Anda Pengunjung Ke :

Wednesday, 10 August 2016

Tuanku Intan Zaharah Tengku Omar dan Tengku Tengah Zaharah Tengku Omar.

Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU akan menulis mengenai dua orang wanita yang pernah menjadi suri kepada Almarhum KDYMM Tuanku Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Hal ini adalah kerana masyarakat sering terkeliru dengan identiti dua kerabat diraja ini. Masyarakat sering tertukar identiti keduanya kerana baginda berdua memiliki nama yang sama dan nama ayahanda yang sama. Ada juga pembaca yang bertanya adakah baginda berdua adik beradik kerana mempunyai nama ayahanda yang sama. Warisan Permaisuri akan memberi pencerahan mengenai hal ini. 

              
Tengku Tengah Zaharah dan Tuanku Intan Zaharah.

Dua wanita yang dimaksudkan ialah Almarhum Yang Maha Mulia Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja Omar Hitam dan Almarhum Yang Amat Mulia Tengku Tengah Zaharah Binti Almarhum Tengku Setia DiRaja Tengku Omar. Tengku Tengah Zaharah merupakan isteri kedua Tuanku Ismail Nasiruddin manakala Tuanku Intan Zaharah merupakan isteri ketiga Tuanku Ismail Nasiruddin. 

Tengku Tengah Zaharah bersama cucunda Tengku Amira Quraishah yang merupakan kekanda Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Amat Mulia Tengku Tengah Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar diputerikan pada tahun 1911. Beliau merupakan puteri sulung kepada Yang Amat Mulia Tengku Setia DiRaja Pahang Tengku Omar Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah dan isterinya Yang Mulia Che Engku Umaiyah Binti Tun Mansur. Ayahanda Tengku Tengah Zaharah merupakan putera ke-7 kepada KDYMM Sultan Pahang Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah Ibni Almarhum Dato' Bendahara Sri Maharaja Tun Ali. Tengku Tengah Zaharah berkahwin buat pertama kali pada tahun 1929 dengan Yang Amat Mulia Tengku Sri Paduka Raja Terengganu Tengku Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Pasangan ini dikurniakan 4 orang putera dan 4 orang puteri. Putera-putera terdiri daripada KDYMM Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, YAM Tengku Dato' Seri Abdul Malik Shah, YAM Tengku Ibrahim Shah dan YAM Tengku Dato' Abdullah Sulaiman Shah. Manakala puteri-puteri pula terdiri daripada YAM Tengku Zaleha Putri, YAM Tengku Nur Aziah Iman Putri, YAM Tengku Zainah Putri dan YAM Tengku Maria Norshiah Putri. Namun perkahwinan Tuanku Ismail dengan Tengku Tengah Zaharah berakhir dengan penceraian. Tengku Tengah Zaharah merupakan kekanda kepada YAM Tengku Hajah Azam yang berkahwin dengan KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah. Tengku Tengah Zaharah juga sepupu kepada Almarhum KDYMM Tengku Ampuan Afzan dimana ayahanda Tengku Ampuan Afzan iaitu YAM Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad merupakan adinda kepada ayahanda Tengku Tengah Zaharah. Tengku Tengah Zaharah mangkat pada 19 April 1979 pada usia 68 tahun, 5 bulan sebelum kemangkatan bekas suaminya Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin yang mangkat pada 20 September 1979. 

Tuanku Intan Zaharah ketika bergelar Raja Permaisuri Agong.

Yang Maha Mulia Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja diputerikan pada 13 April 1928 di Singapura. Baginda bertemu jodoh dengan Tuanku Ismail Nasiruddin pada 3 April 1944. Baginda dimahkotakan sebagai KDYMM  Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949 di Istana Maziah. Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong Ke-4 bermula tahun 1965 hingga 1970. Baginda merupakan puteri kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Sri Setia Raja Terengganu Tengku Omar Hitam Ibni Tengku Othman yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu. Selepas kemangkatan Tuanku Ismail Nasiruddin pada 1979, Tuanku Intan Zaharah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Terengganu oleh anakanda tiri baginda KDYMM Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah. Pada 1998, baginda diberi gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu oleh cucunda tiri baginda KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, dimana gelaran ini dipakai baginda sehingga kemangkatannya. Tuanku Intan Zaharah mangkat pada 24 Januari 2015 di Kuala Lumpur ketika berusia 87 tahun. Baginda dengan Tuanku Ismail Nasiruddin tidak dikurniakan dengan cahaya mata. Lagi biodata Tuanku Intan Zaharah : 

Maka, ternyata Tuanku Intan Zaharah dan Tengku Tengah Zaharah adalah dua personaliti yang berbeza. Masjid Tengku Tengah Zaharah di Terengganu mengambil sempena nama bonda kandung kepada Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah iaitu Almarhum Tengku Tengah Zaharah bukannya mengambil sempena nama Almarhum Tuanku Intan Zaharah seperti ditulis dalam wikipedia dan beberapa laman-laman lain yang menerangkan mengenai Masjid Tengku Tengah Zaharah. Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah di Dungun mengambil sempena nama Almarhum Tuanku Intan Zaharah. Al Fatihah buat kedua-dua Almarhum Tuanku Intan Zaharah dan Almarhum Tengku Tengah Zaharah.

Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah,

No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...