Anda Pengunjung Ke :

Friday, 11 May 2018

Agong Berangkat Ke Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri Ke-7.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan untuk berangkat ke Istiadat Mengangkat Sumpah Perdana Menteri Malaysia Ke-7, Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Bin Mohammad. Istiadat ini diadakan di Bilik Singgahana Kecil Istana Negara Jalan Duta pada 10 Mei 2018. Y.A.B Tun Dr Mahathir, 92 dipilih untuk menjadi Perdana Menteri Ke-7 Malaysia setelah Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018. Ini merupakan kali kedua Tun Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri. Beliau pertama kali memegang jawatan ini pada tahun 1981 sehingga 2003. 


Istiadat Mengangkat Sumpah bermula dengan keberangkatan masuk KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke Bilik Singgahsana Kecil kira-kira pukul 9.52 malam. Baginda dilihat bersalaman dengan Tun Dr Mahathir dan YABhg Tun Dr Siti Hasmah Binti Mohd Ali. Selepas baginda bersemayam di atas singgahsana, istiadat pembukaan dilakukan oleh YBhg Dato' Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Dato' Mohd Ariffin Bin Abdullah. Beliau mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka untuk memulakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia, dan Sumpah Simpan Rahsia oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohammad. Setelah istiadat dizahirkan oleh Dato' Paduka Maharaja Lela, juruacara majlis mempersilan YAB Tun Dr Mahathir untuk mengadap untuk pengurniaan surat cara pelantikan. 

YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Tepat pukul 9.55 malam, Tun Dr Mahathir melafazkan sumpah memegang jawatan dan seterusnya melafaz sumpah menyimpan rahsia. Tun Dr Mahathir seterusnya menandatangani kedua-dua sumpah tersebut di hadapan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Ali Hamsa. Istiadat ditutup dengan bacaan doa diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Dr Haji Zulkifli Al-Bakri. Selesai bacaan doa, Dato' Paduka Maharaja Lela mengadap Seri Paduka dan menyembah maklum bahawa istiadat telah selamat disempurnakan. Istiadat diakhiri dengan keberangkatan pulang Seri Paduka meninggalkan Bilik Singgahsana Kecil.


Hadir dalam istiadat ini ialah YABhg Tun Dr Siti Hasmah Binti Mohd Ali, YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri YBhg Dato' Sri Norainee Abdul Rahman, YB Tuan Lim Guan Eng dan isteri YBhg Puan Betty Chew, YB Tuan Haji Mohamad Sabu dan isteri. Turut hadir anak kepada Tun Dr Mahathir, YBhg Tan Sri Mokhzani Mahathir dan isteri Puan Sri Mastisa Mohamed, Ketua Polis Negara YBhg Tan Sri Fuzi Harun, Panglima Angkatan Tentera YM Jeneral Raja Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. 



Dato' Paduka Maharaja Lela memulakan istiadat.

Tun Dr Mahathir menerima surat cara pelantikan.



Tun Dr Mahathir melafazkan sumpah jawatan.





Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato' Sri Norainee.

Tun Raus Sharif dan Tan Sri Ali Hamsa.

Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Tan Sri Raja Mohamed Affandi dan Tan Sri Fuzi Harun.

Tan Sri Mokhzani dan isteri.

Monday, 30 April 2018

Istiadat Pemasyhuran KDYMM Sultanah Maliha Sebagai Sultanah Kedah.

ISTIADAT PEMASYHURAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH KEDAH DARUL AMAN
30 APRIL 2018
ISTANA ANAK BUKIT, ALOR STAR.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman
Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff,
D.K., S.S.S.K., S.H.M.S., S.S.D.K., D.S.D.K.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff telah selamat dimasyhurkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah dalam satu istiadat yang diadakan di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Star. Istiadat bermula dengan perarakan masuk KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff ke Balairong Seri diiringi selawat. 

Keberangkatan masuk KDYMM Tuanku berdua.

Setelah keberangkatan Tuanku berdua diumumkan, paluan nobat pun berbunyi sehingga baginda berdua bersemayam di atas singgahsana. Kemudian, Yang Berbahagia Dato' Bijaya Indera Ketua Istiadat Dato' Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah mengadap Tuanku berdua untuk memohon perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk membawa masuk alat-alat kebesaran untuk pemasyhuran. 


