Sri Dr Ibrahim Lembut menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.)(Kelas Pertama) yang membawa gelaran ‘Datuk Setia’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka Setia’ bagi wanita. Turut menerima S.S.I.S ialah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Wahid Omar.


Menyampaikan titah diraja.

Mendahului senarai sembilan penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran ‘Dato” bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita adalah bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din. Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak awal tahun ini telah menyenarai nama Haron sebagai calon untuk dikurniakan darjah kebesaran tersebut namun beliau telah meninggal dunia pada 16 Sept lepas di Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung. Penerima lain D.P.M.S ialah Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Yang Mulia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Bishop of Kuching, Sarawak Datuk Bolly Anak Lapok; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Yang Berbahagia Academician Tan Sri Ahmad Zaidee Ladin dan Pengarah Urusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Holdings Sdn Bhd, Yang Berbahagia Prof Dr Husaini Omar.

Turut menerima D.P.M.S adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Markas Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan; Panglima 10 Briged Para, Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Selangor, Nor Azmie Diron serta Pegawai Daerah Hulu Langat, Zul-kefli@Zulkefli Khalid.

Sebanyak 10 orang menerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran ‘Dato” bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita. Mereka ialah Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Mohamed Tengku Harun; Managing Partner Head of Southeast Asia TPG, Datuk Ganendran Sarvananthan; legenda bola sepak pasukan Harimau Malaya era 1980-an, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain.


Tengku Amir Shah menerima D.K. Selangor.

Anggota Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Prof Dr Mujaini Tarimin; Penyunting/Penyampai Berita Televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harjit Singh Hullon Bhagwan Singh; Pengarah Hospital Shah Alam, Dr Hasni Hanapi; Timbalan Yang Dipertua Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Datin Norpiah Abdul Shukor; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Hasan Azhari Idris; dan Timbalan Pengerusi Singapore GP Pte Ltd, Syn Wai Hung Colin turut menerima D.S.I.S.

Seramai lima atlet menerima darjah kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S.), iaitu darjah dan bintang Kebesaran Sukan Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dizahirkan Sultan Selangor sejak tahun lepas. Mereka adalah pemenang pingat emas acara lontar peluru Sukan Paralimpik 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli; Setiausaha Kehormat Persatuan Tenpin Bowling Selangor, Shalin Zulkifli; pelumba basikal negara, Mohd Rizal Tisin; gimnas artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi; dan atlet terjun kebangsaan, Chew Yiwei.

Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor bersama Raja Muda Selangor, Menteri Besar dan isteri.

Sebanyak 13 orang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) antaranya Tengku Indera Bijaya Diraja, Tengku Salehuddin Shah; Tengku Seri Perkasa Diraja, Tengku Musahiddin Shah; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Sallehen Mukhyi; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Salehan Yatim dan imam besar Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Burhanuddin Ahmad. Sementara itu, sebanyak 14 orang menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) termasuk Pengarah Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor, Aminah Abd Rahim dan penerbit rancangan Jabatan Penyiaran RTM, Zuraida Mohammad Arif.

Sebanyak 17 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), 19 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S), seorang penerima Bintang Kegemilangan Sukan Selangor (B.K.S.) dan tujuh penerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).


Kenangan Agong Ke 14 : Angkat Sumpah Agong Ke-14

13 DISEMBER 2011


KUALA LUMPUR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’azam Shah  melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah dari 21 Jan 1970 hingga 20 Sept 1975 semasa berusia 43 tahun. Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima ta­hun berkuat kuasa semalam, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan se­bagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 kelmarin.

Tuanku Abdul Halim bersama Sultan Azlan Shah, Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Sultan Muhammad V.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam ka­langan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Mer­deka pada 31 Ogos, 1957. Istiadat semalam merupa­kan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Is­lam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 Nov lepas. Upacara bermula pada jam 11.15 pagi dengan Me­syuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajud­din Putra Jamalullail. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Da­nial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim, yang memakai pakaian diRaja Kedah yang dikenali sebagai ‘Sikap’ yang terdiri daripada jaket pen­dek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris. Baginda kemudian mela­fazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hada­pan Majlis Raja-Raja.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menjadi saksi. Istiadat semalam juga melibatkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V. Ia diikuti bacaan doa dip­impin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Da­nial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetap­kan.
Ini disusuli istiadat menan­datangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan tersebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Istiadat diteruskan den­gan Sultan Muhammad V menandatangani surat peng­isytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca peng­isytiharan tersebut.


Istiadat semalam dihad­iri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Te­menggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Turut hadir kesemua em­pat Yang di-Pertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan. Istiadat yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh. Tuanku Abdul Halim ke­mudian menerima meng­hadap menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan yang diketuai oleh Najib di Bilik Seri Mahkota




Tuanku Abdul Halim melafazkan sumpah jawatan.

