Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 7 October 2014

Mantan Wanita Pertama Singapura.



Assalamualaikum wbt. Tahukah para pembaca sekalian siapakah wanita pertama yang pernah menyandang gelaran Wanita Pertama bagi negara Singapura ? Beliau merupakan satu-satunya wanita yang pernah bergelar Isteri Yang DiPertuan Negara Singapura sebelum jawatan ketua negara itu bertukar kepada Presiden. Beliau ialah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Hajah Noor Aishah Binti Md Salim, Pingat Bakti Cemerlang. Beliau merupakan suri kepada Presiden Pertama Singapura, Allahyarham Tun Yusof Bin Ishak,S.M.N.,D.U.T.(Singapura),D.K.M.B.(Brunei).

Tun Yusof Ishak bersama Toh Puan Noor Aishah di Istana Presiden.

Toh Puan Noor Aishah dilahirkan pada tahun 1933 di Pulau Pinang. Ramai yang tidak tahu bahawa bekas Wanita Pertama Singapura ini berasal dari Malaysia. Beliau bertemu jodoh dengan Tun Yusof Ishak pada tahun 1948 ketika usia cukup muda iaitu 15 tahun. Ketika itu Tun Yusof telah pun berusia 38 tahun. Perbezaan usia 23 tahun tidak menghalang pasangan ini untuk berumah tangga. Pada ketika itu, Tun Yusof merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan Utusan Melayu. Perkahwinan mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua orang perempuan.


Tanggal 3 Disember 1959, Tun Yusof dilantik sebagai Yang Di Pertuan Negara Singapura. Sekaligus, Toh Puan Noor Aishah bergelar Isteri Yang Di Pertuan Negara atau Wanita Pertama Singapura pada usia 26 tahun. Tun Yusof menjadi Yang Di Pertuan Negara sehingga tahun 1965. Seterusnya, apabila Singapura mencapai kemerdekaan pada tahun 1965, Tun Yusof diangkat sebagai Presiden pertama Singapura. Toh Puan Noor Aishah bergelar Isteri Presiden Singapura. Tun Yusof menjadi Presiden hingga akhir hayat beliau. Tun Yusof meninggal dunia pada 23 November 1970 ketika berusia 60 tahun meninggalkan Toh Puan Noor Aishah dan 3 anak mereka. Toh Puan Noor Aishah menjadi balu seawal usia 37 tahun. 


Setelah kematian Tun Yusof pada 1970, nama dan kisah Toh Puan Noor Aishah jarang sekali dipaparkan di media Singapura. Beliau juga jarang menghadiri majlis rasmi kerajaan. Toh Puan Noor Aishah lebih selesa bersama keluarga membesarkan anak-anak beliau. 


Kini, di kala usia mencecah 81 tahun, beliau hidup dalam kenangan bersama Allahyarham suaminya. Beliau bahagia di samping anak-anak dan 10 orang cucu dan 8 cicit tersayang. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat sederhana dan mudah tersenyum. Kesihatan beliau agak sedikit terganggu apabila beliau terpaksa menjalani pembedahan kedua-dua lutut pada tahun lalu. Sebagai Isteri bekas Presiden Singapura, beliau masih menerima elaun daripada kerajaan.Walaupun tidak sering muncul di khalayak ramai, namun beliau yang lebih selesa dipanggil "Mummy" tetap diingati atas pengorbanan beliau dan Allahyarham suami beliau. 


Pada tahun 1964, beliau dikurniakan Pingat Bakti Chemerlang Singapura oleh suami beliau atas sumbangan dalam bidang kebajikan. Sewaktu bergelar Isteri Presiden, beliau merupakan Penaung kepada Persatuan Bulan Sabit Merah, Pertubuhan Wanita Islam Singapura, dan juga Persatuan Pandu Puteri Singapura.

Semoga ALLAH SWT memberikan kesihatan yang baik kepada YABhg Toh Puan Hajah Noor Aishah Binti Md Salim.

Wajah terkini Toh Puan Noor Aishah.

Bersama suami beliau pada tahun 60an. Kedua mereka adalah peminat bunga orkid sehingga menamakan salah seorang anak mereka Orkid.

Bersama satu-satunya anak menantu lelaki beliau.



3 comments:

  1. Setahu saya Allahyarham Tun dianugerahkan DK (Brunei) bukannya DKMB...

    ReplyDelete
  2. Hi Editor,

    Satu pembetulan: pada gambar yang terakhir, lelaki itu adalah menantu Noor Aishah, dan bukannya anak lelakinya.

    Wassalam :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam..terima kasih atas maklumat saudara.. :)

      Delete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...