Anda Pengunjung Ke :

Friday, 23 January 2015

BELASUNGKAWA : Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud..


Kerajaan Arab Saudi hari ini mengumumkan bahawa Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Ibni Abdulaziz Al Saud telah mangkat pada pukul 1.00 pagi waktu Arab Saudi, 23 Januari 2015. Baginda berusia 90 tahun dan mangkat akibat pneumonia. Jawatan Raja Arab Saudi diisi oleh adinda Almarhum Raja Abdullah iaitu Raja Salman Abdulaziz Al Saud,79 tahun. 

Raja Abdullah diputerakan pada 1 Ogos 1924  di Riyadh,Arab Saudi dan merupakan putera ke 10 kepada Raja Abdulziz Al Saud dan Fahda Binti Asi Al Shuraim. Pada tahun 1963, pada usia 39 tahun, Raja Abdullah dilantik sebagai Komander Saudi National Guard (SANG). Pada Mac 1975, kekanda baginda, Raja Khalid Abdulaziz Al Saud melantik baginda sebagai Timbalan Perdana Menteri II Arab Saudi dan baginda berada di tangga kedua didalam senarai pewaris takhta Arab Saudi. Raja Khalid mangkat pada 13 Jun 1982 dan digantikan oleh Raja Fahd Abdulaziz Al Saud.Raja Abdullah dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi. Raja Fahd memerintah sehingga tahun 1995, di mana baginda diserang strok dan Raja Abdullah dilantik sebagai Pemangku Raja sehingga kemangkatan Raja Fahd. Raja Fahd mangkat pada 3 Ogos 2005 dan Raja Abdullah dilantik sebagai Raja Arab Saudi.

Sepanjang bergelar Raja Arab Saudi dan Pemangku Raja Arab Saudi bermula tahun 1995 hingga 2015,baginda telah banyak membawa perubahan kepada pimpinan negara Arab Saudi. Menurut Majalah Forbes 2013, Raja Abdullah merupakan individu ke 8 paling berkuasa di dunia. Baginda juga merupakan Raja kedua paling kaya selepas Raja Thailand dengan anggaran kekayaan sebanyak AS 18 Billion bersamaan RM 64.61 Billion.


Sepanjang bergelar Raja Arab Saudi, Raja Abdullah mempunyai 3 orang Putera Mahkota. Putera Mahkota Sultan Abdulaziz Al Saud mangkat pada 22 Oktober 2011 dan digantikan oleh Putera Mahkota Nayef Abdulaziz Al Saud. Putera Mahkota Nayef mangkat pada 16 Jun 2012 di Geneva,Switzerland. Dan Putera Mahkota ketiga ialah Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang mewarisi takhta Arab Saudi hari ini. 

Raja Abdullah pernah berkahwin sebanyak 11 kali dan mempunyai 22 orang anakanda, tujuh putera dan 15 puteri. Antara isteri baginda ialah Jawahir Bint Ali Hussien, Aida Fustuq, Munira Binti Abdullah Al Shaykh, dan Tathi Bint Mishan Al Faisal Al Jarba. Putera sulung baginda, Putera Khaled merupakan Timbalan Komander Saudi Arabian National Guard West sehingga tahun 1992. Putera kedua baginda, Putera Mutaib merupakan Menteri Pertahanan Arab Saudi. Putera baginda yang lain iaitu Putera Faisal merupakan Ketua Bulan Sabit Merah Arab Saudi, Putera Turki bekerja sebagai juruterbang Royal Saudi Air Force dan Gabenor Riyadh. Putera bongsu baginda, Putera Badr dilahirkan pada tahun 2003 ketika Raja Abdullah berusia 79 tahun. Salah seorang puteri baginda iaitu Puteri Adila merupakan peguam yang memperjuangkan hak memandu bagi wanita di Arab Saudi.


Kesihatan baginda semakin merosot sejak 27 Ogos 2012 di mana baginda menjalani pembedahan di Mount Sinai Hospital New York pada 4 September 2012. Pada November 2012, Raja Abdullah menjalani pembedahan bahagian belakang nya yang bagi kali yang kelima. Sebuah laporan perubatan pada April 2014 melaporkan bahawa Raja Abdullah hanya mampu hidup selama 6 bulan berikutan baginda didiagnos dengan penyakit Kanser Paru-paru. Baginda dimasukkan ke hospital pada 2 Januari 2015 dan mangkat pada 23 Januari 2015. 

AL FATIHAH
 Al Marhum Raja Abdullah Ibni Abdulaziz Al Saud,
( 1 Ogos 1924 - 23 Januari 2015 ).

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU


No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...