Sebaik sahaja alat kebesaran dibawa masuk, juruacara mempersilakan YAB Dato' Seri Ahmad Bashah Ahmad Hanipah melafazkan watikah pemasyhuran Sultanah Maliha sebagai Sultanah Kedah Darul Aman. Selesai membacakan watikah pemasyhuran, Istiadat Menjunjung Duli oleh KDYMM Sultanah Maliha bermula. KDYMM Sultanah Maliha mengadap KDYMM Sultan Sallehuddin lalu bersalam dan mencium tangan baginda dan serentak dengan itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Selesai paluan nobat dan tembakan meriam, Sultanah Maliha dikurniakan darjah kebesaran baru yang diperkenankan oleh Sultan Sallehuddin. 

Istiadat Menjunjung Duli.

Pengurniaan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Yang Amat DiHormati Negeri Kedah Darul Aman (S.S.S.K.) dimulakan. Dato' Bijaya Indera Ketua Istiadat menyembahkan darjah kebesaran S.S.S.K. kepada Sultan Sallehuddin untuk dikurniakan kepada Sultanah Maliha. Baginda merupakan penerima pertama bagi Darjah Kebesaran ini. Selesai pengurniaan darjah kebesaran, doa dibacakan untuk menutup istiadat. Doa dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Kedah Darul Aman Dato' Sheikh Fadzil Haji Awang. 

Pengurniaan Darjah S.S.S.K.

Untuk menamatkan istiadat Dato' Bijaya Indera Ketua Istiadat mengadap KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Tuanku Sultanah untuk mempersembahkan bahawa istiadat telah selamat disempurnakan. Kira-kira pukul 11.30 pagi, Tuanku berdua telah berangkat meninggalkan Balairong Seri sambil diiringi paluan nobat. Berangkat ke Istiadat ini ialah DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan DYTM Che Puan Muda Kedah Che Puan Zaheeda Mohd Ariff, YTM Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah dan YABhg Toh Puan Bendahara Kedah Puan Seri Dato' Nora Abdullah, YTM Tengku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim, YTM Tunku Laksamana Kedah Dato' Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim. 


Turut berangkat YABhg Dato' Seri Noor Suzanna Abdullah, kerabat-kerabat DiRaja Kedah dan kerabat-kerabat DiRaja Kelantan termasuk dua orang bonda saudara kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V iaitu YBM Tengku Dato' Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra dan YBM Tengku Dato' Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra.

KDYMM Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

KDYMM Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff.


Kerabat-kerabat diraja bergelar.



Keluarga diraja Kedah Darul Aman.

Sembah Tahniah Pemasyhuran KDYMM Sultanah Kedah.


Sunday, 29 April 2018

Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah Ke-76


Istiadat Pemasyhuran Sultanah Kedah 30 April 2018.

KDYMM Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Sukacita dimaklumkan bahawa Istiadat Pemasyhuran Sultanah Kedah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff akan dilangsungkan pada 30 April ini di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Star. Istiadat itu merupakan sebahagian daripada acara awal yang diatur sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah, yang dijangka berlangsung pada 22 Oktober ini.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, orang ramai boleh menyaksikan istiadat berkenaan melalui siaran langsung di saluran TV1 dan radio Kedah FM bermula jam 10.30 pagi. Warkah pemasyhuran berkenaan akan dibacakan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das sebagai simbolik kepada istiadat tersebut.



Kali terakhir seorang Sultanah dimasyhurkan di negeri Kedah adalah pada tahun 2004 apabila YM Che Puan Haminah Hamidun(kini bergelar YMM Che Puan Besar Kedah) ditabalkan sebagai Sultanah Kedah menggantikan Almarhum Sultanah Bahiyah yang mangkat pada tahun 2003.


Sultanah Maliha, yang merupakan kerabat diraja Kelantan, mendirikan rumah tangga dengan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tahun 1965 dan dikurniakan dua putera iaitu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah Tunku Dato' Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Thursday, 8 February 2018

Bandar DiRaja Kuala Kangsar : Masjid Ubudiah, Makam DiRaja Al Ghufran, dan Istana Kenangan .

