Anda Pengunjung Ke :

Monday, 29 August 2016

Majlis Menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

King's House, Kuala Lumpur.

05 Ogos 1957 – Pada hari ini dalam tahun 1957, Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara Raja-raja dengan wakil Baginda Queen, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur dalam satu upacara gemilang yang berlangsung selama dua jam.

Pada kira-kira jam 9.30 pagi, seramai 15 orang penandatangan utama, iaitu Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, delapan orang Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (iaitu selain daripada Yang di-Pertuan Besar) serta saksi-saksi kepada penandatangan-penandatangan telah menandatangani perjanjian itu dengan menggunakan pena yang khas bertulis Federation of Malaya Agreement 1957. Perjanjian ini telah ditandatangani dalam 40 salinan, 20 dalam Bahasa Melayu dan 20 lagi dalam Bahasa Inggeris. Dua salinan daripada perjanjian itu dihantar kepada kerajaan British, sementara dua lagi disimpan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Satu salinan tiap-tiap satu dihantar kepada tiap-tiap negeri termasuk Melaka dan Pulau Pinang, sementara untuk Negeri Sembilan diserahkan enam salinan memandangkan kepada perkembangannya yang sebegitu rupa.


Artikel 3, Perjanjian ini menyatakan bahawa mulai daripada 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Selat akan tertubuh menjadi satu Persekutuan yang baru Melayu yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu, atau dalam bahasa Inggerisnya, The Federation of Malaya. Oleh itu dengan sendirinya Perjanjian ini telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan dengan itu berakhirlah kuasa dan kedaulatan Baginda Queen ke atas Melaka dan Pulau Pinang. Dan dengan itu juga segala kuasa dan jurisdiksi baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu berakhir.

Sir Donald MacGillivray dan Tuanku Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, sebelum upacara menandatangani perjanjian itu, wakil Baginda Queen, Sir Donald MacGillivray menyatakan bahawa beliau yakin perjanjian ini akan dapat menyediakan segala keperluan sebuah kerajaan yang sesuai kepada negara yang berbilang bangsa, dan negara baru ini akan menghadapi masa depan yang agung dan gemilang. DYMM Sultan Kedah, selaku wakil Raja-Raja Melayu bertitah dan berharap kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa bahawa apa yang dilakukan pada hari itu akan membawa kebahagian yang berkekalan kepada negara ini.

Dua puluh enam hari kemudiannya, pada 31 Ogos 1957, berkuatkuasalah Perjanjian ini ke atas seluruh umat di Persekutuan Tanah Melayu dalam menentukan proses sejarah selanjutnya apabila Duke of Gloucester dengan rasminya menggugurkan kuasa dan wibawa penjajah British. Ini telah disambut dengan lantang dan megah oleh laungan Merdeka oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, dalam upacara Pengisytiharan Kemerdekaan yang bergemuruh dan bersemangat, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Raja-Raja Melayu Menandatangani Perjanjian Kemerdekaan :


Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang juga merupakan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Sir Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Sir Muhammad.


Timbalan Yang Di-Pertuan Agong yang juga Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah Ibn Almarhum Sultan Sir Abdullah Al Muhtassim Billah Shah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Sultan Sir Badlishah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad VI.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya Sir Donald MacGillivray.

Sir MacGillivray menyampaikan ucapan bagi pihak Baginda Queen.

Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Sir Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Sir Yusuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdul Jalil Nasiruddin Shah.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Tunku Sir Ismail Ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al Mahsyur.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...