Anda Pengunjung Ke :

Thursday, 25 August 2016

26 Ogos 2003 : Kemangkatan Sultanah Kedah Sultanah Bahiyah.

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman
( 24 Ogos 1930 - 26 Ogos 2003 ).


Petikan Berita Utusan Melayu bertarikh 27 Ogos 2003 :

ALOR STAR 26 Ogos - Sultanah Kedah, Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat pada pukul 12.23 tengah hari ini di Istana Kuala Cegar, Anak Bukit setelah gering sejak seminggu lalu. Almarhum yang berusia 73 tahun, mangkat dua hari selepas ulang tahun kelahiran baginda. Baginda dilahirkan pada 24 Ogos 1930.

Pengumuman rasmi mengenai kemangkatan Sultanah Kedah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di Wisma Darulaman, di sini, pada pukul 2.15 petang. Berikutan kemangkatan Sultanah Kedah, kata Syed Razak, tempoh perkabungan ditetapkan selama seminggu mulai hari ini hingga 1 September. Dalam tempoh itu, semua majlis rasmi, keramaian, perayaan termasuk perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos di negeri ini, dibatalkan. Beliau juga mengumumkan esok sebagai hari cuti umum dan mengarahkan bendera negeri, Persekutuan dan bendera lain dikibarkan separuh tiang.

Syed Razak menyatakan, tembakan sebanyak 17 das dilepaskan hari ini sebagai pengumuman mengenai kemangkatan Sultanah Kedah. Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir mulai pukul 9 pagi hingga 12.50 tengah hari esok. Kata beliau, masa untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir ialah mulai pukul 9 pagi hingga 11 pagi, pembesar dan kenamaan pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari manakala mulai pukul 12 tengah hari hingga 12.50 tengah untuk kerabat-kerabat diraja.

Menurut beliau, jenazah Almarhum akan disembahyangkan pada pukul 12.50 tengah hari dan akan dibawa dari Istana Anak Bukit melalui Lebuh Raya Darulaman, Jalan Sultanah dan Jalan Langgar untuk dimakamkan di Makam Diraja Langgar, 10 kilometer dari sini pada pukul 2.30 petang. Syed Razak berkata, kemangkatan Almarhum Sultanah Kedah telah dimaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk makluman semua Sultan dan Raja di negeri-negeri lain. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta Raja-Raja dijangka tiba esok untuk memberi penghormatan terakhir. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali juga akan memberikan penghormatan terakhir esok. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menziarahi jenazah Almarhum pada malam ini.

Almahhum Tuanku Bahiyah merupakan puteri sulung Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu. Baginda dilahirkan di Istana Seri Menanti Negeri Sembilan dan berkahwin dengan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada bulan Mac 1956 dan kemudian dilantik sebagai Sultanah Kedah pada 20 Februari 1959. Almarhum dikurniakan tiga orang puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Intan Safinaz. Pada 21 September 1970 baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong apabila Sultan Kedah dilantik Yang di-Pertuan Agong Kelima Malaysia. Tuanku Bahiyah yang mendapat pendidikan dalam bidang Sains Kemasyarakatan di Universiti Nottingham, England pada 1951 hingga 1954, juga pernah menjadi Canselor Universiti Malaya pada 1972 hingga 1986. Semasa menjadi Sultanah Kedah, baginda aktif dalam kerja-kerja sosial termasuk mengasaskan Yayasan Sultanah Bahiyah, sebuah organisasi amal pada tahun 1996.

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim mententeramkan puteri baginda Tunku Intan Safinaz sambil diperhatikan dari kiri Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik, Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah, Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah yang merupakan bonda saudara Almarhum dan Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah.

Sultan Kedah menatap wajah isteri baginda buat kali terakhir sambil diperhatikan oleh Tunku Abdul Malik, Tuanku Fauziah, Tunku Intan Safinaz, Tuanku Najihah, Tengku Raudzah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.

Sultan Kedah menyiram air mawar ke pusara Almarhum Sultanah Bahiyah.

Sultan Terengganu yang juga Timbalan Yang Di-Pertuan Agong bersama Sultanah Terengganu memberi penghormatan terakhir.

Sultan Kedah bersama Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir dan isteri Datin Seri Dr Siti Hasmah. Kelihatan Dr Siti Hasmah mengelap air mata.

Jenazah Almarhum dibawa ke Balai Penghadapan untuk solat jenazah.

Solat Jenazah.

Sultan Kedah memegang keranda Almarhum.

Raja-Raja Melayu yang berangkat. Dari kiri Sultan Selangor Sultan Sharafuddin, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizzuddin, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar yang merupakan kekanda Almarhum, Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis, Yang Di-Pertuan Agong Tunaku Syed Sirajuddin, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim, Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah yang merupakan bonda saudara Almarhum, dan Tunku Laksamana Naqiyuddin beserta kerabat diraja dari semua negeri.


Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Ismail Petra, Tengku Anis, Tuanku Bainun, Tuanku Fauziah dan Tuanku Najihah.

Jenazah Almarhum dibawa menggunakan pedati khas diiringi kaum kerabat.

Raja-Raja Melayu serta kerabat diraja yang berangkat memberi penghormatan terakhir buat Almarhum.


Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengaminkan doa sambil diiringi oleh Sultan Kedah dan Sultan Selangor.

Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Hadi Awang, Sultan Terengganu dan Sultan Kedah .

Sultan Kedah, Datin Seri Dr Siti Hasmah dan Dato' Seri Dr Mahathir.

Tengku Anis, Sultan Ismail Petra dan Sultan Abdul Halim.

Raja-Raja Melayu yang mengiringi perjalanan terakhir Almarhum.

Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin dan Sultan Abdul Halim. Turut kelihatan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin.

Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah dan isteri Datin Seri Endon menziarahi Almarhum.

Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis melihat wajah Almarhum buat kali terakhir.

sumber : utusan melayu bhd.

1 comment:

  1. Salam Editor. Bukankah YMM Tuanku Najihah juga Kekanda Ipar Almarhumah KDYMM Sultanah Bahiyah kerana Tuanku Sultanah juga adinda kepada Tuanku Jaafar? Minta perjelasan

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...