Pada 2 Februari hingga 4 Februari 2018, Editor Warisan Permaisuri Melayu berkesempatan untuk melawat Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Bandar DiRaja ini banyak menyimpan khazanah diraja Kesultanan Perak Darul Ridzuan. Editor Warisan Permaisuri berpeluang untuk melawat Masjid DiRaja Ubudiah dan juga Makam DiRaja Al Ghufran yang terletak di perkarangan Masjid Ubudiah juga berpeluang untuk melawat Istana Kenangan yang terletak berdekatan Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. 

MASJID DIRAJA UBUDIAH.




Ubudiah bermaksud pengabdian kepada Allah yang Maha Agung. Pada tahun 1911 ketika berehat di Port Dickson setelah menjalani rawatan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya baginda pulih. Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda menitahkan supaya Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk menyediakan reka bentuk masjid itu. Tuan Hubback, arkitek yang ditugaskan untuk menyediakan reka bentuknya telah menerapkan unsur-unsur seni bina Moor dalam reka bentuknya. Tuan Caulfield, Jurutera Negeri telah ditugaskan untuk melaksanakan pembinannya. Kerja pembinaan masjid ini bermula pada 26 September 1913 tetapi telah tergendala akibat batu marmar asal yang diimport dari Itali telah dirosakkan oleh 2 ekor gajah yang bertempur di tapak pembinaannya. Masjid ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1917 dengan kos sebanyak $189,000.00. Dukacitanya, Sultan Idris tidak sempat untuk melihat masjid ini siap kerana baginda mangkat pada tahun 1916. 


Pada tahun 1993, Jabatan Kerja Raya Negeri telah dipertanggungjawabkan untuk menambah keluasan masjid ini kerana ruang sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat. Kerja pengubahsuaian ini melibatkan pembinaan bangunan tambahan di sisi bangunan kediaman,bilik air dan tempat wuduk. Kerja pengubahsuaian itu mengambil masa selama 2 tahun dan menelan belanja sebanyak RM 2.9 juta. Kerja pembinaan itu telah mengambil langkah keselamatan yang perlu bagi memastikan keaslian seni bina Moor bangunan ini sentiasa terpelihara. Setelah siap masjid ini dapat menampung jemaah seramai 2,300 orang. 


Pada tahun 2002, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak Ke-34 telah menitahkan supaya Kerajaan Negeri memulihara masjid ini ketahap kegemilangan asalnya. Dalam masa pengubahsuaian buat kali kedua, segala usaha telah dibuat untuk mengekalkan kegemilangan dan keunikan seni bina Moor nya. Dalam kerja pemuliharaan masjid ini, dewan solat telah diberi sentuhan hiasan baru, serta dilengkapi sistem penyaman udara. Siling baru berukir yang dilakukan oleh sekumpulan pengukir mahir yang dibawa khas dari Uzbekistan. Laman konkrit telah dibina sekeliling masjid dan persekitarannya pula dihiasi dengan seni taman yang baru mengambil kira semua aspek bangunan ini supaya sesuai dan harmoni. Kerja pemuliharaan ini melibatkan 9 kontraktor yang berlainan, dan siap dalam masa 3 bulan dengan kos sebanyak RM 4.8 juta. Masjid ini siap diubahsuai tepat pada masa ulang tahun Keputeraan Paduka Seri Tuanku Yang Ke-75 pada 19 April 2003.




MAKAM DIRAJA AL-GHUFRAN.

Makam DiRaja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar merupakan makam diraja bagi kesultanan Perak Darul Ridzuan. Makam diraja ini terletak bersebelahan Masjid DiRaja Ubudiah. Makam diraja ini dibina pada tahun 1915 dan mempunyai pengaruh seni bina Moghul dan menyerupai seakan-akan Taj Mahal di India. Seramai 8 orang Sultan Perak dimakamkan disini. Sultan Perak pertama yang dimakamkan di makam ini ialah Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I pada tahun 1916. Sultan-Sultan Perak yang lain ialah Almarhum DYMM Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Mukhataram Shah (1918), Almarhum DYMM Sultan Abdullah Muhammad Shah II (1922), Almarhum DYMM Sultan Iskandar Shah Kadasullah (1938), Almarhum DYMM Sultan Abdul Aziz Al Mutassim Billah Shah (1948), Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah (1963), Almarhum DYMM Sultan Idris Shah II (1984) dan terbaru sekali Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (2014). 