YTM Tengku Temenggong Terengganu, TYT Tun Juhar Mahiruddin, TYT Tun Abdul Rahman Abbas, DYMM Sultan Ibrahim, DYMM Sultan Sharafuddin, KDYMM Sultan Ahmad Shah, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dan KDYMM Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


DYMM Sultan Azlan Shah,DYMM Tuanku Muhriz, KDYMM Sultan Muhammad V, TYT Tun Khalil Yaakob, YTM Tunku Annuar, dan wakil TYT Tun Taib Mahmud.



Saturday, 10 December 2016

Kenangan Agong Ke-14 : Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14.

13 DISEMBER 2011

Related image

Image result for SULTAN KEDAH

SEPANG -- Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini, bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Related image

Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais. Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat. Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Okt lepas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini. Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.

Image result for keberangkatan tiba yang dipertuan agong

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama. Di Kuala Lumpur, ketibaan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua. Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik "Hormat Diraja" oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.

Image result for keberangkatan tiba yang dipertuan agong

Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das. Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah. Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik 'Hormat Diraja serta lagu Negara Ku.

Baginda berdua kemudian menerima menghadap menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan sebelum berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Image result for SULTAN KEDAH BERANGKAT KUALA LUMPUR

11 Disember 2016 : Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor Ke- 71.

10 Disember : Hari Keputeraan Almarhum Tuanku Yahya Petra.

Friday, 9 December 2016

9 Disember 1985 : Pertabalan Sultan Azlan Sebagai Sultan Perak.


Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Riduan Ke-34 telah diadakan pada 9 Disember 1985. Istiadat didakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Turut ditabalkan ialah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun Binti Mohamad Ali sebagai Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan. Tabal Adat bermula dengan keberangkatan tiba Paduka Seri Sultan Azlan Shah, Tuanku Bainun, DYTM Raja Muda Perak Raja Ahmad Sifuddin Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, dan DYTM Raja Puan Besar Raja Nor Izan Binti Raja Bendahara Abdul Rashid masuk ke Balairong Seri. Turut mengiringi, YM Raja Halijah Raja Razman, Dang Perwara kepada DYMM Raja Permaisuri Perak. Kemudian, Sultan Azlan dan Tuanku Bainun mengambil tempat di atas singgahsana. 


Istiadat diteruskan dengan ketibaan Dato' Pengelola Diraja memasuki Balairong Seri, ditemani oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak. Pedang Cura Si Manja Kini dibawa oleh Raja Chik Muda Pawang DiRaja sambil diiringi oleh panglima-panglima yang membawa alat kebesaran diraja Perak. Sultan Azlan kemudiannya dipersembahkan dengan Pedang Cura Si Manja Kini oleh Raja Chik Muda Pawang DiRaja. Baginda mengucup Pedang Cura Si Manja Kini yang dipersembahkan kepada baginda tadi. Kemudian Toh Seri Nara DiRaja berdatang sembah ke singgahsana untuk mempersembahkan Mestika Embun. Cap Halilintar kemudiannya diselitkan di telinga kanan Sultan Azlan dan kemudiannya Toh Seri Nara DiRaja membisikkan Rahsia Nasab Sultan. 


Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja bangun dan mengsiytiharkan Paduka Seri Sultan Azlan sebagai Sultan Perak Ke-34. Kemudian Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mengankat sembah dan menyeru DAULAT TUANKU sebanyak tiga kali lalu disahut oleh hadirin didalam Balairong Seri. Istidat untuk pertabalan Sultan Perak selesai dan paluan nobat bergema diringi tembakan meriam 21 das. 


Istiadat diteruskan dengan pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak. Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Temenggong Paduka Raja menyembah dan mempersilakan Tuanku Bainun untuk mengadap Paduka Seri Sultan Azlan Shah. Tuanku Bainun kemudiannya mengangkat sembah ditemani oleh Tok Rakna Senari. Sultan Azlan meletakkan Bunga Pancawa Pencara di jemala Tuanku Bainun. Paduka Seri Sultan Azlan mempersilakan Tuanku Bainun untuk bersemayam di sebelah baginda diatas singgahsana. Orang Kaya Temenggong Paduka Raja kemudiannya mengangkat sembah dan berseru DAULAT TUANKU sebanyak tiga kali dan disahut oleh para hadirin. 


Raja Chik Muda Pawang DiRaja memulakan istiadat merenjis Air Panca Bicara kepada keda-dua duli Tuanku. DYTM Raja Muda Perak Raja Ahmed Sifuddin menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak Raja-Raja dan para pembesar. Ini diikuti oleh titah ucapan Paduka Seri Sultan Azlan Shah. Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Ke-34 diakhiri dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak. 



Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...