Seramai 7 orang Raja Perempuan Perak dimakamkan di makam diraja ini terdiri daripada Almarhum DYMM Raja Perempuan Tipah, Almarhum DYMM Raja Perempuan Nuteh Aishah (1920), Almarhum DYMM Raja Perempuan Nuteh Zahra, Almarhum DYMM Raja Perempuan Khalijah(1939), Almarhum DYMM Raja Perempuan Taayah(1962), Almarhum DYMM Raja Perempuan Puteh Umi Kalsom(1972), dan Almarhum DYMM Raja Perempuan Muzwin (2011).


Seramai 3 orang Raja Muda Perak dimakamkan di sini terdiri daripada Almarhum DYTM Raja Muda Musa Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin, Almarhum DYTM Raja Muda Musa Almarhum Sultan Abdul Aziz(1983), dan Almarhum DYTM Raja Ahmed Sifuddin(1987). Manakala seramai 4 orang Raja DiHilir Perak dimakamkan di sini terdiri daripada Almarhum DYAM Raja Chulan Almarhum Sultan Abdullah(1933), Almarhum DYAM Raja Kamarulzaman Raja Mansur(1962), Almarhum DYAM Raja Ekram Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin(1978), dan Almarhum DYAM Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik(1997). Antara kerabat diraja Perak yang dimakamkan disini ialah putera Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Almarhum YTM Raja Ashman Shah yang mangkat pada 2012. 


Makam diraja ini juga menempatkan pusara bagi Orang-Orang Besar negeri Perak. Antara yang disemadikan di makan diraja ini ialah Allahyarham Tun Suffian Hashim, Bekas Ketua Hakim Negara yang meninggal dunia pada tahun 2000, YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Othman Talib(1984), YABhg Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Dato' Seri Wan Abdul Halim (1998) serta ramai lagi Orang Besar negeri Perak disemadikan disini. 


ISTANA KENANGAN (MUZIUM DIRAJA PERAK).


Muzium Diraja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama-nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas) telah didirikan pada tahun 1926, di bandar Kuala Kangsar, Perak, Malaysia oleh seorang tukang kayu yang bernama Haji Sopian dan dibantu oleh dua orang anaknya, mereka ini berasal dari Seberang Perai. Muzium ini dibina atas perintah DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kaddasallah) sebagai tempat bersemayam sementara, disebabkan ketika itu Istana Iskandariah masih lagi di dalam pembinaan menggantikan Istana Negara. Baginda DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan ini mulai dari tahun 1931 hingga tahun 1933. Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama di hari-hari Perayaan DiRaja seperti hari keputeraan, perlantikan orang-orang besar Perak dan lain-lain Istiadat DiRaja Perak Darul Ridzuan.

Dari segi bentuk senibinanya, Istana Kenangan melambangkan senibina Melayu Tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan bangunan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan (kayu jenis berlian). Paku-paku besi tidak digunakan dalam pembinaan bangunan ini. Ia dihiasi dengan ukiran-ukiran Melayu yang menarik yang menggunakan tepas yang diam dengan corak-corak anyaman Melayu Tradisional dan warna dinding itu melambangkan warna negeri perak iaitu kuning,hitam, dan putih. Bangunan ini dibina di atas enam puluh batang tiang, di mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Bentuk bangunan ini melambangkan sebilah padang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bahagian tengah di atas bangunan ini ditempatkan sebuah singgahsana. Tingkat bawah bangunan ini pula digunakan sebagai pejabat rasmi Baginda, di mana ia mempunyai lantai simen dan disekelilingnya ditutup dengan bidai.

Nama Istana Kenangan telah diberikan pada tahun 1960-an setelah diperbaiki dengan dayausaha Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Istana Kenangan diduduki oleh keluarga DiRaja Perak sehingga tahun 1982, apabila Almarhum Sultan Idris II telah berkenan menyerahkannya di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negara. Pada tahun 1986, ia dijadikan Muzium DiRaja, di mana penyelenggaraannya diserahkan kepada Pentadbiran Negeri Perak Darul Ridzuan. Pada 16 November 1986, Muzium DiRaja Perak ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Azlan Muhibbudin Shah.

Namun, Istana Kenangan ditutup untuk kunjungan kerana kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian semenjak tahun 2009. 

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...